Krisis Hipertensi Tidak Boleh Dibawa Main! Ini 5 Langkah Terbaik Untuk Mencegah Penyakit Ini

Jantung dan saluran darah adalah komponen penting dalam badan manusia. Ia berfungsi mengepam darah dan membawa darah yang mengandungi oksigen ke seluruh badan. Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh membawa maut.

Hipertensi juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi. Hipertensi yang tidak terkawal akan meningkatkan tekanan darah yang mendadak dan teruk. Di Malaysia, 3 daripada 10 individu (6.4 juta) menghidap penyakit tekanan darah tinggi. 

Krisis tekanan darah tinggi adalah tekanan darah yang naik tinggi melebihi paras kebiasaan iaitu melebihi 180/120 mmHg. Ada yang mengalami tekanan darah sehingga 200mmHg.

Ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu urgency hypertension dan emergency hypertension. Urgency hypertension adalah tekanan darah tinggi yang tidak menunjukkan sebarang simptom. Manakala emergency hypertension adalah tekanan darah tinggi yang menunjukkan simptom.

Masalah ini jika berterusan akan merosakkan saluran darah dan organ utama dalam badan. Pada 2018 di Amerika, setengah juta individu meninggal disebabkan tekanan darah tinggi sebagai punca utama.

Tekanan darah dibahagikan kepada dua iaitu sistolik dan diastolik. Tekanan sistolik adalah tekanan yang berlaku dalam saluran darah apabila jantung mengepam darah keluar ke seluruh organ. Tekanan diastolik adalah tekanan dalam saluran darah apabila jantung rehat diantara degupan jantung.

Punca krisis hipertensi :

Tekanan darah tinggi boleh berpunca daripada 

  • Lebihan berat badan atau obesiti
  • Kerap mengambil makanan tidak sihat terutamanya tinggi garam seperti makanan proses, sos, makanan yang dikeringkan dan makanan berlemak
  • Kurang aktif melakukan aktiviti fizikal
  • Merokok 
  • Sejarah penyakit kardiovaskular
  • Mempunyai penyakit lain seperti diabetes atau penyakit buah pinggang

Simptom krisis hipertensi :

Tidak semua individu dengan masalah tekanan darah tinggi akan menunjukkan simptom. Antara simptom tekanan darah tinggi kronik yang memerlukan rujukan doktor adalah : 

  • Sakit kepala atau migrain teruk 
  • Pening 
  • Anxiety teruk (kegelisahan)
  • Loya tekak dan muntah
  • Sakit dada 
  • Perubahan dalam penglihatan 
  • Sesak nafas 
  • Hidung berdarah 
  • Sawan 

Diagnosis untuk krisis hipertensi :

Individu yang disyaki berisiko mengalami kerosakan organ disebabkan krisis hipertensi perlu melakukan beberapa ujian seperti :

  • Ujian darah 
  • Ujian air kencing
  • Pemeriksaan mata
  • Echocardiogram untuk jantung
  • Ultrasound untuk jantung dan buah pinggang
  • X-ray dada untuk jantung dan peparu
  • CT atau MRI scan otak

Kesan krisis hipertensi :

Tekanan darah yang tinggi secara berpanjangan berisiko untuk merosakan organ-organ penting dalam badan seperti kerosakan buah pinggang, hilang penglihatan, serangan jantung dan stroke. 

Keadaan ini berlaku apabila tekanan darah yang sangat tinggi menghalang aliran darah dalam salur darah seterusnya menjejaskan sel-sel di dinding salur darah yang berperanan melebarkan dan menyempitkan salur darah. Apabila sel di dinding ini tidak dapat berfungsi dengan baik, ia mengakibatkan struktur dinding salur darah mengalami kerosakan dan keradangan seterusnya mengeraskan salur darah. Darah dan oksigen juga tidak dapat disalurkan ke seluruh badan yang boleh merosakkan organ-organ penting lain dalam badan ; hati, buah pinggang dan otak.

Rawatan penyakit tekanan darah tinggi:

Tujuan utama utama rawatan dilakukan adalah untuk menurunkan paras tekanan darah sekurang-kurangnya 25% dalam sejam pertama. Hal ini kerana penurunan secara drastik juga akan menyebabkan komplikasi penyakit. Rawatan yang akan diberikan pada individu dengan masalah krisis hipertensi adalah suntikan ubat anti-hipertensi untuk menurunkan tekanan darah secara perlahan dan berperingkat.

Apabila tekanan darah semakin menurun dan stabil, ubat anti-hipertensi akan diberi secara oral (makan melalui mulut). Ubat yang diberikan ini akan dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu :

  • Mengandung 
  • Mempunyai penyakit lain
  • Krisis hipertensi berlaku disebabkan pengambilan dadah terlarang

Langkah pencegahan penyakit tekanan darah tinggi:

Selain mengambil ubat hipertensi mengikut saranan doktor, perkara lain turut perlu di titik berat. Pemakanan dan gaya hidup sihat juga menyumbang kepada paras tekanan darah yang normal.

1. Banyakkan pengambilan sayur dan buah

Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan serat, vitamin serta mineral (contoh: potassium & magnesium). Antara contoh sayur adalah brokoli, sawi, bayam, kangkung, lobak merah, timun dan tomato. 1 hidangan sayur bersamaan separuh cawan sayur mentah atau dimasak atau secawan sayur daun hijau mentah. Manakala untuk buah, 1 hidangan bersamaan 1 biji buah untuk saiz sederhana (saiz seperti segenggam penumbuk). Saranan pengambilan sayur dan buah adalah 4 ke 5 hidangan sehari.

Sayur tidak mempunyai kalori yang banyak. Kalori sayur yang rendah membolehkan sayur diambil dalam kuantiti yang banyak tetapi perlu dijaga cara masakan yang digunakan. Pilih sayur dan buah segar berbanding dalam tin. Jika ingin membeli sayur dan buah dalam tin, pastikan ia dilabel “rendah natrium/sodium” “tiada garam tambahan” “bebas gula” dan “tiada gula tambahan”. 

2. Hadkan pengambilan garam/sodium 

Garam dan tekanan darah tinggi sangat berkait rapat. Pengambilan garam secara berlebihan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi. Hal ini kerana menurut The Dietary Guidelines for Americans, penggunaan garam (sodium) sehari untuk seorang individu dewasa tidak melebihi 2300mg. Tetapi ia berbeza untuk mereka yang berusia 51 tahun keatas yang hanya memerlukan 1500 mg sehari. Oleh itu, dengan mengehadkan makanan tinggi garam, membantu mencegah penyakit ini. 

Menurut KKM, pengambilan garam yang sihat adalah 1 sudu teh sehari bersamaan 2000mg sodium. Antara cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan pengambilan garam adalah: 

  • Hadkan makanan segera dan makan di luar
  • Hadkan penggunaakan perasa tambahan seperti sos tomato, sos tiram, kicap, sos ikan, serbuk perasa, 
  • Gantikan garam dengan rempah ratus atau bahan semulajadi dalam masakan harian. Sebagai contoh bawang putih, jus limau, air asam jawa, asam keping, tomato, serai, lengkuas, lada hitam dan lada putih
  • Rendamkan bahan kering sebelum dimasak (ikan bilis, ikan kering dan udang kering)

3. Hadkan pengambilan alkohol

Alkohol akan meningkatkan hormon renin dalam darah dan menyempitkan saluran darah. Hormon renin akan mengurangkan jumlah cecair yang keluar daripada badan melalui urin. Ini akan menyebabkan pengumpulan cecair dalam badan. Cecair yang banyak dan saluran darah yang sempit akan memberi tekanan pada saluran darah seterusnya menyebabkan tekanan darah tinggi.

Minuman beralkohol boleh merosakkan jantung. Minum lebih daripada 1 kali sehari untuk perempuan dan lebih 2 kali untuk lelaki akan meningkatkan tekanan darah. Oleh itu, minuman beralkohol perlu dihadkan pengambilannya.

4. Kekalkan gaya hidup sihat 

Kerap bersenam atau melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya dengan kadar kelajuan sederhana membantu mengekalkan kesihatan jantung serta peredaran darah. Dengan bersenam, ia membantu menurunkan berat badan dengan lebih mudah seterusnya mengekalkan tekanan darah yang normal. 

Aktiviti fizikal baik untuk mengawal tekanan darah tinggi. Dengan melakukan aktiviti fizikal, stress dan risiko penyakit seperti kardiovaskular, otot, tulang dan peredaran darah rendah. 

Menurut Panduan Pemakanan Malaysia (MDG) 2010 dari KKM, melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan kadar kelajuan atau kekuatan yang sederhana dapat mengurangkan risiko penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, tekanan mental dan stroke. Ia juga membantu mengelakkan penyakit yang sedia akan bertambah teruk sehingga boleh menyebabkan kematian pramatang. 

  • Berjalan laju
  • Jogging
  • Berbasikal
  • Berenang 
  • Menari
  • Lompat tali
  • Bola sepak
  • Badminton
  • Mendaki 
  • Tennis 

5. Elakkan merokok 

Merokok akan mengeraskan dinding dan merosakkan saluran darah. Kandungan nikotin dalam rokok akan meningkatkan tekanan pada salur darah. Selain itu, karbon monoksida daripada rokok juga  akan mengurangkan jumlah oksigen yang dibawa oleh darah.  Jika ia tidak dikawal daripada awal, ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi seterusnya penyakit jantung.

6. Tidur berkualiti dan cukup

Tidur yang cukup dan berkualiti penting kerana ia adalah masa untuk sistem badan berehat setelah seharian bekerja. Tekanan darah akan menurun ketika tidur. Untuk golongan dewasa masa tidur terbaik adalah 7 jam sehari. Antara tips yang boleh dilakukan untuk membaiki kualiti tidur adalah

  • Melakukan aktiviti fizikal dengan cukup pada siang hari
  • Bangun pagi dan tidur pada waktu yang sama setiap hari
  • Rutin tidur yang konsisten
  • Pastikan suasana bilik tidur sejuk, gelap, selesa dan bebas daripada bising dan gangguan.

Konklusi :

Tekanan darah yang terlalu tinggi membahayakan kesihatan sehingga boleh membawa maut. Langkah pencegahan perlu dilakukan untuk mengelakkan komplikasi yang teruk.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here