Kenapa Ramai Orang Lebih Memilih Mediterranean Diet Sebagai Diet Untuk Kurus? Ini Jawapannya!

Malaysia merupakan negara dengan rekod kadar obesiti paling tinggi berbanding dengan 9 negara Asia Tenggara yang lain. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia merekodkan sebanyak 15.6% kadar obesiti. Data ini diambil daripada Laporan Semakan Populasi Dunia tahun 2019.

Selain itu, berdasarkan rekod Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, dianggarkan sebanyak 50.1% penduduk di Malaysia menghadapi masalah berat badan berlebihan. Dalam data yang sama, dinyatakan 1 dalam setiap 2 individu dewasa di Malaysia menghadapi masalah obesiti. 

Image Source: Kosmo!

Masalah obesiti ini sudah menjadi suatu norma dalam kalangan masyarakat walaupun keburukannya kerap sekali disiarkan di televisyen, sosial media, malah di tempat awam. Masih ramai masyarakat negara ini memandang remeh dan tidak menganggap obesiti ini sebagai penyakit. Malah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri mengklasifikasikan masalah obesiti ini sebagai epidemik dan penyakit kronik.

Masalah obesiti ini memberi impak negatif dari segi rupa, bentuk badan, mental dan juga kesihatan seseorang. Tidak dinafikan menangani masalah obesiti adalah antara perkara yang sukar dari segi perubahan pemakanan, keadaan kesihatan lain dan gaya hidup. Namun, kebanyakan masyarakat kita lebih selesa untuk mengabaikan masalah ini.

Image Source: istockphoto.com

Antara cara untuk seseorang turunkan berat badan adalah dengan melakukan perubahan kepada corak pemakanan hariannya dan melakukan aktiviti fizikal. Maksud perubahan corak pemakanan harian ini adalah mengamalkan diet yang lebih seimbang dan sihat. 

Ada banyak kaedah diet yang selamat boleh diamalkan untuk menurunkan berat badan. Salah satu kaedah diet yang banyak diamalkan di seluruh dunia adalah Mediterranean Diet. Dalam penulisan ini akan dikongsikan tentang info-info Mediterranean Diet secara mendalam.

Latar Belakang Mediterranean Diet

Image Source: istockphoto.com

Bagaimana wujudnya Mediterranean Diet ini? Diet ini sebenarnya wujud daripada cara pemakanan tradisional penduduk di negara yang bersempadan dengan Laut Mediterranean seperti negara Itali, Perancis, Sepanyol dan Greece.

Individu di negara-negara ini yang mengamalkan Mediterranean Diet ini dikatakan sangat sihat dan mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap sebarang penyakit kronik.

Menurut ranking tahunan US News & World Report, sudah 4 tahun Mediterranean Diet dinobatkan sebagai diet keseluruhan terbaik daripada 40 jenis diet yang ada di dunia. Apa yang membuatkan diet ini sangat istimewa dan terbaik?

Mediterranean Diet adalah diet yang menitikberatkan pengambilan makanan seperti buah-buah, sayur-sayuran, roti, bijirin, kekacang dan makanan lemak sihat untuk jantung. Diet ini dikatakan seimbang dari segi kesedapan dan sangat berkhasiat.

Asas Mediterranean Diet

Image Source: istockphoto.com

Dalam corak Mediterranean Diet tidak menghalang individu daripada mengambil makanan produk tenusu, telur, ikan dan daging. Syaratnya adalah untuk mengambil makanan-makanan ini dalam jumlah yang sederhana.

Mudah sebenarnya nak amalkan Mediterranean Diet ini, jom baca apa makanan-makanan asas yang perlu diambil dan yang perlu diambil dalam kuantiti sedikit.

Makanan yang perlu diamalkan:

  • Sayur-sayuran – (Tomato, brokoli, bayam, kailan, bawang, lobak, timun, kentang, kubis bunga, kubis brussel, lobak turnip dan ubi keledek)
  • Buah-buahan –  (Epal, pisang, strawberi, anggur, kurma, buah tin, pic, tembikai, oren dan pir)
  • Kekacang dan bijian – (walnut, macadamia, hazelnut, badam, gajus, biji bunga matahari, biji labu, kacang peas dan kacang lentil)
  • Roti dan bijirin – (oat, beras perang, barli, jagung, buckwheat, pasta dan roti gandum penuh/whole wheat bread)
  • Herba dan rempah – (basil, rosmari, daun mint, lada, kayu manis, bawang putih dan daun sage)
  • Ikan dan makanan laut – (salmon, sardin, tuna, udang, tiram, kerang, tenggiri, ketam, dan ikan trout)
  • Lemak sihat – (Extra virgin olive oil, zaitun, avocado, minyak avocado)

Makan dalam kuantiti sederhana:

  • Telur
  • Keju
  • Yogurt
  • Poultry (Ayam dan Itik)

Makan jarang-jarang sekali:

  • Daging merah
  • Minuman manis
  • Gula tambahan
  • Daging proses
  • Bijirin halus (Refined grains) 
  • Minyak yang diproses (Refined oils)
  • Makanan yang diproses
  • Makanan lemak trans

Kebaikan Mediterranean Diet

Image Source: istockphoto.com

Terdapat banyak kajian yang dijalankan untuk membuktikan kebaikan Mediterranean Diet ini. Antara kajian yang dibuat adalah Mediterranean Diet dapat mengurangkan risiko strok dan membantu untuk menurunkan berat badan. Apa lagi kebaikan yang boleh kita dapat daripada Mediterranean Diet? Teruskan baca!

Menyokong dan Menguatkan Kesihatan Jantung

Berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas Mediterranean Diet secara meluas, terbukti diet ini dapat menyokong dan menguatkan kesihatan jantung. Pakar menyatakan individu yang mengamalkan diet ini mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap penyakit jantung dan terkena serangan strok. 

Bukan itu sahaja, Mediterranean Diet ini juga membantu untuk mengatur kadar kolesterol dan mengurangkan kadar tekanan darah diastolik dan sistolik untuk menyokong kesihatan jantung kita.

Menurunkan dan Mengawal Berat Badan

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Systematic Review of the Mediterranean Diet for Long-Term Weight Loss mendapati individu yang mempunyai masalah berat badan berjaya menurunkan lebih banyak berat badan mereka dengan Mediterranean Diet.

Makanan yang disarankan dalam Mediterranean Diet ini kaya dengan pelbagai jenis nutrien yang sememangnya diperlukan oleh badan kita. Tapi bagaimana ia membantu untuk menurunkan dan mengawal berat badan? Diet ini mengehadkan pengambilan makanan diproses, bergula dan makanan yang mengandungi gula tambahan. Secara tidak langsung, dengan mengamalkan Mediterranean Diet ini kita dapat mengehadkan pengambilan kalori yang tinggi.

Mengurangkan Risiko Diabetes Jenis 2

Terdapat kajian yang dilakukan mendapati diet ini dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes jenis 2 dan juga membantu untuk mengatur paras gula dalam darah. Variasi sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang yang tinggi dengan nutrisi dalam diet ini membantu untuk mengurangkan kerintangan insulin dan meningkatkan serta mengawal kadar hemoglobin A1C (glycated haemoglobin).

Berdasarkan kajian oleh Dr Josiemer Mattei iaitu Penolong Profesor Pemakanan Jabatan Pemakanan Universiti Harvard, Mediterranean Diet boleh membantu menguruskan diabetes.Hal ini kerana diet ini mempromosikan sumber vitamin dan antioksidan yang meningkatkan kesihatan neurovvaskular. Selain itu, keradangan kronik, tekanan oksidatif dan metabolit berpotensi untuk berkurang.

Kekurangan Mediterranean Diet

Image Source: istockphoto.com

Seperti jenis-jenis diet yang lain, diet ini juga mempunyai kelemahannya tersendiri iaitu mungkin kebanyakan individu yang ingin mengamalkan diet ini akan mengalami kesukaran dalam menyediakan makanan yang disarankan dalam diet ini. Hal ini kerana sesetengah jenis makanan sedikit mahal daripada makanan yang lain seperti salmon dan makanan laut lain  yang kaya dengan sumber protein.

Bukan itu sahaja, individu yang mengamalkan Mediterranean Diet ini juga mungkin akan mengalami kekurangan nutrisi bagi sesetengah nutrien yang diperlukan tapi tidak terkandung dalam makanan yang disarankan dalam diet ini.

Mediterranean Diet ini tidak mempunyai panduan khusus. Oleh itu, sekiranya ingin mengamalkan diet ini, kita boleh sahaja melakukan perubahan bersesuaian dengan gaya hidup dan kemampuan kita. Malah kita juga boleh menambah makanan untuk mencukupkan nutrisi yang kita perlukan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kita sebagai individu perlu sentiasa peka dengan keadaan kesihatan, berat badan dan corak pemakanan kita. Untuk menjaga kesihatan diri untuk jangka masa yang panjang, seseorang individu hendaklah berusaha bukan sahaja dari segi menjaga pemakanan malah dari segi melakukan senaman. Mediterranean Diet ini mungkin tidak sesuai untuk segelintir individu, sekiranya mempunyai masalah kesihatan, hendaklah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Rujukan

  1. Mediterranean Diet 101: Meal Plan, Foods List, and Tips
  2. Mediterranean Diet Effects on Type 2 Diabetes Prevention, Disease Progression, and Related Mechanisms. A Review – PMC
  3. Diet Mediterania: Ini Info Lengkap Diet Mediterranean Buat Anda
  4. Mediterranean diet: A guide and 7-day meal plan
  5. A Complete Mediterranean Diet Food List and 14-Day Meal Plan
  6. Mediterranean diet for heart health – Mayo Clinic
  7. Apa Keistimewaan Diet Mediterranean Sehingga Dinobatkan Pola Pemakanan Terbaik?
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here