Ketahui 12 Fakta Wajib Tahu Sebelum Memiliki Air Fryer

Perkakasan menggoreng menggunakan teknologi udara panas atau air-fryer telah mula popular sejak beberapa tahun lalu. Fenomena ini seiring dengan kesedaran kesihatan dan permintaan tinggi terhadap makanan bergoreng. Ia adalah sejenis ketuhar kecil. 

Tujuan utama ketuhar ini dikeluarkan adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan yang gemar akan makanan bergoreng tetapi ingin mengurangkan penggunaan minyak. Makanan bergoreng dengan kaedah ini mengandungi lemak yang lebih rendah berbanding menggoreng di atas kuali dengan minyak banyak.

.

Air-fryer lebih baik daripada kaedah menggoreng di dalam kuali (cara tradisional). Hal ini kerana ia mengurangkan kalori 70% – 80% dan mengandungi lemak yang sangat sedikit. Ini membuktikan kaedah menggoreng di dalam kuali, menggunakan minyak 50 kali lebih banyak berbanding air-fryer.

Selain itu, kaedah memasak ini lebih cepat untuk membakar makanan seperti ayam dan ikan berbanding penggunaan oven(ketuhar).

Dalam pada itu, kajian mendapati kaedah menggoreng dengan air-fryer meningkatkan jumlah  cholesterol oxidation products” (COPs). Ia terhasil apabila kolesterol dari ayam atau ikan keluar ketika memasak. Antara kaedah yang ditunjukkan untuk mengurangkan COPs adalah dengan menambah daun parsley, daun kucai atau kedua-duanya sekali dalam masakan. Daun ini bertindak sebagai antioksidan untuk mengurangkano COPs. 

Disamping itu, kajian lain juga dilakukan untuk melihat hasil perbezaan kaedah memasak kentang goreng menggunakan air-fryer dan kuali. Ternyata air-fryer mengurangkan kandungan lemak dalam makanan tetapi tetap mengekalkan rasa dan kelembapannya.

Kaedah memasak dengan air-fryer

Air-fryer menggunakan udara yang dipanaskan dan mengandungi titisan minyak untuk mengeluarkan kelembapan daripada makanan. Minyak diperlukan dalam kuantiti sedikit ketika memasak. Udara panas akan beredar di sekeliling makanan untuk menghasilkan kerangupan yang sama seperti kaedah memasak tradisional (goreng dengan minyak).

Air-fryer akan merangsang reaksi kimia – Maillard Effect – yang akan membaiki warna, dan rasa makanan yang menggunakan kaedah ini. 

Kesalahan penggunaan air-fryer

1. Masak dalam kuantiti yang banyak dalam 1 masa

Kaedah memasak dengan air-fryer tidak sesuai dalam kuantiti banyak pada 1 masa. Walaupun kapasitinya besar tetapi ia memerlukan ruang untuk udara beredar disekeliling makanan.

2. Tidak mengeringkan makanan terlebih dahulu

Permukaan makanan seperti daging, ayam, ikan dan sayuran perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum memasak. Ia boleh dikeringkan dengan menekap tisu pada permukaan makanan. Ini adalah untuk memastikan makanan lebih cepat dan mudah masak.

3. Peralatan tidak dicuci secara rutin

.

Seperti perkakasan memasak yang lain, ia harus dicuci secara rutin terutamanya apabila sering digunakan. Proses penyucian boleh dilakukan mengikut langkah-langkah saranan setiap jenama.

Penyucian ini penting untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria yang boleh mencemarkan makanan dan boleh mengakibatkan keracunan.

4. Tidak memanaskan terlebih dahulu

Pemanasan air-fryer perlu untuk memastikan makanan dimasak secara optimum dan sekata dengan suhu yang betul.

5. Tidak membalikkan makanan

Teknik memasak dengan cara masa diselaras sendiri dan ditinggalkan kurang sesuai untuk makanan seperti ayam, daging dan ikan. Makanan-makanan ini perlu diterbalikkan beberapa kali untuk memastikan makanan dimasak secara sekata walaupun menggunakan air-fryer.

6. Tidak langsung menggunakan minyak

Walaupun ini adalah peralatan menggoreng tanpa minyak, ia juga memerlukan minyak untuk memberi hasil masakan yang lebih cantik dan sedap. Minyak ini juga akan memberi kerangupan untuk makanan tersebut.

7. Menggunakan cooking spray

Air-fryer sudah dicipta dengan permukaan anti-lekat. Penggunaan penyembur minyak (cooking spray) dikhuatiri akan merosakkan lapisan tersebut.

Kebaikan penggunaan air-fryer

1. Menurunkan berat badan

Kekerapan pengambilan makanan bergoreng meningkatkan risiko penambahan berat badan kerana makanan bergoreng dengan minyak banyak mengandungi kalori dan lemak yang tinggi. Maka, penukaran daripada kaedah menggoreng minyak banyak kepada menggoreng menggunakan air-fryer, akan membantu penurunan berat badan.

Memasak dengan menggunakan air-fryer tidak memerlukan penggunaan minyak yang banyak. Cukup sekadar membasahkan permukaan air-fryer. Dengan ini, pengambilan kalori dan lemak dapat dijimatkan.

Namun begitu, kaedah ini tidak menjamin penurunan berat badan 100% jika tidak mengamalkan pemakanan seimbang serta menambah sayur dan buah dalam pemakanan seharian.

2. Mudah mencairkan makanan beku

Air-fryer memudahkan urusan memasak dengan membantu mencairkan makanan beku dengan cepat.

3. Boleh masak hidangan untuk seorang

Air-fryer bukan sahaja untuk memasak makanan dalam kuantiti yang banyak, malah boleh digunakan untuk hidangan dengan kuantiti yang sedikit.

4. Lebih selamat daripada menggunakan kuali

Kaedah memasak dengan menggunakan kuali akan mendedahkan individu kepada minyak yang merecik, atau risiko tersentuh minyak panas atau kuali panas.

Walaupun menggoreng menggunakan air fryer juga berisiko, individu perlu meggunakan peralatan tersebut dengan berhati-hati dan mengikut arahan untuk menjaga keselamatan diri.

5. Mengurangkan risiko toksik acrylamide

Kaedah menggoreng makanan dalam minyak akan menghasilkan bahan kimia berbahaya iaitu acrylamide. Bahan kimia ini terhasil dalam makanan yang dimasak menggunakan api yang kuat seperti goreng menggunakan minyak yang banyak (deep fry).

Kajian daripada International Agency for Research on Cancer, membuktikan acrylamide boleh menyebabkan pertumbuhan kanser seperti kanser rahim, ovari, pankreas, payudara dan esofagus.

Dengan menukarkan kaedah memasak kepada air fryer, ia akan mengurangkan risiko toksik acrylamide.

Konklusi

Air fryer tidak hanya menawarkan kaedah menggoreng tanpa minyak tetapi ia juga boleh digunakan sebagai oven memanggang, membakar kek, mencairkan makanan sejuk beku, steam dan mengeringkan makanan.

Perkakasan ini membantu individu mendapat pemakanan sihat dengan kaedah memasak yang mudah.

Rujukan

  1. Are air fryers healthy?
  2. What Is an Air Fryer? Here’s What It Really Does to Your Food
  3. Is Cooking with an Air Fryer Healthy?
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here