Kolostrum adalah susu yang mula dihasilkan ketika kehamilan bermula dari minggu ke-12 hingga ke-18 dan mula-mula keluar daripada ibu selepas proses kelahiran. Ia akan keluar sebelum keluarnya susu ibu.
Semasa proses kelahiran, kolostrum yang dihasilkan lebih banyak berbanding keperluan bayi sendiri. Teksturnya agak pekat, melekit dan berwarna kekuningan. Oleh kerana teksturnya itu, ia diperlukan dalam kuantiti yang sedikit.
Warna kuning terhasil disebabkan ia mengandungi beta-carotene iaitu vitamin A. Terdapat juga sesetengah ibu akan menpunyai kolostrum berwarna jernih dan putih.
Kuantiti susu diperlukan bayi
Ibu yang baru bersalin akan menghasilkan susu dalam 10 hingga 100 mililiter (ml) setiap hari dengan jumlah purata 30 ml (1 ounces) sehari. Jumlah ini lebih daripada mencukupi untuk seorang bayi.
Biasanya bayi hanya memerlukan lebih kurang 1 sudu teh kolostrum setiap kali makan. Apabila susu ibu memasuki fasa pertukaran dari kolostrum ke susu ibu biasa, perut bayi akan mengembang dan lebih banyak susu boleh diminum oleh bayi.
Adakah kolostrum lebih baik daripada susu ibu biasa?
Kandungan nutrisi
Kolostrum mengandungi nutrisi dan antibodi yang lebih banyak dan pekat berbanding susu ibu biasa. Malah, ia juga mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan bayi untuk tumbesaran.
Antibodi ini diperlukan untuk melawan jangkitan dan menguatkan sistem imunisasi. Susu ibu adalah sumber nutrisi utama untuk para bayi dalam menyokong pertumbuhan terutamanya pada minggu pertama kehidupan mereka.
Di samping itu, kolostrum tinggi kandungan lemak dan protein berbanding susu ibu biasa. Ia penting untuk menguatkan sistem imunisasi dan pencernaan bayi. Kolostrum akan berubah menjadi susu ibu biasa setelah beberapa hari atau minggu selepas proses kelahiran. Semasa proses ini, antibodi akan berkurang dan jumlah susu akan meningkat.
a) Laktoferin
Laktoferin adalah protein yang terdapat dalam sistem imunisasi badan yang akan bertindak balas terhadap jangkitan seperti bakteria dan virus. Ia juga berfungsi mencegah pembiakan bakteria dan kulat.
Kajian juga membuktikan susu formula yang diperkaya dengan laktoferin berupaya mengurangkan risiko bakteria atau kulat (“delayed-onset septicaemia”) dalam bayi baru lahir dengan masalah kurang berat badan.
Selain itu, kajian di China juga melaporkan penurunan masalah berkaitan pernafasan dan cirit-birit dalam kalangan bayi yang diberi susu formula mengandungi laktoferin.
Di samping itu, kajian berskala kecil di Amerika Syarikat menunjukkan pengurangan masalah berkaitan jangkitan saluran pernafasan sebanyak 70%. Kajian klinikal juga membuktikan protein ini mampu meningkatkan sistem imunisasi bayi. Oleh yang demikian, kolostrum mengandungi laktoferin yang memberi manfaat kepada para bayi.
b) Hormon untuk pertumbuhan
Kolostrum mengandungi hormon untuk pertumbuhan yang diperlukan dalam menyokong tumbesaran bayi. Hormon ini diperlukan untuk membaiki sel-sel badan yang rosak dan menghasilkan sel-sel baru.
c) Antibodi
Antibodi adalah sejenis protein yang dikenali sebagai immunoglobulin (IgE). Ia diperlukan oleh sistem imun badan untuk melawan bakteria dan virus serta melindungi bayi daripada sebarang jangkitan. Antibodi daripada susu ibu adalah perlindungan utama sebaik dilahirkan.
Kepentingan kolostrum :
1. Meningkatkan imuniti
Kolostrum mengandungi agen anti-bakteria dan antibodi yang akan meningkatkan sistem imuniti bayi. Kolostrum ini akan melindungi dan melapisi saluran usus untuk menghalang dan mencegah kuman dan bakteria agar tidak diserap sistem tubuh bayi. Ia akan melindungi bayi daripada jangkitan kuman, bakteria dan virus yang terdapat disekelilingnya.
2. Mencegah keradangan
Kolostrum mengandungi agen anti-radang yang akan membunuh mikroorganisma berbahaya yang akan mengancam sistem badan bayi. Ia juga akan melindungi bayi daripada keradangan.
Keradangan berlaku apabila sistem badan bertindak balas terhadap jangkitan kuman, kecederaan atau bendasing. Tindak balas ini boleh mengakibatkan radang, panas, bengkak dan rasa sakit pada kawasan yang terlibat.
3. Menghasilkan bakteria sihat
Susu kolostrum menghasilkan bakteria baik yang diperlukan dalam sistem pencernaan bayi. Bakteria ini penting untuk melindungi sistem pencernaan seperti perut dan usus daripada bakteria jahat dan virus. Kajian membuktikan bakteria ini membantu melawan jangkitan dalam badan bayi.
4. Mengatasi masalah pencernaan
Komponen dalam kolostrum seperti laktoferin dan antibodi dapat mencegah masalah pencernaan yang berkaitan jangkitan. Ia akan melindungi dan mencegah usus dan perut daripada diserang bakteria dan virus. Contohnya cirit-birit disebabkan bakteria atau virus. Ia juga boleh mencegah masalah sembelit yang boleh menyebabkan ketidakselesaan pada bayi.
5. Mencegah gula rendah dalam darah (hipoglikemia)
Hypoglikemia neonatal adalah keadaan bayi dengan paras gula dalam darah rendah dari paras biasa dalam beberapa hari selepas kelahiran. Masalah gula rendah ini akan mengganggu proses pertumbuhan bayi dan boleh menyebabkan sel otak mati.
Masalah gula rendah dalam kalangan bayi boleh berlaku terutamanya dalam kalangan bayi pra-matang, bayi mendapat jangkitan dan memerlukan oksigen tambahan sebaik dilahirkan. Ia juga boleh berlaku apabila ibu mempunyai diabetes semasa mengandung (bayi bersaiz besar daripada biasa sebaik dilahirkan) dan bayi dengan pertumbuhan yang perlahan dalam rahim ibu.
Kolostrum daripada ibu mempunyai komponen penting untuk mengatasi masalah gula rendah dalam darah ini. Oleh itu, penyususan dengan kolostrum selepas dilahirkan sangat penting untuk para bayi.
6. Menggalak penyusuan susu ibu
Bayi yang mendapat susu kolostrum sebaik dilahirkan lebih cenderung untuk mendapat penyusuan ekslusif. Penyusuan eksklusif ialah penyusuan dengan susu ibu sehingga 6 bulan pertama kelahiran.
Selain itu, ibu juga berpotensi menghasilkan bekalan susu dengan lebih banyak untuk bayi jika mereka mula menyusukan bayi dengan kolostrum. Hal ini kerana, sentuhan kulit-ke-kulit antara ibu dan bayi akan meningkatkan penghasilan susu ibu.
Kajian telah membuktikan sentuhan awal kulit-ke-kulit antara ibu dan bayi pra-matang serta pengambilan susu kolostrum dalam kalangan bayi akan menggalakkan penyusuan susu badan.
7. Membantu proses tumbesaran
Bayi yang dilahirkan pra-matang atau kurang berat badan memerlukan sumber makanan yang lebih untuk meningkatkan tumbesaran. Kolostrum mengandungi kalori, mikronutrien (karbohidrat, protein, lemak) serta vitamin dan mineral yang tinggi untuk menampung kekurangan nutrisi bayi.
Konklusi:
Terdapat juga colostrum daripada susu lembu. Ia adalah dalam bentuk supplement tambahan dan dikenali sebagai bovine colostrum.
Walaupun terdapat susu formula yang dicipta menyerupai kolostrum, tetapi ia tidak dapat memberi nutrisi yang sama seperti susu semula jadi manusia. Penyusuan dengan kolostrum pada peringkat awal kelahiran bayi dapat memberi manfaat kepada pertumbuhan dan kesihatan bayi. Para ibu harus lebih mengetahui tentang khasiat tersembunyi disebalik susu yang dihasilkan. Oleh itu, kolostrum daripada ibu sangat penting untuk para bayi.