Kencing manis atau diabetes merupakan sejenis penyakit tidak berjangkit.
Ianya merupakan penyakit dengan keadaan kesihatan yang kronik dimana gula (glucose) akan tersimpan dalam saluran darah.
Kencing manis selalunya terjadi kepada golongan berumur 45 tahun ke atas. Tetapi kini, ramai daripada golongan remaja dan kanak-kanak sudah menhidapi kencing manis.
Obesiti dan gaya hidup tidak sihat menjadi faktor utama peningkatan kes kencing manis dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Kencing manis boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu kencing manis jenis 1, kencing manis jenis 2 dan kencing manis ketika mengandung.
Jenis-jenis kencing manis
Kencing manis jenis 1
Kencing manis jenis 1 juga dikenali sebagai “diabetes remaja” atau “diabetes yang bergantung kepada insulin”.
Ia dipanggil “Juvenile diabetes” atau “diabetes remaja” kerana ia selalunya bermula ketika kanak-kanak.
Juga boleh dipanggil sebagai “diabetes yang bergantung kepada insulin” kerana seorang penghidap penyakit ini bergantung sepenuhnya kepada insulin sepanjang hayatnya.
Kencing manis jenis 1 terjadi apabila hormon insulin tidak dapat dihasilkan oleh organ pankreas disebabkan sistem imunisasi badan telah tersalah serang sel di pancreas.
Insulin diperlukan untuk membawa gula (glucose) dari saluran darah ke dalam sel dalam badan.
Kekurangan atau tiada hormon insulin akan menyebabkan gula (glucose) terkumpul di dalam saluran darah seterusnya gula dalam sel tidak cukup untuk menghasilkan tenaga.
Ianya boleh terjadi disebabkan faktor keturunan atau terdedah kepada virus atau persekitaran.
Kencing manis jenis 2
Kencing manis jenis 2 terjadi apabila badan tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup untuk badan atau sel dalam badan tidak dapat bertindak balas dengan hormone insulin yang dihasilkan.
Kencing manis jenis 2 merangkumi 90-95% dari semua jenis kencing manis yang ada.
Badan tidak dapat bertindak balas dengan hormon insulin yang dihasilkan oleh badan seterusnya menyebabkan gula dalam darah menjadi tinggi.
Simptom kencing manis
Pelbagai simptom akan dialami oleh penghidap kencing manis.
- Kencing malam kerap (nocturia)
- Kencing kerap (polyuria)
- Rasa lapar yang melampau dan tidak akan hilang walaupun sudah makan (polyphagia)
- Kerap dahaga yang melampau (polydipsia)
- Penurunan berat badan
- Penglihatan kabur
- Luka lambat sembuh
- Keletihan
- Kelesuan
Golongan berisiko
Terdapat beberapa golongan yang berisiko untuk mendapat kencing manis. Golongan berisiko ini terbahagi kepada dua iaitu berisiko dari segi perubatan dan berisiko dari segi gaya hidup.
Golongan berisiko mendapat kencing manis dari segi perubatan.
- Sejarah keluarga pesakit kencing manis
- Berumur lebih 45 tahun
- Bacaan gula dalam darah pada tahap pra-kencing manis
- Mempunyai sejarah kencing manis ketika mengandung
- Sejarah penyakit jantung
- Perempuan yang mempunyai sejarah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
- Bacaan tekanan darah >140/90 mmHg atau sedang mengambil ubat untuk mengawal darah tinggi
- Bacaan triglycerides >2.82 mmol/L
- Bacaan kolesterol baik (HDL) <0.9mmol/L
Golongan berisiko mendapat kencing manis dari segi gaya hidup
- Obesiti
- BMI : >23kg/m2,
- Ukur lilit perut : lelaki > 34 inci ; perempuan >30 inci
- Gaya hidup yang sederhana – kurang melakukan aktiviti fizikal
- Pengambilan karbohidrat yang tinggi
- Merokok
Diagnosis
Kencing manis boleh dibuktikan dengan beberapa ujian klinikal seperti “fasting plasma glucose”, “random plasma glucose”, HbA1C dan “oral glucose tolerance test (OGTT)”.
- “Random plasma glucose” (RPG) – bacaan gula secara rawak
- Bacaan gula yang diambil sebelum makan atau dalam tempoh 1 ke 2 jam selepas makan.
- Ujian ini boleh diukur sendiri di rumah dengan membeli alat penguji kencing manis di farmasi.
- “Fasting plasma glucose (FBG)” – bacan gula ketika puasa
- FBG adalah bacaan gula dalam darah ketika puasa.
- Ia diukur sekurang-kurangnya setelah 8 jam berpuasa semalaman.
- HbA1C
- Ujian untuk mengukur paras gula dalam darah untuk tempoh 3 bulan.
Status | Normal | Pre-diabetes | Kencing manis |
Random plasma glucose | < 7.8 mmol/L | 7.8 – 11.0 mmol/L | ≥ 11.1 mmol/L |
Fasting plasma glucose | < 6.1 mmol/L | 6.1 – 6.9 mmol/L | ≥ 7.0 mmol/L |
HbA1C | < 5.7% (<39 mmol/mol) | 5.7% – <6.3% (39-44 mmol/mol) | ≥ 6.3% (≥45 mmol/mol) |
Berpuasa (sebelum makan pagi) | 2 jam selepas makan | HbA1c |
4.4 – 7.0 mmol/l | 4.4 – 8.5 mmol/L | 6.5% |
- Oral glucose tolerance test (OGTT)
- OGTT dilakukan apabila bacaan gula dalam darah untuk beberapa ujian ditahap pra-diabetes iaitu:
- Paras gula ketika puasa 6.1 – 6.9 mmol/L
- Paras gula secara rawak 7.8 – 11.0 mmol/L
- OGTT juga dilakukan untuk mengetahui wanita yang berisiko mendapat kencing manis ketika mengandung.
- Ujian darah untuk OGTT akan dilakukan 2 kali iaitu sebelum mengambil minuman bergula dan 2 jam selepas itu.
- OGTT dilakukan dengan meminum 75g air gula.
- Untuk mengambil bacaan OGTT,
- perlu berpuasa selama 8 hingga 12 jam
- dikehendaki meminum 75g air gula
- keputusan akan dicatat sebelum ujian dan 2 jam selepas ujian.
- OGTT dilakukan apabila bacaan gula dalam darah untuk beberapa ujian ditahap pra-diabetes iaitu:
Kategori | 0 jam | 2 jam |
Normal | < 6.1 | <7.8 |
IFG | 6.1 – 6.9 | – |
IGT | – | 7.8 – 11.0 |
T2DM | ≥ 7.0 | ≥ 11.1 |
Sumber : CPG Management of Type 2 Diabetes
Ujian untuk mengesahkan status kencing manis boleh dilakukan di hospital dan juga klinik. Pesakit kencing manis jenis 1 akan diberikan suntikan insulin. Manakala pesakit kencing manis jenis 2 akan diberikan ubat secara oral untuk membantu badan menggunakan insulin dengan lebih efektif. Jika bacaan paras gula dalam darah tidak terkawal mereka juga akan diberikan dengan suntikan insulin apabila bacaan gula menjadi tinggi dan tidak terkawal.
Kos biaya rawatan kencing manis
Pasti ramai pernah terfikir kos yang perlu ditanggung oleh penghidap kencing manis. Harga ubat-ubatan di klinik kerajaan ditanggung subsidi dari kerajaan.
Kos untuk insulin bergantung kepada jenis dan jenama insulin yang digunakan. Anggaran harga untuk insulin diantara RM30 hingga RM 200 atau lebih tidak termasuk alat suntikan insulin dan alat untuk memantau paras gula dalam darah. Jumlah keseluruhan yang perlu ditanggung oleh pesakit kencing manis dengan suntikan insulin, ubat-ubatan oral, alat penguji bacaan gula dalam darah serta makanan tambahan dianggarkan boleh mencecah RM 500 hingga RM1000 sebulan.
Langkah pencegahan kencing manis
Pengurusan perubatan, kawalan pemakanan dan senaman yang betul dapat mengawal aras gula menjadi normal. Terdapat beberapa kaedah rawatan yang dicadangkan untuk mengawal kencing manis.
- Kawal berat badan supaya tidak terlebih atau obesiti.
- Kawal pemakanan dengan makan cara betul
- Kawal dengan ubat – ubatan
- Kawal dengan insulin jika bacaan gula tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan.
- Pantau bacaan gula setiap hari
Langkah pencegahan kencing manis yang paling utama ialah pemakanan dan gaya hidup.
1. Turunkan berat badan
Kencing manis sering terjadi dalam kalangan obesiti kerana lemak yang berkumpul di organ menyebabkan insulin tidak dapat membawa gula dari dalam darah ke sel-sel dalam badan.
Penurunan berat badan dapat membantu mengawal bacaan gula.
Menurut “Medical Nutrition Therapy for Types 2 Diabetes Mellitus” (MNT T2DM), penurunan berat badan yang terbaik ialah 5 -10% daripada berat badan asal, disarankan dalam tempoh 6 bulan.
Penurunan berat badan boleh dibantu dengan melakukan aktiviti fizikal selama 150min/minggu. Ia boleh dipecahkan kepada 30 minit untuk 5 hari atau lebih per minggu dengan kadar sederhana.
Penurunan pengambilan kalori makanan 500 – 1000 kcal boleh membantu mencapai penurunan berat badan ½ – 1 kg semingggu.
2. Pemakanan / diet
Pemakanan utama kita terbahagi kepada 3 nutrient iaitu karbohidrat, protein dan lemak.
Untuk pesakit kencing manis, makanan yang perlu dikawal ialah karbohidrat kerana ia akan bertukar menjadi gula apabila dimakan. Protein dan lemak tidak akan meningkatkan gula dalam badan.
Karbohidrat terbahagi kepada 2 iaitu
- Karbohidrat kompleks
- Karbohidrat ringkas
- Karbohidrat kompleks tidak akan menaikkan bacaan gula dengan cepat.
- Contohnya, nasi, koey teaw, mee kuning, roti, capati, roti canai dan ubi-ubian serta kekacang, sayuran berkanji
- Boleh dibahagikan kepada 5 kumpulan iaitu:
- Nasi, bijirin dan produk bijirin
- Ubi dan sayuran berkanji
- Kekacang dan legum
- Buah-buahan
- Susu
- Makanan berkarbohidrat ini perlu diambil dalam kuantiti yang betul
- Makanan tinggi serat perlu diambil untuk proses pencegahan kencing manis.
- Kuantiti serat yang disarankan dalam Buku Panduan Pemakanan Malaysia (2010) ialah 20 – 30g/hari
- Bijirin penuh disarankan diambil dalam kuantiti 50% dari jumlah karbohidrat.
- Ini dibuktikan dengan kajian yang dinyatakan dalam MNT T2DM.
- Contoh sumber serat yang bagus ialah sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin penuh.
- Contoh makanan bijirin penuh; oat, quinoa, barley bijirin penuh, beras perang,
- Sayur- sayuran berdaun hijau disaran untuk diambil sekurang-kurangnya 2 senduk setiap hari.
- Kajian menunjukkan pengambilan sayur-sayuran setiap hari boleh dikaitkan dengan penurunan kes kencing manis.
- Karbohidrat ringkas akan menaikkan bacaan gula dengan cepat.
- Contohnya gula putih, madu, jem, minuman berkarbonat
- Minuman bergula perlu dihadkan sebagai pencegahan kencing manis dan penurunan berat badan.
- Kajian menunjukkan pengambilan minuman bergula lebih dari 2 hidangan (2 gelas) sehari sangat berkait rapat dengan risiko kencing manis.
- Indeks glisemik (GI)
- Indeks glisemik ialah ukuran ke atas makanan untuk mengetahui cepat atau lambat makanan tersebut meningkatkan bacaan gula dalam darah.
- Terbahagi kepada 3 kategori iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
- Alkohol
- Alcohol juga merupakan sumber tenaga kepada badan seperti karbohidrat dan protein tetapi tidak akan bertukar menjadi gula (glucose) dalam badan.
- Minuman beralkohol perlu dihadkan untuk pesakit kencing manis ; 2 minum untuk lelaki, dan 1 minum untuk perempuan (1 minum = 15g alcohol)
- Sebagai contoh, 1 minum = 360 ml beer / 150 mlwine / 45 ml hard liquor/distilled spirits
- Pengambilan minuman beralkohol akan menyebabkan hypoglisemia (gula dalam darah rendah).
3. Gaya hidup
- Aktiviti fizikal
- Menurut MNT T2DM, seseorang perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan kadar yang sederhana; boleh dibahagikan kepada sekurang-kurangnya 3 hari bersenam dengan tidak melebihi 2 hari tanpa bersenam.
- Sebagai contoh, berjalan laju dan berbasikal.
Komplikasi dari kencing manis
Kencing manis yang tidak terkawal akan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit seperti
- Sakit kaki
- Darah tinggi
- Penyakit jantung
- Kerosakkan buah pinggang (Nephropaty)
- Kerosakkan urat saraf (Neuropathy)
- Masalah penglihatan – penglihatan kabur
- Masalah jangkitan
Kesimpulannya, kencing manis perlu dicegah dari awal. Bak pepatah, lebih baik mencegah dari merawat. Amalkan gaya hidup sihat setiap hari dengan pemakanan yang betul dan melakukan aktiviti fizikal.
Rujukan
- Buku Panduan Pemakanan Malaysia (MDG), 2010
- Medical Nutrition Therapy for Type 2 Diabetes Mellitus
- https://www.healthline.com/health/diabetes-causes
- https://www.webmd.com/diabetes/guide/types-of-diabetes-mellitus
- https://ringgitplus.com/en/blog/Insurance/The-Hidden-Costs-of-Diabetes.html
- https://www.health.harvard.edu/diseases-and-conditions/glycemic-index-and-glycemic-load-for-100-foods#:~:text=The%20glycemic%20index%20is%20a,glycemic%20index%20release%20glucose%20rapidly