Khasiat Luar Biasa Cuka Epal Yang Anda Patut Amalkan

Cuka epal telah terkenal sejak berkurun lamanya disebabkan khasiatnya yang luar biasa. Ia telah digunakan sejak berkurun lamanya dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Saudara untuk merawat luka-luka tentera yang terlibat. 

Cuka epal adalah buah epal yang melalui proses penapaian menjadi asid. Ia melibatkan 2 proses dan proses pertama, epal akan dipotong atau dihancurkan dan dicampurkan dengan ragi untuk menukarkan gula daripada buah epal kepada alkohol. Kedua, bakteria akan ditambah untuk menapai alkohol menjadi asid asetik. 

Asid asetik adalah komponen utama dalam cuka epal, juga dikenali sebagai asid etanoik. Ia adalah kompound organik dengan rasa masam dan bau yang kuat.

Cuka epal kaya dengan pelbagai nutrisi termasuklah potassium, klorida, kalsium, sodium, magnesium dan fosforus serta vitamin seperti vitamin A, B, C dan E. 1 sudu makan (15ml) cuka epal mengandungi 3 kalori dan karbohidrat yang sedikit.

Cuka epal boleh dipelbagaikan cara makan atau minumnya. Ia tidak semestinya perlu diminum terus kerana rasanya yang masam dan tajam boleh menimbulkan ketidakselesaan untuk sesetengah individu.

  1. Campurkan 2 sudu makan (30ml) cuka epal dengan 1 cawan (240ml) jus buah-buahan
  2. Campurkan 2 sudu makan (30ml) cuka epal dan madu
  3. Tuang 2 sudu makan (30ml) cuka epal ke atas salad untuk dimakan bersama
  4. Campurkan dalam minuman teh

Khasiat cuka epal:

1. Mengawal paras gula dalam darah

Kencing manis terjadi apabila organ pankreas tidak dapat menghasilkan insulin dengan cukup atau insulin yang dihasilkan tidak dapat bertindak dengan gula dalam darah. Hasilnya, gula akan berkumpul dalam saluran darah dan tidak dapat bergerak ke sel-sel badan. Insulin diperlukan untuk membawa gula dari saluran darah ke sel-sel badan untuk menghasilkan tenaga. 

Kajian membuktikan cuka ini mampu meningkatkan sensitiviti insulin sebanyak 19 – 34%. Ianya berkesan ketika diambil bersama makanan tinggi karbohidrat dan paras gula rendah. 

Selain itu, ciri-ciri anti-glisemik daripada cuka epal akan menghalang sebahagian kanji daripada dihadam seterusnya mengawal paras gula dalam darah. Kajian lain juga membuktikan cuka epal boleh mengurangkan paras gula sebanyak 31.4% selepas pengambilan 50 gram roti putih dalam 5 peserta kajian yang sihat. 

Pengambilan 2 sudu besar cuka epal dalam kalangan pesakit diabetes sebelum tidur terbukti dapat membaiki paras gula ketika berpuasa iaitu sebelum sarapan pagi sebanyak 4%. 

Dengan ini, cuka epal terbukti dapat meningkatkan sensitiviti insulin serta mengawal paras gula dalam darah. 

2. Membantu menurunkan berat badan

Asid asetik daripada cuka epal akan mengganggu proses pencernaan kanji. Dengan ini, makanan yang dicerna menjadi kalori adalah sedikit, seterusnya memberi kesan pada berat badan. 

Selain itu, kajian yang dilakukan keatas golongan dewasa Jepun obese menunjukkan pengambilan cuka epal membantu menurunkan berat badan dengan 1 atau 2 sudu makan setiap hari. Malah, peratusan lemak badan dan lemak di perut yang mengelilingi organ juga berkurangan. Lemak ini perlu dicegah untuk mengelakkan risiko penyakit seperti penyakit jantung. 

Di samping itu, pengambilan cuka epal bersama makanan karbohidrat membantu melambatkan makanan meninggalkan perut. Keadaan ini akan merenjatkan selera makan dan memberi rasa kenyang dengan lebih lama.

Selain itu, acetate daripada cuka epal akan memberi isyarat kepada bahagian tengah otak yang mengawal selera makan. Dengan ini, ia akan membantu mengawal pengambilan makanan. Ini seterusnya akan mengurangkan pengambilan kalori dan membantu menurunkan berat badan. 

Cuka epal dapat meningkatkan metabolisma badan dengan meningkatkan enzim AMPK, yang akan merangsang pemecahan lemak dan pengurangan penghasilan lemak dan gula dalam hati.

Oleh itu, cuka epal ini boleh membantu menurunkan berat badan serta mengurangkan lemak dalam badan jika diamalkan dengan betul.

3. Mengawal paras kolesterol

Kolesterol ialah sejenis lemak yang akan bergerak dalam badan melalui salur darah. Ia diproses oleh organ hati dan dikeluarkan sebagai bahan buangan. Ia juga diperlukan oleh badan untuk menghasilkan hormon, sel-sel badan serta hempedu iaitu organ yang diperlukan untuk memproses lemak. 

Kolesterol tidak larut dalam air. Oleh itu, ia tidak terurai dalam darah. Ia akan melekat di dinding salur darah dan membentuk plak. Plak ini akan mengeraskan salur darah seterusnya memaksa jantung untuk bekerja keras mengepam darah. Kolesterol juga boleh dijumpai dalam makanan tetapi hanya makanan berasaskan haiwan. 

Khasiat cuka epal dalam mengawal paras kolesterol dibuktikan dengan kajian yang dilakukan pada 2018 dan 2012. Ia dilakukan keatas tikus kajian. Hasil menunjukkan jumlah kolesterol, trigliserida, dan LDL kolesterol dikurangkan dengan pengambilan cuka epal. HDL kolesterol meningkat dalam individu yang sering mengambil cuka epal.

Sebenarnya, HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang diperlukan untuk menyerap kolesterol dan membawanya kembali ke hati. Manakala LDL kolesterol adalah kolesterol jahat yang akan membawa kolesterol keseluruh badan melalui salur darah dan menghasilkan plak di salur darah.

Cuka epal tinggi dengan asid alfa-linoleik yang juga membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dalam kalangan wanita. Asid alfa-linoleik adalah sejenis omega-3. Ia diperlukan untuk mengurangkan risiko penyakit jantung. 

Dalam pada itu, cuka epal juga tinggi dengan serat dan asid klorogenik iaitu antioksidan yang akan melindungi diri daripada penyakit jantung.

4. Anti-bakteria dan anti-kulat

Cuka epal mempunyai agen anti-bakteria dan anti-kulat yang membantu mencegah pertumbuhan bakteria dan kulat.

Ia dibuktikan dengan kajian tabung uji yang membuktikan cuka epal membantu mencegah pertumbuhan bakteria Enterococcus faecalis. Bakteria ini biasa dijumpai di bahagian usus dan muncul secara semula jadi. Ia berbahaya kerana boleh menyebabkan jangkitan.

Selain itu, Candida albicans adalah sejenis kulat yang sering menyerang manusia. Beberapa kajian telah dilakukan untuk mengetahui keberkesanan cuka epal dalam melindungi manusia daripada jangkitan kulat. Hasil kajian membuktikan cuka epal mampu mengurangkan jangkitan kulat dalam kalangan manusia.

Konklusi

Cuka epal bukan saja kaya dengan serat, malah tinggi dengan vitamin, mineral dan antioksidan yang penting untuk badan. Ia juga boleh digunakan dalam rawatan luka dan mencegah jangkitan bakteria dan kulat. Untuk mendapat kesan yang lebih efektif, ia perlu diamalkan secara konsisten.

Rujukan

  1. 10 Khasiat Cuka Epal Yang TAK Disangka, No. 1 Paling Kerap Diperkatakan!
  2. High cholesterol
  3. 6 Health Benefits of Apple Cider Vinegar, Backed by Science
  4. Can Apple Cider Vinegar Help You Lose Weight?
  5. Health benefits of apple cider vinegar
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here