Kronik! Radang Paru-Paru Punca Kematian Kedua Tertinggi di Malaysia

Pada 2019, pneumonia merupakan punca kematian utama di Malaysia dalam kalangan wanita iaitu sebanyak 13.2% berbanding lelaki 11.6%. Ia adalah punca kematian kedua tertinggi di Malaysia sebanyak 12.2%.

Pneumonia adalah sejenis jangkitan yang berlaku pada paru-paru disebabkan virus, bakteria atau fungus. Ia juga dikenali sebagai radang paru-paru. 

Paru-paru mempunyai kantung udara yang terlibat dalam penukaran gas oksigen dan karbon dioksida. Oksigen dihirup daripada udara sekeliling dan karbon dioksida dilepaskan daripada paru-paru keluar daripada badan.

Kategori pneumonia :

Asian citizens walking in protective medical masks in the street during coronavirus epidemic

Pneumonia viral dan bakteria berbahaya dan boleh disebarkan dari individu ke individu. Jangkitan juga boleh berlaku daripada sentuhan pada permukaan atau objek yang mengandungi bakteria atau virus. 

a) Hospital-acquired pneumonia (HAP)

Jangkitan yang berlaku apabila tinggal di hospital. Ia lebih berbahaya berbanding jenis lain kerana ia lebih tahan antibiotik (antibiotik kurang bertindak balas dengan bakteria atau virus terlibat).

b) Community-acquired pneumonia (CAP)

Jangkitan yang didapati daripada komuniti atau orang sekeliling iaitu di luar daripada kawasan hospital atau institusi yang sudah dijangkiti virus atau bakteria ini.

c) Ventilator-associated pneumonia (VAP)

Jangkitan yang diperoleh apabila memakai alat bantuan pernafasan. Ia terjadi selepas 48 jam dipakaikan dengan alat bantuan pernafasan.

d) Aspiration pneumonia

Menyedut bakteria masuk ke dalam saluran udara atau paru-paru daripada makanan serta minuman, bukannya ditelan.

e) Walking pneumonia

Pneumonia jenis ini lazim menyerang kanak-kanak. Simptomnya seperti jangkitan pernafasan yang ringan. Ia memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Biasanya pneumonia jenis ini disebabkan bakteria Mycoplasma pneumoniae.

Antara simptom yang ditunjukkan adalah: 

  • Demam ringan 
  • Batuk kering melebihi seminggu 
  • Sejuk badan
  • Sesak nafas
  • Sakit dada 
  • Kurang selera makan

f) Pneumonia dalam ibu mengandung

Radang paru-paru jenis ini dikenali juga sebagai ‘maternal pneumonia’. Golongan ini berisiko tinggi kerana sistem imun mereka lemah. Ibu mengandung berisiko untuk melahirkan bayi pra-matang atau bayi tidak cukup berat.  

g) Pneumonia dalam kanak-kanak

Bayi turut terdedah pada pneumonia. Image via iStock.

1 daripada 71 kanak-kanak dilaporkan menghidapi penyakit pneumonia di seluruh dunia setiap tahun (United Nations Children’s Fund (UNICEF)). Punca jangkitan pneumonia berbeza mengikut usia seperti disebabkan virus pernafasan Streptococcus pneumoniae dan Haemophilus influenzae  yang kerap berlaku dalam kanak-kanak di bawah 5 tahun. 

Manakala untuk kanak-kanak berusia antara 5 ke 13 tahun, mereka mudah dijangkiti virus Mycoplasma pneumoniae.

Tahap pneumonia :

Paru-paru dibahagikan kepada beberapa bahagian dipanggil lobe.

Bronchopneumonia

Jangkitan yang berlaku di kedua-dua paru-paru. Ia lazimnya berlaku setempat berdekatan atau sekeliling bronchi iaitu tiub saluran yang menghubungkan trakea (salur angin) ke paru-paru. 

Lobar pneumonia

Paru-paru dibahagikan kepada beberapa bahagian yang dikenali sebagai ‘lobe’. Lobar pneumonia adalah jangkitan yang berlaku pada 1 atau lebih ‘lobe’.

Jangkitan ini terbahagi kepada beberapa tahap iaitu:

i) ‘Congestion’

Tisu paru-paru kelihatan berat dan tersumbat. Kantung udara dipenuhi cecair penuh dengan organisma berjangkit seperti bakteria, virus atau fungi. 

ii) ‘Red hepatization’

Sel darah merah dan sel imun memasuki cecair dalam paru-paru. Ini menjadikan paru-paru kemerahan dan padat.

iii) ‘Gray hepatization’

Sel darah merah mulai hancur, dan hanya tinggal sel imun, yang menjadikannya kelabu.

iv) Resolusi

Sel imun mula mengeluarkan sisa jangkitan. Batuk membantu mengeluarkan lebihan cecair daripada paru-paru. 

Punca berlaku pneumonia :

Pneumonia berlaku apabila bakteria atau virus memasuki paru-paru dan menyebabkan jangkitan. Reaksi sistem imun untuk melawan jangkitan mengakibatkan keradangan pada kantung udara paru-paru (alveoli). Keradangan ini menyebabkan kantung udara dipenuhi cecair yang mewujudkan simptom pneumonia. Pneumonia boleh berlaku disebabkan virus, bakteria, fungi, kulat, tindak balas kimia atau parasit.

Bakteria :

Antara bakteria yang terlibat yang menjadi punca radang paru-paru adalah:

  • Streptococcus pneumoniae.
  • Mycoplasma pneumoniae
  • Haemophilus influenzae
  • Legionella pneumophila

Virus :

Virus yang menjangkiti sistem pernafasan menjadi punca utama pneumonia. Jangkitan ini lebih ringan berbanding pneumonia disebabkan bakteria. Ia boleh disembuhkan dalam tempoh 1 ke 3 minggu tanpa sebarang rawatan. Menurut National Heart, Lung, and Blood Institute (NIH), pneumonia disebabkan virus berisiko mendapat pneumonia disebabkan bakteria. Antara virus terlibat yang boleh mengakibatkan jangkitan adalah :

  • virus influenza (selsema)
  • ‘respiratory syncytial virus’ (RSV)
  • rhinovirus (common cold)
  • Jangkitan ‘human parainfluenza virus’ (HPIV) 
  • Jangkitan ‘human metapneumovirus’ (HMPV) 
  • Demam campak
  • Cacar air (varicella-zoster virus)
  • Jangkitan ‘adenovirus’
  • Jangkitan ‘coronavirus’ 
  • Jangkitan SARS-CoV-2 (virus COVID-19)

Fungus :

Pneumonia disebabkan fungi biasanya menjangkiti individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik, lemah sistem imun, dan individu yang terdedah pada fungi yang berlebihan daripada tanah tercemar dan najis burung. Antara fungi penyebab pneumonia adalah :

  • Pneumocystis jirovecii
  • Cryptococcus species
  • Histoplasmosis species

Golongan berisiko mendapat pneumonia :

Kanak-kanak berisiko dapat pneumonia. Image via iStock

Pneumonia boleh menjangkiti sesiapa saja daripada bayi hingga dewasa. Bayi dan kanak-kanak berisiko kerana sistem imun mereka masih lemah dan masih berkembang. Antara golongan berisiko adalah : 

  • Bayi baru lahir hingga 2 tahun
  • Individu 65 tahun ke atas
  • Individu lemah sistem imuniti seperti mengandung, HIV, penggunaan ubat-ubatan (steroid dan ubat kanser)
  • Individu dengan masalah kesihatan kronik seperti : 
    • Asma
    • cystic fibrosis
    • diabetes
    • COPD
    • Kegagalan jantung 
    • Penyakit sel sabit
    • Penyakit hati 
    • Penyakit buah pinggang

Simptom pneumonia :

Image via iStock

Antara simptom biasa dialami oleh penghidap pneumonia adalah :

  • Batuk
  • Sukar bernafas
  • Degupan jantung laju
  • Suhu tinggi
  • Berpeluh dan ketar
  • Hilang selera makan
  • Sakit dada

Komplikasi daripada pneumonia :

Pneumonia yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi dalam individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta penyakit kronik.

1. Bacteremia

Bakteria daripada jangkitan radang paru-paru (pneumonia) akan merebak ke saluran darah. Ini akan mengakibatkan tekanan darah rendah, kejutan septik (septic shock), dan kegagalan fungsi organ. Sesetengah individu juga berisiko untuk mendapat serangan jantung. Kejutan septik adalah reaksi apabila terdapat jangkitan bakteria dalam darah.

2. Paru-paru bernanah (lung abscesses)

Ruangan di dalam paru-paru yang mengandungi nanah. Ia boleh dirawat dengan antibiotik. Dalam sesetengah keadaan, pembedahan diperlukan untuk membuang nanah tersebut.

3. Sesak nafas

Pernafasan boleh terganggu akibat jangkitan atau radang paru-paru sehingga memerlukan alat bantuan pernafasan.

4. ‘Pleural effusion’

Pneumonia yang tidak dirawat berisiko dimasuki cecair pada ruangan pleura di sekeliling paru-paru. Pleura adalah lapisan nipis yang melapisi luar paru-paru dan di dalam kawasan tulang rusuk. Cecair ini berkemungkinan untuk dijangkiti bakteria, virus atau fungi dan perlu dialir keluar.  

5. Kerosakan buah pinggang, jantung dan hati

Ketiga-tiga organ ini berisiko untuk mengalami kerosakan akibat tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Reaksi sistem imun yang berlebihan dalam melawan jangkitan juga boleh merosakkan buah pinggang, jantung dan hati. Lebih kurang 20% penghidap pneumonia mengalami masalah jantung.

6. Keadaan kronik yang lebih teruk

Dalam individu yang mempunyai sejarah penyakit seperti kegagalan jantung kongestif dan emfisema, pneumonia berisiko memburukkan lagi keadaan penyakit sedia ada. Malah, mereka juga berisiko mendapat serangan jantung.

7. Kematian

Pesakit pneumonia berisiko untuk mengalami kematian akibat penyakit ini. Menurut Center for Disease Control and Prevention (CDC), 44 000 kematian berlaku akibat pneumonia pada tahun 2019 di Amerika Syarikat.

Tips untuk kesihatan radang paru-paru yang lebih baik :

1. Berhenti merokok

Berhenti merokok akan mengurangkan risiko mendapat pneumonia.

Terdedah pada asap rokok akan menghalang pengaktifan tindak balas imun semula jadi terhadap jangkitan bakteria. Risiko mendapat jangkitan meningkat seiring dengan kadar kekerapan merokok.

Kajian pada 2010 menunjukkan golongan merokok dan golongan tidak merokok tetapi terdedah pada asap rokok (secondhand smoke) merupakan punca pneumonia dalam kalangan warga tua.

Manakala kajian pada 2019 menunjukkan pendedahan pada asap rokok membawa kepada ‘community-acquired pneumonia’ dalam kalangan perokok dan bekas perokok. Justeru itu, berhenti merokok dan menjauhkan diri daripada terdedah pada asap rokok boleh mencegah daripada penyakit pneumonia.

2. Susu ibu

Kanak-kanak dan bayi turut berisiko mendapat pneumonia. Oleh itu, bayi dibawah usia 6 bulan disarankan untuk diberi susu ibu secara penuh. Hal ini kerana dalam susu ibu terdapat pelbagai nutrisi yang baik untuk bayi. Di samping itu, dalam susu ini juga terdapat antibodi semulajadi untuk bayi. Ia akan melindungi bayi daripada jangkitan bakteria dan virus.

3. Minum air dengan cukup

Air yang mencukupi dapat mengelakkan masalah dehidrasi. Air ini membantu mengurangkan kepekatan lendir dalam paru-paru. Di samping itu, ia membantu mengeluarkan toksin berbahaya termasuk bakteria, virus dan fungi daripada badan melalui pembuangan air kecil yang boleh menghalang saluran pernafasan.  

Air tidak terhad kepada air kosong. Ia boleh juga jus, sup, teh atau kopi. Tetapi, individu yang mempunya masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi perlu mengawal pengambilan gula dan garam. Selain membantu kekal hidrat, ia juga memberi nutrisi yang baik untuk badan seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral.

4. Makanan sihat

Tiada makanan yang spesifik membantu penyembuhan pneumonia. Oleh itu, pengambilan makanan seimbang dan sihat penting untuk menguatkan sistem imun melawan jangkitan bakteria, virus dan fungi.

a) Buah-buahan dan sayur-sayuran

Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan untuk melawan jangkitan bakteria, virus dan fungi. Buah sitrus mengandungi vitamin C yang tinggi  membantu merangsang sistem imuniti dan mempercepatkan proses penyembuhan. Ia juga mengandungi antikoksidan yang melindungi diri daripada serangan agen asing penyebab jangkitan. 

Sayur daun hijau bagus dalam menyembuhkan jangkitan. Hal ini kerana ia mengandungi antioksidan yang melindungi daripada serangan bakteria, virus dan fungi penyebab jangkitan.

b) Bijirin penuh

Whole wheat penne pasta primavera

Bijirin penuh seperti oat, nasi beras perang, roti bijirin penuh, pasta bijirin penuh serta sumber karbohidrat lain membantu memberi tenaga disamping melancarkan proses penghadaman. Ia juga mengandungi selenium yang menguatkan sistem imun badan. Kandungan vitamin B daripada bijirin ini memberikan tenaga untuk menjalani kehidupan harian.

c) Protein

Sumber protein seperti daging, ayam, ikan, telur, dan tempe membantu menguatkan otot. Pemilihan protein tanpa lemak lebih baik untuk mencegah risiko penyakit lain seperti jantung.

d) Vitamin D

Salmon antara sumber vitamin D

Vitamin D menguatkan sistem imuniti untuk melawan jangkitan seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan pneumonia. Kekurangan vitamin D boleh melemahkan sistem pertahanan sel badan yang akan membenarkan bakteria dan virus untuk memasuki badan. Antara sumber makanan tinggi vitamin D adalah ikan berlemak (salmon, tenggiri, mackerel, tuna), telur kuning, dan produk tenusu.

5. Vaksin setiap 5 tahun sekali

Pneumonia disebabkan virus akan dirawat menggunakan ubat anti-viral. Pesakit Streptococcus pneumonia akan diberi pelalian vaksin pneumococcal. Pelalian vaksin ini berkesan untuk penghidap emfisema, diabetes, serta mereka yang telah dibuang limpa. Ia akan diberikan 5 tahun sekali.

6. Ubat-ubatan – antibiotik

Image via iStock

Ubat antibiotik akan diberikan kepada pesakit pneumonia yang mengalami jangkitan akibat bakteria. Jangkitan yang didapati daripada komuniti atau masyarakat  akan dirawat dengan antibiotik augmentin, erythromycin atau azithromycin selama 7 ke 10 hari. Manakala jangkitan yang berlaku di hospital akan dirawat dengan antibiotik cephalosporin, carbapenem, aminoglycoside dan vancomycin melalui suntikan pada salur darah. 

Jangkitan fungi boleh dirawat menggunakan ubat anti-fungi tetapi mengambil masa yang lama. 

Pneumonia disebabkan virus boleh disembuhkan dalam tempoh 1 ke 3 minggu dengan penjagaan kendiri di rumah. 

Konklusi :

Pneumonia adalah jangkitan yang boleh disembuhkan. Rawatan yang tepat dapat mengelakkan risiko komplikasi penyakit. Jangkitan yang berlaku disebabkan bakteria dapat dikurangkan melalui pemberian antibiotik. Namun begitu, antibiotik perlu diambil mengikut preskripsi. Jika berhenti awal, badan berisiko untuk kurang bertindak balas dengan ubat antibiotik.

Rujukan :

  1. Winnall, WR, Bellew, B, Greenhalgh, EM, & Winstanley, MH. 3.9 Increased susceptibility to infection in smokers. In Greenhalgh, EM, Scollo, MM and Winstanley, MH [editors].  Tobacco tin Australia: Facts and issues. Melbourne: Cancer Council Victoria; 2022. 
  2. Everything You Need to Know About Pneumonia
  3. Radang Paru-Paru
  4. Viral Pneumonia: Symptoms, Risk Factors, and More

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here