Sebagai wanita, kita wajib ambil peduli tentang perubahan kitaran badan kita seperti kitaran haid, penurunan atau kenaikan berat badan yang ketara dan warna keputihan kita. Hal ini kerana, perubahan ketara pada kitaran fungsi badan kita boleh jadi simptom atau gejala kanser.
Dalam penulisan MStar, kenyataan dimana wanita lebih berisiko untuk menghidap apa-apa jenis kanser berbanding lelaki. Antara kanser yang sering menyerang wanita adalah kanser ginekologi dan kanser payudara.

Kanser ginekologi didefinisikan sebagai kanser yang terjadi pada organ pembiakan wanita. Kebanyakan penyakit atau kanser sering dinamakan dengan bahagian badan ia tumbuh. Untuk kanser ginekologi pula, ia bermula di beberapa tempat yang berbeza pada bahagian pelvis wanita. Hampir semua kanser ginekologi memudaratkan golongan wanita sehingga meragut nyawa penghidapnya.
Antara kanser ginekologi yang sering menyerang orang wanita adalah:
- Kanser Serviks
- Kanser Ovari
- Kanser Rahim
- Kanser Faraj
- Kanser Vulva
Setiap kanser ginekologi mempunyai faktor risiko, punca, gejala dan simptom tersendiri. Dalam penulisan ini, kelima-lima kanser ginekologi akan dibahaskan dengan terperinci.
Kanser Serviks

Kanser serviks juga disebut sebagai kanser pangkal rahim. Pangkal rahim adalah bahagian yang terletak di bawah rahim dan sedikit sempit. Serviks atau pangkal rahim ini memainkan peranan menghubungkan rahim dan faraj serta membentuk saluran kelahiran. Kanser serviks ini juga adalah kanser ketiga tertinggi di Malaysia. Menurut statistik yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, anggaran 2000-3000 kemasukan pesakit ke hospital menghidap kanser serviks.
Kanser ini terjadi apabila berlaku mutasi pada sel pangkal rahim. Bukan itu sahaja, kanser serviks ini juga menyekat laluan masuk ke rahim dan boleh menyerang tisu serta organ lain dalam badan.
Terdapat dua jenis mutasi sel pangkal rahim yang abnormal sebelum sepenuhnya menjadi kanser serviks. Dua keadaan tersebut adalah Atypia dan Dysplasia.
- Atypia – Keadaan di mana terdapat sedikit perubahan pada sel pangkal rahim. Ujian pap smear perlu dilakukan untuk mengesan perubahan. Boleh pulih atau bertambah teruk.
- Dysplasia – Terdapat perubahan abnormal yang sangat luar biasa pada sel pangkal rahim.
Kalau nak tahu, ada dua jenis kanser serviks iaitu Squamous cell carcinoma dan Adenocarcinoma.
- Squamous cell carcinoma – Kanser serviks yang biasa berlaku.
- Adenocarcinoma – Kanser serviks yang jarang berlaku dan kebiasaannya bermula dari sel glandular.
Faktor Yang Meningkatkan Risiko Kanser Serviks

Risiko untuk wanita menghidap kanser pangkal rahim atau kanser serviks bergantung kepada beberapa faktor yang boleh dikawal. Walaubagaimanapun, terdapat juga faktor yang tidak boleh dikawal seperti faktor umur dan sejarah kesihatan keluarga.
Salah satu faktor yang menyebabkan kanser serviks adalah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) yang dibawa oleh seorang individu ke individu yang lain. Jangkitan HPV ini merebak melalui hubungan intim atau seks.
Selain daripada jangkitan HPV, wanita yang mempunyai atau dijangkiti dengan Human Immunodeficiency Virus (HIV) juga berisiko untuk menghidap kanser serviks. Wanita yang dijangkiti dengan Herpes pada bahagian kemaluan juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser serviks ini. Kedua-dua jangkitan HIV dan Herpes ini merebak melalui hubungan seks. Oleh itu, pentingnya untuk kita orang Islam membuat ujian HIV dan sebagainya sebelum berkahwin.
Di samping itu, wanita yang merokok atau perokok pasif dimana wanita tersebut menghidu asap rokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser serviks. Hal ini disebabkan oleh kandungan kimia dalam asap tersebut. Bukan sahaja kanser serviks, malah risiko untuk kanser atau penyakit lain juga akan meningkat.
Simptom Kanser Serviks
- Merasa sakit ketika seks
- Berlaku pendarahan selepas menopause (putus haid)
- Terdapat lelehan lendir abnormal dari faraj
- Ada pendarahan antara tempoh selepas haid
- Haid berpanjangan dan banyak daripada biasa
Kanser Ovari

Ovari adalah sepasang organ wanita yang memainkan peranan signifikan dalam penghasilan benih dan hormon wanita. Kebanyakan wanita yang mencecah umur 40-an ke atas lebih berisiko untuk menghidap kanser ovari. Individu perempuan berumur kurang dan 20 tahun ke atas juga mempunyai risiko untuk menghidap penyakit ini. Kanser ini merupakan kanser keempat tertinggi di negara ini.
Kanser ovari timbul daripada permukaan ovari dan daripadanya ada sebahagian kecil sel benih telur. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ianya susah dan mengambil masa yang lama untuk mengesan kanser ovari kerana kedudukannya yang jauh ke dalam pelvis.
Siapa yang berisiko untuk menghidap kanser ovari ini? Individu wanita yang mempunyai adik-beradik atau ibu yang mempunyai sejarah kanser ovari mempunyai risiko yang agak tinggi. Selain itu, wanita yang lewat menopause, akil baligh awal dan tidak pernah hamil juga berisiko untuk mendapat kanser ovari.
Punca Kanser Ovari
Berbeza dengan kanser serviks yang mempunyai beberapa faktor yang menjadi penyebab kewujudannya dalam pangkal rahim wanita, punca kanser ovari masih belum dikenalpasti. Kajian untuk mengenalpasti hubung kait faktor jangkitan virus dengan kanser ovari juga dijalankan dan didapati jangkitan virus tidak menyebabkan kanser tersebut.
Tanda Kanser Ovari
Pada peringkat awal kanser ovari, tiada gejala yang spesifik dilaporkan walaubagaimanapun kebanyakan wanita yang menghidapnya akui mengalami rasa kembung perut dan sembelit. Ada juga yang mengalami bengkak di perut atau perutnya membusung disebabkan oleh cecair yang dihasilkan oleh kanser ini. Cecair ascites menegang dan membesarkan perut pesakit.
Kita sebagai wanita harus peka dan prihatin terhadap setiap perubahan kitaran badan kita walaupun perubahan tersebut perubahan yang kecil. Ini kerana, perubahan kecil tersebut boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan sekiranya kita leka.
Kanser Rahim

Kanser rahim juga dikenali sebagai kanser uterine atau kanser endometrial. Kanser ini wujud awalnya pada bahagian dinding rahim wanita. Dinding ini dikenali sebagai endometrium. Kanser ini dikatakan jenis “malignant” kerana ia boleh merebak dan memakan tisu-tisu yang berdekatan dengan cepat. Ia juga boleh berkembang ke organ-organ yang lain.
Menurut data yang dikeluarkan oleh National Cancer Institute, setiap 3 daripada 100 orang wanita dianggarkan berisiko menghidap kanser rahim.
Faktor Yang Meningkatkan Risiko Kanser Rahim
- Obesiti – Lemak yang berlebihan menjejaskan hormon dalam abdan.
- Umur lanjut – Wanita yang mencapai menopause lebih berisiko.
- Putus haid lewat (Menopause)
- Datang haid pada usia yang sangat muda (Menarche)
- Keseimbangan hormon wanita berubah
- HNPCC (Hereditary nonpolyposis colorectal cancer) – diwarisi daripada ibu bapa. Sindrom yang meningkatkan risiko kanser kolon dan kanser rahim.
Punca Kanser Rahim
Punca kanser rahim dikaitkan dengan mutasi genetik sel-sel pada lapisan rahim. Mutasi genetik pada dasarnya merupakan satu proses yang normal. Walaubagaimanapun dalam jangka masa yang panjang, sel-sel tersebut boleh bertukar menjadi tidak sihat dan tidak normal.
Sel-sel ini akan membiak, berkembang di luar kawalan dan akhirnya menjadi gumpalan tumor yang menyerang tisu dan organ lain dalam badan.
Gejala Kanser Rahim
- Pendarahan faraj yang tidak normal terutamanya setelah putus haid.
- Sakit bila membuang air kecil.
- Rasa sakit di bahagian pelvis.
- Penurunan berat badan yang drastik.
- Keluar cecair atau lelehan dari faraj.
- Keputusan ujian Pap Smear tak normal.
Kanser Faraj

Kanser faraj dikatakan antara kanser yang jarang berlaku, walaubagaimanapun langkah berjaga-jaga masih perlu diambil. Bukan itu sahaja, perubahan kitaran badan dan pada alat kelamin juga perlu diambil berat.
Kanser ini bermula di faraj wanita dimana bahagian ini membentuk satu tiub yang berongga dan terletak di bahagian luar badan dan di bawah rahim. Wanita yang berusia 60 tahun ke atas lebih berisiko untuk menghidap kanser faraj.
Terdapat 4 jenis kanser faraj berdasarkan jenis sel kanser ini bermula.
- Sarkoma faraj – Bermula dalam sel otot di dinding faraj.
- Melanoma faraj – Bermula dalam sel yang bertanggungjawab menghasilkan pigmen faraj.
- Karsinoma sel skuamosa faraj – Berkembang pada sel skuamosa yang melapisi permukaan faraj.
- Adenokarsinoma faraj – Berkembang pada sel kelenjar di permukaan faraj.
Punca Kanser Faraj
Sama seperti kanser rahim, kanser faraj juga terjadi akibat sel daripada mutasi genetik menjadi abnormal dan berkembang tanpa kawalan.
Simptom Kanser Faraj
- Kerap kencing (poliuria)
- Sakit pelvis
- Sakit semasa buang air
- Ketulan dalam faraj
- Keputihan cair
- Pendarahan faraj
Faktor Yang Meningkatkan Risiko
- Jangkitan HPV
- Pernah menghidap kanser serviks
- Merokok
- Berumur lebih 60 tahun
- Menghidap HIV
Kanser Vulva

Kanser Vulva adalah kanser yang jarang berlaku, sama seperti kanser faraj. Kanser ini melibatkan bahagian vulva yang merangkumi labia minora dan labia majora. Labia majora dan labia minora ini adalah bahagian lipatan kulit yang melindungi pembukaan vagina dan urethral wanita.
Kanser ini dikatakan terdapat benjolan atau ulser pada vulva yang menyebabkan rasa gatal dan kesakitan.
Terdapat beberapa jenis kanser vulva, iaitu:
- Karsinoma vulva sel squamous
- Melanoma vulva
- Penyakit Paget Vulva
- Adenocarcinoma vulvar
- Karsinoma sel basal
Faktor dan Punca Kanser Vulva
- Dijangkiti HPV
- Dijangkiti HIV
- Merokok
- Sejarah keluarga melanoma
- Usia lanjut
Tanda Kanser Vulva
- Gatal dan rasa terbakar pada vulva
- Benjolan pada vulva
- Pendarahan yang tiada kaitan dengan kitaran haid
- Sakit semasa buang air
Rawatan Untuk Kanser Ginekologi
Sekiranya didiagnosis mempunyai sebarang jenis kanser ginekologi, pakar akan mencadangkan beberapa rawatan yang bersesuaian seperti rawatan radiasi, kemoterapi dan pembedahan.
Rawatan Pembedahan – Membuang tisu-tisu bersama tisu sel barah pada kawasan yang terjejas.
Rawatan Radiasi – Merupakan rawatan yang utama untuk semua penyakit kanser dimana sinaran dipancarkan pada kawasan ketumbuhan untuk membunuh dan merencatkan pertumbuhan sel kanser. Untuk beberapa kes tertentu, rawatan radiasi dilakukan bagi mengecutkan sel kanser sebelum pembedahan.
Rawatan Kemoterapi – Rawatan kemoterapi adalah yang paling biasa digunakan untuk merawat pesakit kanser. Rawatan ini merangkumi pengambilan ubat-ubatan untuk merencatkan pembahagian dan pembiakan sel-sel kanser.
TIPS KURANGKAN RISIKO KANSER GINEKOLOGI

Nak kurangkan risiko virus, jangkitan dan kanser pada faraj, seseorang wanita mestilah mengamalkan penjagaan vagina yang sesuai supaya vagina atau faraj kekal bersih, kering dan sihat. Ini tips-tips yang boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan faraj wanita.
1. Kebersihan diri
Kebersihan diri sangatlah penting untuk mengelakkan jangkitan. Faraj haruslah sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Lap faraj dan kawasan sekitarnya dengan kain atau tisu bersih.
Jika ingin menggunakan pencuci alat sulit, pilih produk yang sesuai dengan diri dan elakkan daripada mengguna semburan faraj serta produk yang mengandungi pewangi.
2. Pakaian
Pakaian yang ketat seperti legging dan seluar ketat akan menyekat pengudaraan. Ini meningkatkan risiko jangkitan. Pakaian dalam haruslah sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak terlalu ketat.
Pemilihan pakaian dalam daripada material kapas lebih digalakkan kerana kapas berkesan dalam menyerap kelembapan. Elakkan material sintetik, ia berisiko memerangkap kelembapan dan menyebabkan kerengsaan.
Oleh itu, pilihlah pakaian yang sesuai untuk mengelakkan masalah keputihan daripada menjadi lebih teruk.
3. Tuala wanita dan pantyliner
Pemakaian tuala wanita dan pantyliner dengan kerap boleh menyebabkan keputihan. Oleh itu, elakkan memakai pantyliner dengan kerap. Jika ingin menggunakan tampon, tuala wanita atau pantyliner, pilih yang tidak mempunyai bau.
Amalkan penggantian tuala wanita sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 3 jam sekali.
4. Gaya Hidup Sihat
Gaya hidup yang sihat terbukti dapat mengurangkan masalah keputihan dengan lebih efektif. Pemakanan yang sihat dan cukup nutrisi penting untuk memastikan penghasilan hormon yang berkualiti.
Selain itu, amalkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk tempoh 3 ke 5 hari seminggu. Tidur yang cukup penting untuk kestabilan emosi. Dengan ini, hormon dapat dihasilkan dengan baik dan teratur.
- Mengamalkan makanan kaya dengan khasiat seperti
- Makanan dan minuman probiotik (mengandungi kultur hidup yang merangsang lebih banyak bakteria baik untuk badan.)
- Sayur-sayuran dan buah-buahan (mempunyai antioksidan yang digunakan untuk menyembuh dan melindungi sistem badan daripada jangkitan.)
- Bawang putih (agen anti-bakteria dan anti-fungus.)
- Air kosong (Kekurangan air dan faraj kering meningkatkan risiko jangkitan bakteria, virus dan yis.)
- Peka dengan perubahan kitaran badan
Antara contoh perubahan kitaran badan wanita adalah jumlah keputihan. Sangat penting bagi kaum Hawa untuk sentiasa memeriksa warna, bau dan tekstur keputihan masing-masing. Ini akan membantu kita untuk menjadi lebih peka dengan keadaan dan kesihatan faraj. Bukan itu sahaja, malah kaum Hawa juga dapat mengambil tindakan yang sepatutnya dengan lebih cepat sekiranya ada sebarang masalah.
Pemeriksaan Yang Boleh Dibuat Untuk Periksa Kesihatan Vagina

#1 Ujian Pap Smear
Ujian Pap Smear adalah ujian saringan atau prosedur pemeriksaan yang dilakukan untuk mengesan kanser serviks. Semasa ujian Pap Smear ini doktor atau jururawat akan memasukkan alat spekulum ke dalam faraj.
Spekulum digunakan untuk membuka serviks iaitu bahagian pembukaan rahim bagi memudahkan doktor untuk mengikis dan mengambil sel dari serviks untuk dihantar ke makmal.
Ujian Pap Smear digalakkan dilakukan 3 tahun sekali bagi wanita yang berumur 21 tahun hingga 50 tahun. Manakala, 5 tahun sekali untuk mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Untuk wanita yang berumur kurang 21 tahun dan belum berkahwin, tidak perlu melakukan ujian Pap Smear kecuali ada risiko seperti positif HIV.
#2 Vaginal Exam (VE)
Vaginal Exam atau pemeriksaan faraj adalah ujian atau prosedur dimana jari dimasukkan ke dalam faraj untuk merasai atau memeriksa bahagian serviks dan bahagian dalamnya.
Ini membantu wanita untuk mengenal pasti sekiranya terdapat perubahan atau ketumbuhan tidak normal dalam faraj.
#3 Ujian Pelvik
Pemeriksaan Pelvik merangkumi bahagian-bahagian seperti:
- Vulva
- Serviks
- Rahim
- Pundi Kencing
- Tiub Fallopio
- Ovari
- Rektum
Ujian ini dibuat untuk memeriksa sebarang simptom atau gejala penyakit dan jangkitan abnormal pada bahagian-bahagian yang dirangkumi oleh pelvis wanita.
#4 Ultrabunyi Transvaginal
Juga dikenali sebagai ultrabunyi endovaginal adalah ujian ultrabunyi pelvis yang dibuat oleh doktor untuk memeriksa bahagian faraj wanita.
Ujian ini melibatkan doktor menggunakan ultrasound probe yang saiznya dianggarkan 2-3 inci masuk ke dalam saluran faraj.
Pemeriksaan Ultrabunyi Transvaginal ini digunakan untuk mengenal pasti dan menilai keadaan seperti:
- Penggunaan IUD
- Jangkitan pelvis
- Ketumbuhan (Sista) atau tumor ovari
- Masalah kesuburan
- Pendarahan tidak normal
- Fibroid rahim
- Endometrial polyps
- Keguguran
- Keadaan faraj, serviks, pundi kencing dan tiub fallopio
- Parut rahim
#5 Vaginoskopi
Pemeriksaan Vaginoskopi ini dilakukan menggunakan cystoscopy pada bahagian dalam faraj. Alat Cystoscopy ini adalah satu kabel yang disalut dengan plastik yang nipis bersama satu kamera video kecil pada hujungnya.
Melalui kamera pada Cystoscopy ini, doktor dapat melihat bahagian dalam faraj pada monitor untuk membantu mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang abnormaliti dalam faraj.
Kesimpulan
Konklusinya, kanser ginekologi boleh membawa maut kepada wanita. Kebanyakan simptom dan gejala antara kanser ginekologi ini lebih kurang sama antara satu sama lain, jadi apa yang perlu kita lakukan adalah peka dan prihatin dengan perubahan kitaran badan kita.
Antara perubahan kitaran ialah kitaran haid lambat atau tidak normal, terdapat tompokan darah, darah haid yang banyak dan terdapat lelehan dari faraj.
Bukan itu sahaja, ujian Pap smear dan ujian saringan yang lain juga perlu kerap dilakukan bagi mengesan gejala atau sel kanser dengan lebih cepat.
Rujukan
- Gynecologic Cancers
- What Is Gynecologic Cancer? | CDC
- Ujian Saringan Wanita, Penting Ke? Apakah Tanda & Gejala Yang Memerlukan Pemeriksaan?
- Pemeriksaan Kesihatan Wanita Yang Perlu Dijalani Untuk Kekal Sihat!
- Adakah kemoterapi (Chemotherapy) berkesan dalam rawatan kanser dan kesan sampingan?
- APAKAH KANSER GINEKOLOGI? | PUSAT SUMBER DAN PENDIDIKAN KANSER
- Kanser Faraj: Kenali Tanda Barah Dan Puncanya
- Women’s cancers (gynaecological cancer) | Cancer Research UK
- Kanser Ovari
- Kanser Rahim (Uterine Cancer) – Simptom-Simptom Awal -DoctorOnCall
- AWAS! Ini 14 Tanda Kanser Rahim Tahap 1 Setiap Wanita Kena ‘Alert’!
- Pap Smear, Bantu Kesan Kanser Serviks – Hello Doktor