Khasiat Tersembunyi! 5 Manfaat Mahkota Dewa Melawan Penyakit

Mahkota dewa merupakan sejenis tumbuhan perubatan atau herba, dikenali dengan nama saintifiknya Phaleria macrocarpa. Ia juga dipanggil God’s crown dalam bahasa Inggeris. Tanaman ini berasal dari Papua New Guinea dan sangat terkenal di Indonesia dan Malaysia.

Pokok mahkota dewa mempunyai ketinggian 1 m hingga 18 m dengan getah akar lurus panjang 1 m, kulit batang berwarna hijau kecoklatan dan kayu berwarna putih. Ia biasanya tumbuh 10 m – 1,200 m dari permukaan laut dengan usia produktif antara 10 hingga 20 tahun. Ia boleh juga ditanam dihalaman rumah. 

Tanaman ini mempunyai bunga berwarna hijau hingga maroon. Buahnya berwarna hijau ketika belum masak dan merah apabila masak. Bijinya berwarna coklat dan ia beracun. Ia mempunyai rasa yang pahit.

Bahan kimia yang terdapat dalam herba ini ialah antihistamin, alkoloid, saponin dan polifenol (lignan). Bahan-bahan kimia ini penting untuk merawat pelbagai jenis penyakit kerana ia bersifat anti-cancer, anti-diabetic, anti-hyperlipidemic, anti-inflammatory, anti-bacterial, anti-fungal dan anti-oxidant. 

Tanaman herba ini berpotensi merawat pelbagai jenis penyakit seperti tekanan darah tinggi, mengawal kencing manis, kanser, gout, penyakit berkaitan hati, alergi, ginjal dan jantung. Ia juga berupaya mengurangkan penyakit kulit, mengatasi kebergantungan ubat, sakit sendi, insomnia (masalah sukar tidur), meningkatkan stamina dan ketahanan terhadap influenza (selsema).

Manfaat herba mahkota dewa pada kesihatan:

1. Mahkota dewa menurunkan gula dalam darah

Pertama, ekstrak buah mahkota dewa mempunyai bahan yang boleh menurunkan paras gula dalam darah selepas makan (post-prandial). Buah ini akan menghalang enzim pancreatic α-amylase dan enzim yang terlibat dalam pencernaan makanan karbohidrat.

Herba ini bertindak mengurangkan pencernaan karbohidrat serta mengurangkan pemecahan karbohidrat kepada molekul kecil seperti glukosa, fruktosa dan laktosa. Oleh itu, ia akan melambatkan penyerapan glukosa dalam darah. Seterusnya, untuk jangka masa pendek, ia akan merendahkan bacaan gula selepas makan (post-prandial) dan untuk jangka masa panjang, mengurangkan bacaan darah HbA1c (Glycosylated hemoglobin). HbA1c ialah purata bacaan gula untuk tempoh 3 bulan yang lepas.  

2. Mahkota dewa melawan radang dan jangkitan bakteria

Bakteria Eschericia coli

Kedua, radang adalah sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Ia berperanan dalam penyembuhan luka. Ekstrak dari mahkota dewa iaitu 20.26% phalerin merupakan agen untuk melawan radang. Ia akan menghalang penghasilan penanda keradangan dalam badan. 

Justeru itu, pelbagai penyakit yang berlaku disebabkan radang boleh dielak dan dikawal seperti gastrik, edema, buasir dan sakit sendi. Sifat anti-radang daripada herba ini dapat mengurangkan sakit disebabkan haid seperti kekejangan perut dan ketidakselesaan pada uterus. 

Mahkota dewa akan mengganggu proses penghasilan hormon prostaglandin. Hormon ini akan memberi tindak balas apabila terdapat jangkitan atau kerosakkan tisu seperti sakit, demam dan keradangan (merah, bengkak) yang akan merangsang proses penyembuhan. 

Selain itu, herba ini mempunyai flavanoids, saponins, polyphenols dan tannins yang boleh menghalang pertumbuhan dan jangkitan bakteria seperti Enterobacter aerogenes, Eschericia coli, Klebsiella pneumonia, Micrococcus luteus, Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus. 

3. Mahkota dewa melawan kanser

Ketiga, herba ini mempunyai kompound untuk melawan sel kanser. Daun dan buah mahkota dewa boleh dicampur dengan ubat kemoterapi melawan kanser iaitu adriamycin cyclophosphamide. Ini menghasilkan kesan sinergis yang boleh mengurangkan pertumbuhan tidak normal pada sel payudara. Campuran ini akan mendorong proses apoptosis iaitu mematikan atau membuang sel yang tidak normal sebelum ia menjadi kanser. 

Herba ini juga melindungi daripada kerosakkan hati dan ginjal disebabkan kemoterapi kanser. Ekstrak methanol akan menghalang sel daripada bercambah, menghalang sel kanser daripada menghasilkan saluran daran sendiri dan pendorong proses apoptosis.

Selain itu, daun mahkota dewa mempunyai bahan menyembuhkan penyakit seperti penyakit berkaitan darah, allergik, kencing manis dan ketumbuhan pada tisu dan organ dalam badan.

4. Mahkota dewa mengandungi antioksidan

Keempat, mahkota dewa mengandungi antioksidan yang bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel. Hal ini berlaku disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan. Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan.

Selain itu, mahkota dewa mempunyai kompound terpenoids, saponins, tannins, flavanoids and phenols sebagai antioksidan. Ia penting untuk melawan penuaan. Ia akan melindungi kulit daripada serangan radikal bebas yang akan menyebabkan kita kelihatan lebih tua dari usia sebenar. Herba ini juga dipercayai boleh menyembuhkan penyakit kulit.

5. Mahkota dewa melawan hyperlipidemia

Kelima, mahkota dewa bersifat anti-hyperlipidemia iaitu melawan pengumpulan lebihan lemak dalam saluran darah. Hyperlipidemia dikenali sebagai lebihan trigliserida dan kolesterol dalam darah. Ia boleh disebabkan badan menyimpan lebihan kalori yang tidak diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga.

Herba ini terbukti membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan mengawal LDL kolesterol (kolesterol jahat). Apabila kolesterol berkurangan, ia dapat mengelakkan daripada penyakit jantung.

Konklusi

Untuk makluman, buah mahkota dewa perlu dipetik ketika warna kemerah-merahan. Buah mahkota dewa mempunyai biji yang beracun dan perlu dibuang. Herba ini biasanya direndam dengan air panas sebelum diminum.

Konklusinya, mahkota dewa mempunyai khasiat penting dalam perubatan. Ia sering digunakan dalam perubatan tradisional contohnya minuman kesihatan. Walaupun begitu, ia juga mempunyai kesan toksik kepada badan.

Pernahkah anda cuba minuman mahkota dewa? Boleh kongsikan manfaat anda dapat dengan kami.

Rujukan

  1. Altaf, R., Asmawi, M. Z., Dewa, A., Sadikun, A., & Umar, M. I. (2013). Phytochemistry and medicinal properties of Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl. extracts. Pharmacognosy reviews, 7(13), 73–80.
  2. Mahkota dewa
  3. Mahkota Dewa (Phalaeria macrocarpa)
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here