Normal lah bagi wanita dan pasangannya yang dah berkahwin mempunyai hasrat dan berusaha untuk memperolehi zuriat. Sekiranya tiada masalah dan kesukaran pasangan yang berkahwin tidak perlu menunggu jangka masa yang lama untuk pasangan wanitanya hamil.
Kehamilan menjadi salah satu kenangan bahagia dan istimewa bagi pasangan berkahwin kerana mereka bakal menimang cahaya mata. Ia juga melengkapkan institusi kekeluargaan mana-mana pasangan berkahwin.
Rata-rata suami isteri di seluruh dunia berusaha melakukan persiapan untuk menyambut kelahiran bayi mereka dengan berbelanja barangan dan keperluan bayi seperti susu formula, carseat bayi, baju dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, selain daripada persiapan menyambut kelahiran bayi dari segi materialistik, mama papa baharu juga perlu mengambil tahu tentang ilmu atau info bayi baru lahir.
Dalam penulisan ini, akan dibahaskan dengan teliti antara info-info bayi baru lahir yang wajib diketahui oleh bakal mama papa dan mama papa baharu.
Perkembangan Asas Bayi
Kenapa mama papa perlu mengambil tahu tentang perkembangan asas si manja yang baru lahir? Ini untuk membantu mama papa untuk memahami dan memberi perhatian terhadap perkembangan dan tumbesaran bayi mereka.
Kita semua bermula sebagai seorang bayi yang baru lahir, begitu juga yang akan dialami oleh si kecil kita. Si kecil akan membesar daripada bayi yang tidak berdaya menjadi anak kecil yang aktif dalam tempoh 365 hari atau 12 bulan. Dalam tempoh ini, si manja akan mengalami tumbesaran dan perkembangan dari segi fizikal, emosi, deria dan kognitif.
Bayi 0 hingga 3 bulan
Perkembangan Fizikal
Untuk tempoh 0 hingga 3 bulan ini, mama dan papa akan perasan si kecil akan banyak melakukan pergerakan fizikal seperti:
- Bayi akan menolak menggunakan lengan sewaktu tummy time (meniarap)
- Mula mengangkat dan menahan kepala ke atas sewaktu meniarap
- Berupaya untuk membawa tangan ke mulut
- Menggerakkan tangan untuk membentuk penumbuk dan membuka
- Menggerakkan dan mengangkat tangan dan kaki daripada permukaan bila berasa teruja dan gembira
- Boleh memegang objek dalam tangan
- Cuba mencapai mainan atau objek
Perkembangan Emosi
- Menoleh kepala ke arah bunyi atau suara yang didengari
- Membuat eye contact dengan orang sekeliling
- Mengekspresikan minat melalui raut wajah
- Senyum sebagai tindak balas terhadap bunyi atau suara yang didengari
- Mempunyai nangis yang berbeza untuk setiap keperluan
Perkembangan Deria
- Rasa tenang dan gembira apabila disentuh dengan lembut dan dibuai dengan perlahan
- Menikmati pelbagai pergerakan
- Fokus atau memerhatikan wajah orang sekeliling dan mainan
- Terkejut dengan bunyi atau suara yang kuat
- Mengenal bau dan rasa
- Mengikut pergerakan dengan menoleh dan memusingkan kepala
Perkembangan Kognitif
- Mengecam botol atau payudara mama sekiranya diberi susu badan
- Mengecam bunyi atau suara
- Mengecam wajah mama papa dan orang sekeliling
Bayi 4 hingga 6 bulan
Apabila si kecil sudah mencapai umur 4 sehingga 6 bulan, si manja sudah mula untuk mempelajari, mengenal dan memanipulasi dunia di sekelilingnya.
Mereka juga sudah mula untuk menguasai pergerakan tubuh badan dan mengenal keupayaan suara sendiri.
Dalam tempoh 4 ke 6 bulan ini, si kecil mungkin akan mula:
- Berceloteh dengan orang sekeliling
- Ketawa
- Boleh duduk dengan sokongan
- Mempunyai kawalan kepala yang baik
- Boleh mencapai, mengambil dan memanipulasi objek seperti mainan dan sebagainya
- Gemar bergolek ke depan dan belakang
Bayi 7 hingga 9 bulan
Untuk fasa bayi berusia 7 hingga 9 bulan ini, mama dan papa perlu bersedia dengan keaktifan dan kecergasan mereka. Mama papa juga perlu menyiapkan kawasan rumah untuk menjadi ‘baby-proofed’ untuk memastikan keselamatan si kecil terjaga. Hal ini kerana pergerakan si kecil akan menjadi lebih aktif.
- Si kecil akan mula belajar merangkak menggunakan kaki, bahagian lutut dan tangan (menyeret punggung – scooting)
- Boleh duduk sendiri tanpa sokongan
- Gemar dengan permainan menepuk tangan seperti peek-a-boo
- Mula belajar untuk berdiri dengan sendiri
Bayi 10 hingga 12 bulan
Fasa tahun pertama si kecil ini dipanggil sebagai fasa peralihan.
Dalam tempoh bayi berusia 10 hingga 12 bulan, si kecil akan mula:
- Boleh menyuap makan sendiri seperti memegang biskut di antara ibu jari dan jari telunjuk
- Boleh mengucap 1-2 perkataan.
- Meniru perbuatan mama papa dan orang sekeliling
- Melakukan langkah berjalan yang pertama (Situasi ini mungkin berbeza untuk setiap bayi)
- Menunjukkan objek untuk mendapatkan perhatian
- Boleh berjalan menggunakan kaki dengan sokongan secara memegang dinding atau perabot.
Bayi Besar Dari Usia Kandungan
Apa yang dimaksudkan dengan bayi besar dari usia kandungan dan kenapa mama papa kena ambil tahu info ini? Hal ini kerana, ia boleh mempengaruhi kesihatan bayi tersebut dan perlu dirawat dari masa ke masa.
Bayi yang normal adalah yang mempunyai berat badan antara 3.4 kg hingga 3.5 kg. Jadi, bayi yang besar dari usia kandungan adalah yang mempunyai berat melebihi berat badan bayi normal.
Punca Bayi Besar Dari Usia Kandungan
- Diabetes Gestasional – Ibu menghidap diabetes gestasional iaitu jenis diabetes yang terjadi sewaktu kehamilan sehingga proses bersalin.
- .Berat Badan Berlebihan – Ibu mengalami kenaikan berat badan yang banyak semasa kehamilan.
- Keturunan Keluarga – Ibubapa yang besar melahirkan bayi yang besar.
Komplikasi Yang Mungkin Akan Dihadapi
- Kadar peratus kelahiran secara pembedahan adalah tinggi.
- Proses bersalin yang memakan masa yang lama boleh menyebabkan oksigen yang dibekalkan kepada bayi berkurang.
- Bayi berisiko untuk lemas dalam kandungan atau terjadi kecacatan fizikal dan mental.
- Risiko untuk menghadapi kesukaran apabila ibu melahirkan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada bayi.
Keperluan Bayi Besar Dari Usia Kandungan
- Penyusuan bayi perlu dimulakan awal dan dengan kerap.
- Sentiasa peka dan memeriksa kandungan gula dalam darah bayi.
- Diperiksa dan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kecacatan atau kecederaan sewaktu kelahiran.
- Segelintir bayi mungkin akan dimasukkan ke dalam wad neonat untuk sokongan pernafasan, penukaran darah, fisioterapi, fototerapi dan rawatan cecair intravena.
Elakkan Si Kecil Daripada Menjadi Bayi Besar Dari Usia Kandungan
- Memantau dan mengawal kadar gula dalam darah sewaktu kehamilan
- Mengawal berat badan ibu
- Sentiasa peka dengan tumbesaran si kecil
- Merancang kelahiran yang selamat
Bayi Kecil Dari Usia Kandungan
Bukan sahaja bayi yang besar dari usia kandungan yang mempunyai masalah, malah bayi yang kecil dari usia kandungan juga mempunyai komplikasi. Bayi yang kecil dari usia kandungan dilahirkan dengan anggaran berat kurang daripada 2.5 kg hingga 3.5 kg.
Jenis Bayi Kecil Dari Usia Kandungan
- Setara – Pembesaran keseluruhan si kecil seimbang
- Tidak setara – Kepala lebih besar berbanding dengan anggota tubuh lain.
Bayi kecil dari usia kandungan berpunca daripada faktor keturunan dan pembesaran kandungan yang terbantut.
Faktor Risiko Pembesaran Kandungan Terbantut
Faktor Kandungan:
- Jangkitan air ketuban
- Uri tercerai daripada rahim sebelum masanya
- Pendarahan uri di bahagian bawah rahim
- Terdapat gangguan aliran darah ke uri
- Kandungan kembar
Faktor Ibu:
- Menghidap anemia yang kronik
- Ibu merokok atau mengambil dadah
- Ibu menghidap tekanan darah tinggi
- Mempunyai penyakit buah pinggang dan diabetes kronik
- Jangkitan kuman
- Ibu hamil telah lanjut usia atau terlalu muda
Faktor Bayi
- Mempunyai kromosom yang tidak normal
- Mengalami kecacatan semasa dalam kandungan
- Jangkitan Rubella dan CMV
Komplikasi Yang Mungkin Akan Dihadapi
- Sel darah merah berlebihan
- Sukar mengekalkan suhu badan
- Kurang gula dalam darah
- Menghidap Jaundis
- Kebiruan akibat oksigen yang tidak mencukupi
- Mengalami kesukaran dan gangguan pernafasan
- Berisiko untuk menghidap penyakit kronik
- Tidak stabil sewaktu kelahiran
- Mempunyai ketidakseimbangan garam galian dalam darah
- Bayi mungkin akan mengalami pembesaran yang lambat
Keperluan Bayi Kecil Dari Usia Kandungan
- Penyusuan bayi perlu dimulakan awal dan dengan kerap.
- Mengawasi kadar gula dalam darah
- Bayi juga mungkin akan dimasukkan ke dalam wad neonat untuk sokongan air dektros, pertukaran darah, fototerapi dan bantuan pernafasan.
Elakkan Si Kecil Daripada Menjadi Bayi Kecil Dari Usia Kandungan
- Mengawal berat badan ibu
- Sentiasa peka dengan pertumbuhan dan kecacatan janin
- Merancang kelahiran yang selamat
- Memantau kesihatan ibu terutamanya yang menghidap tekanan darah tinggi
- Memeriksa uri untuk mengesan perubahan abnormal
Jaundis dan Bilirubin
Bagi si kecil yang baru sahaja lahir, kekuningan pada kulit atau dikenali juga sebagai Jaundis adalah satu perkara biasa. Dianggarkan lebih daripada 50% bayi yang baru lahir mengalami jaundis atau demam kuning beberapa hari selepas dilahirkan.
Keadaan Jaundis pada bayi ini disebabkan oleh Bilirubin iaitu sejenis pigmen. Pigmen ini terhasil daripada pemecahan sel darah merah, diproses di dalam hati seterusnya disingkirkan ke dalam najis bayi.
Terdapat dua jenis Jaundis yang terjadi pada bayi baru lahir iaitu Patologi Jaundis dan Fisiologi Jaundis.
Patologi Jaundis
Jenis Jaundis ini terjadi pada hari pertama bayi dilahirkan (kurang 24 jam). Sekiranya si kecil mengalami Patologi Jaundis, ia mungkin disebabkan oleh kumpulan darah ibu dan anak yang tidak serasi. Selain itu, Patologi Jaundis ini boleh berlaku sekiranya bayi dijangkiti kuman.
Bukan itu sahaja, jaundis jenis ini juga boleh terjadi pada bayi sekiranya bayi tidak mempunyai enzim G6PD yang mencukupi. Ini akan menyebabkan sel darah merah si kecil menjadi tidak stabil terhadap bahan-bahan tertentu.
Fisiologi Jaundis
Fisiologi Jaundis adalah jaundis yang biasa terjadi pada bayi yang baru lahir dan kebiasaannya tidak berbahaya kepada si kecil.
Jaundis jenis ini bermula selepas 48 jam bayi dilahirkan dan selalunya akan hilang pada hujung minggu pertama kelahiran si kecil. Ada juga yang mengambil masa yang lama atau melebihi 14 hari. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor iaitu susu ibu, kekurangan hormon tiroid (jarang berlaku) dan aliran hempedu daripada hati ke usus tersekat (juga kes yang jarang berlaku).
Jaundis adalah perkara biasa yang berlaku pada bayi yang baru lahir. Walaubagaimanapun, Mama dan Papa perlu memerhatikan dan peka dengan tanda-tanda ini pada si kecil yang baru lahir:
- Si kecil tidak mahu menyusu, tidak aktif dan kelihatan lemah
- Warna najis bayi yang pucat atau air kencing pekat
- Mengalami kekurangan enzim G6PD
- Jaundis terjadi dalam masa atau kurang 24 jam selepas kelahiran
- Peningkatan warna kuning Jaundis yang cepat
- Anak sebelumnya mengalami Jaundis yang teruk
Sekiranya si kecil mempunyai 1-2 daripada tanda-tanda ini, segeralah buat pemeriksaan doktor.
Info Asas Penjagaan Si Kecil
Apa info asas penjagaan bayi terutamanya bayi baru lahir yang mama papa baharu kena tahu? Antara info yang akan dikongsikan dalam penulisan ini adalah cara memegang dan mendukung bayi, vaksin, warna najis, posisi tidur, kolik, dan cara mandi si kecil.
Cara Memegang & Mendukung Si Kecil
Mengetahui dan memahami cara memegang dan mendukung si kecil kita adalah sangat penting untuk memastikan keselesaan dan keselamatan mereka sewaktu dalam dakapan kita.
Perkara paling penting sebelum memegang, mendukung mahupun menyentuh si kecil adalah memastikan pakaian dan tangan kita bersih dan dicuci terlebih dahulu. Hal ini kerana, bayi yang baru lahir masih lagi membina sistem imun mereka. Dengan mengamalkan mencuci tangan sebelum menyentuh si kecil, ia boleh membantu menghindarkan mereka daripada jangkitan kuman.
Antara posisi yang terbaik untuk memegang dan mendukung bayi adalah:
- Posisi di perut
- Pegangan kerusi
- Pegangan bola
- Pegangan atas paha
- Pegangan muka ke muka
- Pegangan di pinggang
- Posisi buaian
- Memegang di bahu
Imunisasi Si Kecil
Memberi vaksin pada si kecil yang baru lahir membantu mengurangkan risiko mereka untuk dijangkiti penyakit. Ini kerana mereka adalah salah satu golongan yang terjejas atau sistem imun masih lemah.
Antara suntikan vaksin yang diberikan pada si kecil adalah untuk mencegah penyakit campak, radang paru-paru dan hepatitis B. Bukan itu sahaja, si kecil juga akan mendapat vaksin untuk mencegah penyakit beguk, Rubella, Tetanus, Pertusis, Difteria, Haemophilus Influenzae type B dan Tuberkulosis.
Bila bayi perlu divaksin? Bayi divaksin dalam tahun pertama kehidupan mereka, jadi sangat penting untuk mama papa sentiasa peka dengan jadual vaksin si kecil! Mama papa boleh rujuk jadual imunisasi yang telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti di bawah.
Jenis & Warna Najis Bayi
Untuk mama papa yang baharu, sangat penting untuk mengetahui jenis-jenis dan warna najis bayi. Hal ini kerana ia juga boleh memberi indikasi tahap kesihatan si kecil. Bukan sahaja jenis dan warna, malah konsistensi dan kekerapan bayi membuang air besar juga membantu mama papa untuk memantau kesihatan dan perkembangan si kecil.
Bayi membuang air besar atau najis buat kali pertama beberapa jam atau hari selepas dilahirkan. Najis ini dipanggil sebagai mekonium iaitu najis berwarna hijau gelap. Mekonium ini terdiri daripada protein, sel, lemak dan rembesan usus.
Apabila si kecil sudah mula menyusu, najis bayi mungkin akan kelihatan berair dan berwarna mustard Dijon serta mempunyai ketulan kecil lemak berwarna putih. Najis bayi yang menyusu susu badan ibu juga dipengaruhi oleh makanan yang dimakan oleh ibu.
Najis bayi yang menyusu susu formula pula adalah seperti pes dan berwarna kuning gelap atau coklat.
Macam mana nak tahu jenis najis si kecil tidak normal?
Jenis Najis Bayi Yang Tidak Normal & Bahaya
- Merah
- Terdapat darah pada najis bayi.
- Penting untuk membawa si kecil untuk pemeriksaan doktor dengan segera.
- Bayi yang tertelan darah semasa proses bersalin, puting berdarah ketika menyusu badan dan memberi makanan pejal adalah antara faktor warna najis menjadi merah.
- Hitam
- Najis bayi yang berwarna merah boleh berubah menjadi warna hitam.
- Kebiasaannya tidak membimbangkan tetapi sekiranya berpanjangan, perlu dibawa untuk pemeriksaan doktor.
- Putih atau kelabu
- Perlu melakukan pemeriksaan doktor dengan segera.
Posisi Tidur Si Kecil
Si kecil yang baru lahir masih belum dapat membezakan antara siang dan malam. Malah, mereka juga dianggarkan boleh tidur selama 16 jam sehari, 2 – 4 jam terus-menerus di antara waktu makan.
Menurut cadangan American Academy of Pediatrics, posisi tidur yang paling sihat buat si manja adalah posisi tidur terlentang kerana ia boleh mengurangkan risiko kematian bayi secara mengejut.
Bagaimana pula dengan posisi mengiring? Posisi tidur mengiring adalah kurang selamat terutamanya untuk bayi yang baru lahir. Hal ini kerana ia meningkatkan risiko penyekatan saluran pernafasan bayi dan memberi tekanan pada rahang.
Penyusuan
Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan susu ibu adalah susu yang terbaik untuk si kecil. Ini kerana susu ibu adalah yang paling selamat, bersih dan mengandungi antibodi yang cukup untuk melindungi bayi daripada penyakit.
Para ibu dinasihatkan untuk memberi susu badan kepada si kecil sehingga si kecil berumur 6 bulan dan diteruskan sehingga berumur 2 tahun. Bayi yang diberikan susu ibu sepenuhnya tidak diberi makanan dan minuman yang lain selain daripada susu badan ibu. Susu ibu sudah pun mempunyai nutrisi yang mencukupi yang diperlukan oleh badan si kecil.
Bayi yang baru lahir tidak dapat menghasilkan kekebalan badan sendiri dan hanya mendapatkannya dari ibu yang dikenali sebagai Immunoglobulin G (IgG). Apabila bayi telah lahir, mereka sangat memerlukan susu ibu kerana susu ibu mempunyai antibodi yang lengkap seperti:
- Immunoglobulin A
- Immunoglobulin D
- Immunoglobulin E
- Immunoglobulin G
- Immunoglobulin M
Bukan itu sahaja, malah dengan memberi susu badan kepada si kecil, kedua-dua bayi dan ibu akan mendapat pelbagai manfaat dari segi kesihatan.
Kelebihan Susu Ibu Pada Si Kecil
- Kandungan dan nutrisi susu ibu berubah seiring dengan keperluan bayi yang sedang membesar.
- Meningkatkan antibodi dan imunisasi si kecil daripada jangkitan seperti selesema, radang paru-paru dan cirit-birit.
- Susu ibu membantu mengurangkan risiko masalah alahan seperti kolik bayi, asma dan penyakit kulit ekzema.
- Meningkatkan perkembangan dan kecerdikan otak bayi.
- Membuatkan bayi berasa selesa dan selamat.
- Memberi peluang untuk si kecil dan ibu berinteraksi dan mengeratkan hubungan.
Kelebihan Menyusu Badan Pada Ibu
- Membantu ibu untuk mengurangkan risiko kanser wanita seperti kanser ovari dan kanser payudara.
- Mengecutkan rahim dan mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
- Membantu ibu untuk mendapatkan kembali bentuk badan asal dan membakar kalori.
Tips Menyusu Susu Badan Pada Si Kecil
- Persediaan untuk menyusu
- Tenangkan diri dan duduk dalam keadaan yang selesa.
- Pegang si kecil dengan lemah lembut, rapatkan si kecil dengan payudara ibu.
- Bantu si kecil membuka mulut dengan luas supaya si kecil dapat melekap dengan baik pada puting.
- Pastikan untuk sentiasa memerhatikan kepala dan badan si kecil agar sentiasa lurus.
- Beri sokongan pada bahagian belakang dan punggung si kecil.
- Memilih posisi yang betul
- Mendukung (Cradle Hold)
- Mendukung secara bersilang (Cross Cradle Hold)
- Posisi mendakap (Football Hold)
- Berbaring ke belakang (Laid Back Hold)
- Posisi mengiring (Side Lying Hold)
Susu ibu juga boleh dipam dan disimpan. Walaubagaimanapun, cara untuk menyimpan susu yang dipam perlu dititikberatkan agar susu tersebut tidak cepat rosak atau basi.
Tips Tambahan Untuk Mama Papa
- Shaken Baby Syndrome
Apa yang dimaksudkan dengan Shaken Baby Syndrome? Sindrom ini merupakan komplikasi kecederaan otak akibat daripada tindakan menggoncang bayi. Shaken Baby Syndrome ini boleh merosakkan sel otak si manja dan menyebabkan kekurangan oksigen ke otak.
Walaubagaimanapun, komplikasi ini boleh dielakkan dengan memastikan mama papa atau sesiapa sahaja yang memegang bayi dalam dakapan untuk tidak menggoncang atau melambung bayi.
Antara tanda-tanda Shaken Baby Syndrome adalah:
- Muntah-muntah
- Bayi kurang menyusu
- Demam
- Sawan
- Tidak sedarkan diri
- Mempunyai pernafasan tidak sekata
- Kelihatan pucat
Segeralah bertindak untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya mendapati tanda-tanda di atas pada si kecil.
- Kolik
Apa itu Kolik? Kolik adalah keadaan dimana bayi yang sihat menangis lebih lama daripada normal.
Si kecil akan menangis tanpa sebab tetapi ada beberapa teori mengatakan penyebab bayi mengalami tangis kolik adalah:
- Sistem pencernaan terganggu
- Asid refluks
- Deria berlebihan
- Alahan makanan
- Terdedah kepada tembakau
Apa tanda-tanda kolik? Kebiasaannya, doktor akan memeriksa si kecil dan mendiagnosis mereka dengan kolik sekiranya mempunyai tanda seperti:
- Tangisan si kecil berlarutan utk tempoh 3 minggu
- Bayi menangis sekurang-kurangnya 3 jam sehari
- Menangis 2-3 kali seminggu
Dengan memastikan si kecil tidak lapar, mendodoi, berbual, bermain dan mendakap si kecil boleh membantu mengurangkan masalah kolik ini.
Kesimpulan
Pasangan yang bakal menjadi mama dan papa perlu menitikberatkan penyediaan diri dari segi ilmu juga dalam membesarkan anak. Terutamanya jika bayi tersebut adalah anak yang pertama. Biar bersederhana dalam persiapan materialistik tapi kaya dengan ilmu asas menyambut kelahiran si manja.
Bukan itu sahaja, malah tumbesaran dan perkembangan si kecil juga akan lebih tersusun dan ceria.
Rujukan
- Penjagaan Bayi Baru Lahir: Strategi bagi Ibu Bapa yang Tertekan – PORTAL MyHEALTH
- Kekuningan pada Bayi Baru Lahir – PORTAL MyHEALTH
- Gaya Tidur Bayi – PORTAL MyHEALTH
- Besar daripada Usia Kandungan (LGA) – PORTAL MyHEALTH
- Kecil daripada Usia Kandungan (SGA) – PORTAL MyHEALTH
- Baby’s Poop – La Leche League International
- Baby Pooping
- The Color of Baby Poop and What It Means – Cleveland Clinic
- Jadual Imunisasi – PORTAL MyHEALTH
- Perkembangan Bayi Mengikut Bulan Hingga Usia Setahun
- Shaken baby syndrome – Symptoms and causes – Mayo Clinic.