Keputihan dikenali dengan nama saintifiknya Fluor Albus atau Leukore. Ia adalah lelehan lendir berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita. Menurut statistik, masalah ini dialami hampir 75% wanita yang sudah berkahwin disebabkan aktiviti seksual.
Jenis-jenis keputihan:
1. Keputihan fisiologi
Ia adalah keadaan biasa yang berlaku sebelum kitaran haid atau semasa fasa kesuburan. Lendir yang keluar biasanya berwarna putih, sedikit dan cair.
2. Keputihan patologi

Keputihan jenis ini bersifat kronik dan mempunyai risiko penyakit. Ia berlaku disebabkan jangkitan bakteria atau kulat dan penyakit berbahaya. Lendir yang keluar biasanya lebih banyak, kental, berketul dan berbau busuk serta mengakibatkan kegatalan pada faraj. Ia mempunyai warna yang lebih keruh seperti kelabu, kuning atau hijau.
Jangkitan boleh berlaku daripada kuman seperti bakteria vaginosis dan parasit seperti trikomoniasis, yang biasa berlaku ekoran seks tanpa perlindungan. Keputihan juga didorong oleh penyakit kelamin seperti klamidia atau gonorea, sistem imunisasi tubuh badan yang lemah, gangguan hormon serta pengambilan pil perancang keluarga. Pelbagai faktor yang mendorong terjadinya penyakit keputihan.
Faktor terjadinya keputihan:
1. Faktor kebersihan

Faraj yang lembap dan tidak bersih boleh menggalakkan kedatangan mikroorganisma seperti bakteria dan kulat dengan mudah. Maka, bahagian faraj wanita haruslah dipastikan kering dan bersih selepas membuang air kecil.
Kekerapan penggunaan produk pencuci bahagian intim boleh mengganggu fungsi bakteria serta mengubah persekitaran berasid dan membunuh normal flora yang sedia ada pada faraj. Keadaan ini mendorong pertumbuhan mikroorganisma secara berlebihan sehingga meningkatkan risiko jangkitan.
2. Faktor hormon

Ketidakseimbangan hormon mendedahkan individu untuk mendapat keputihan. Hal ini dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti:
- Rembesan hormon estrogen yang meningkatkan risiko kulat melekat pada dinding faraj
- Pengambilan ubat seperti antibiotik dalam kadar berlebihan dan kerap akan menyebabkan bakteria semulajadi (bakteria baik) pada faraj mati. Ini mendedahkan faraj wanita kepada jangkitan microorganisma patogen iaitu bakteria dan kulat.
- Ketidakstabilan emosi seperti tekanan juga akan mempengaruhi penghasilan hormon yang seimbang.
- Pemakanan yang tidak seimbang akan mengganggu kitaran hormon berikutan kekurangan nutrisi-nutrisi penting.
- Kurang aktiviti fizikal, merokok dan tidur yang tidak cukup juga akan mempengaruhi penghasilan hormon.
3. Faktor gaya hidup
Gaya hidup yang bebas seperti aktiviti seksual yang tidak sihat meningkatkan risiko mendapat jangkitan pada faraj.
4. Faktor kesihatan

Wanita yang mempunyai penyakit kencing manis lebih mudah untuk mendapat jangkitan. Ini disebabkan kandungan gula yang tinggi dalam rembesan faraj mendorong pertumbuhan dan pembiakan kulat dengan banyak pada bahagian tersebut.
Wanita yang mempunyai imuniti yang rendah disebabkan penyakit juga berisiko mendapat jangkitan yang seterusnya menyebabkan keputihan. Contohnya penghidap AIDS, kanser dan leukimia.
Kesan keputihan kepada kesihatan:

Keputihan yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi yang bahaya kepada sistem reproduktif. Kandidiasis invasif adalah jangkitan bakteria yang memasuki faraj. Bakteria ini seterusnya boleh memasuki saluran darah disebabkan luka akibat menggaru.
Keadaan yang tidak dirawat dari awal boleh menjejaskan rahim dan mengakibatkan kemandulan, kehamilan di luar rahim, kanser rahim atau paling menakutkan, kematian sekiranya berlaku pendarahan pada rahim.
Petua mencegah keputihan:
1. Kebersihan diri
Kebersihan diri sangatlah penting untuk mengelakkan jangkitan. Faraj haruslah sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Lap faraj dan kawasan sekitarnya dengan kain atau tisu bersih.
Jika ingin menggunakan pencuci alat sulit, pilih produk yang sesuai dengan diri dan elakkan daripada mengguna semburan faraj serta produk yang mengandungi pewangi.
2. Pakaian

Pakaian yang ketat seperti legging dan seluar ketat akan menyekat pengudaraan. Ini meningkatkan risiko jangkitan. Pakaian dalam haruslah sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak terlalu ketat.
Pemilihan pakaian dalam daripada material kapas lebih digalakkan kerana kapas berkesan dalam menyerap kelembapan. Elakkan material sintetik, ia berisiko memerangkap kelembapan dan menyebabkan kerengsaan. Oleh itu, pilihlah pakaian yang sesuai untuk mengelakkan masalah keputihan daripada menjadi lebih teruk.
3. Tuala wanita dan pantyliner

Pemakaian tuala wanita dan pantyliner dengan kerap boleh menyebabkan keputihan. Oleh itu, elakkan memakai pantyliner dengan kerap. Jika ingin menggunakan tampon, tuala wanita atau pantyliner, pilih yang tidak mempunyai bau. Amalkan penggantian tuala wanita sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 3 jam sekali.
4. Gaya hidup

Gaya hidup yang sihat terbukti dapat mengurangkan masalah keputihan dengan lebih efektif. Pemakanan yang sihat dan cukup nutrisi penting untuk memastikan penghasilan hormon yang berkualiti.
Selain itu, amalkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk tempoh 3 ke 5 hari seminggu. Tidur yang cukup penting untuk kestabilan emosi. Dengan ini, hormon dapat dihasilkan dengan baik dan teratur.
Makanan mencegah keputihan:
Keputihan juga sering terjadi disebabkan jangkitan pada faraj oleh yis, bakteria atau kulat. Pencegahan awal dengan menguatkan sistem pertahanan badan penting untuk melindungi sistem reproduksi.
1. Makanan probiotik

Contoh makanan probiotik ialah yogurt serta minuman berkultur. Makanan dan minuman ini mengandungi kultur hidup yang merangsang lebih banyak bakteria baik untuk badan. Ia akan melindungi sistem badan daripada jangkitan seterusnya melindungi faraj daripada keputihan.
Di samping itu, probiotik menstabilkan bacaan pH pada faraj. Dengan ini, ia akan menguatkan sistem badan dan melindungi daripada jangkitan bakteria dan yis.
2. Buah-buahan dan sayur-sayuran

Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral semulajadi yang penting untuk badan. Ia juga mempunyai antioksidan yang digunakan untuk menyembuh dan melindungi sistem badan daripada jangkitan.
Buah-buahan tinggi kandungan vitamin C bertanggungjawab dalam merangsang sistem pertahanan badan dan melawan jangkitan. Ia juga akan meningkatkan penghasilan sel darah putih yang berperanan dalam sistem pertahanan badan. Sebagai contoh ialah oren, jambu batu, nenas, strawberry dan brokoli.
Tiada 1 buah atau sayur yang mempunyai semua jenis nutrisi. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mempelbagaikan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari.
3. Bawang putih

Bawang putih mengandungi bahan melawan jangkitan. Ianya merupakan agen anti-bakteria dan anti-fungus. Kajian membuktikan pengambilan bawang putih boleh merangsang sistem imunisasi badan untuk bekerja dengan efektif.
Masalah keputihan sering terjadi disebabkan jangkitan yis dan bakteri. Maka, dengan sistem pertahanan yang kuat, ia akan mencegah yis dan bakteria daripada berkumpul pada faraj wanita.
4. Banyakkan air kosong

Air kosong penting untuk kekal dehidrat. Kekurangan air dan faraj kering meningkatkan risiko jangkitan bakteria, virus dan yis. Air yang mencukupi untuk badan juga penting untuk mengekalkan metabolisma badan dan mencegah jangkitan.
5. Makanan seimbang

Makanan seimbang yang terbaik adalah seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pinggan sihat Malaysia iaitu merangkumi karbohidrat, protein, sayur-sayuran serta buah-buahan. Ia mengandungi semua nutrient yang diperlukan badan.
Karbohidrat ialah nasi, mee, bihun, pasta, roti serta biskut. Manakala protein ialah ikan, ayam, daging, tauhu, telur, keju, dan tempe. Nutrisi yang lengkap akan menstabilkan penghasilan hormon. Maka, keputihan juga dapat dikurangkan.
Konklusi:
Konklusinya, penjagaan kebersihan amat perlu untuk diberi perhatian oleh golongan wanita terutamanya pada sistem reproduksi. Masalah keputihan yang tidak dikawal sejak dari awal boleh membawa kesan penyakit.
Pemakanan yang sihat dan seimbang serta nutrisi yang mencukupi dapat mengekalkan metabolisma badan untuk berfungsi dengan lebih optimum. Ini juga dapat melindungi diri daripada jangkitan mikroorganisma seperti bakteria, fungus, yis dan kulat.
Pengambilan makanan manis boleh mendorong kehadiran bakteria dan dan yis pada faraj. Hal ini kerana makanan ini akan meningkatkan paras gula pada faraj. Justeru itu, elakkan makanan manis dan amalkan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat.