Kandungan Vitamin C Tinggi.. Jambu Batu Menguatkan Imuniti Badan

Jambu batu adalah buah-buahan tropika yang ditanam di kawasan kering atau lembap. Nama saintifiknya ialah psidium guajava. Ia mudah dijumpai di pasar-pasar termasuk pasar tani dan pasar sayur. 

Jambu ini mempunyai tekstur isi lembut seakan buah pear dengan variasi rasa dari kelat, sedikit masam dan manis. Kedua-dua buah dan daun jambu batu memberi manfaat untuk kesihatan.  

Buah jambu batu biasa dimakan terus atau diminum sebagai jus. Manakala daun jambu batu akan dijadikan sebagai teh. Selain itu, jambu batu juga sering digunakan dalam industri pembuatan makanan lain seperti gula-gula, jem, jeli, kordial dan kek.

Nutrisi jambu batu:

Jambu batu mengandungi pelbagai nutrisi seperti vitamin C, serat, antioksidan, zat besi, kalsium, vitamin A, dan potassium. 

Jambu batu mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi berbanding buah-buahan lain iaitu 152mg untuk setiap 100g jambu batu.

Kelebihan jambu batu:

1. Mengurangkan kesakitan disebabkan menstruasi

Ekstrak jambu batu mengandungi agen “spasmolytic” yang akan mengurangkan penguncupan otot licin (smooth muscle) secara berlebihan. Ia juga akan mengurangkan kekejangan rahim. Malah, ekstrak ini lebih efektif daripada ubat tahan sakit untuk melawan masalah haid seperti senggugut (kejang perut). 

Kajian dilakukan ke atas 167 wanita yang mengalami simptom senggugut (dysmenorrhea) selama 4 bulan. Pengambilan 6 mg ekstrak jambu batu setiap hari dapat mengurangkan kesakitan disebabkan senggugut.

2. Membantu penyerapan zat besi

Vitamin C diperlukan untuk melancarkan penyerapan zat besi. Kandungan vitamin C yang tinggi dalam jambu batu boleh mencegah masalah kekurangan zat besi iaitu anemia. Selain itu, haid akan menyebabkan wanita kehilangan darah dengan banyak. Maka, zat besi penting dalam penghasilan darah merah.

3. Bagus untuk penghadaman

Jambu batu kaya dengan serat dimana setiap 100 g jambu batu mengandungi 6.8 g serat. Nutrisi ini bersamaan 25% keperluan serat yang diperlukan badan. Serat penting untuk mengawal pencernaan.

Kajian membuktikan ekstrak jambu batu boleh mengurangkan kadar dan tempoh cirit-birit. Di samping itu, pengambilan jambu batu dengan lebih dan konsisten akan melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan sembelit.

4. Merangsang sistem imuniti

Kandungan vitamin C yang tinggi akan menguatkan sistem imunisasi badan. Kajian membuktikan pengambilan jambu batu boleh mengurangkan masalah selesema dan melawan jangkitan bakteria. Beberapa kajian telah menunjukkan ekstrak jambu batu adalah agen antibakteria. Ia boleh menstabilkan mikroorganisma berbahaya dalam usus yang menyebabkan cirit-birit.

Ekstrak jambu batu juga bertindak sebagai agen melawan dan menghalang pertumbuhan virus. Kajian pada tahun 2015 membuktikan jangkitan hilang dengan cepat dalam kalangan peserta yang mengamalkan ekstrak jambu batu berbanding peserta tidak mengambil jambu batu.

5. Meningkatkan kesihatan jantung

Kandungan antioksidan dan vitamin yang tinggi boleh melindungi jantung daripada kerosakkan disebabkan serangan radikal bebas. Kandungan kalium dan serat yang tinggi dalam jambu batu berfungsi menurunkan paras tekanan darah serta membaiki kesihatan jantung.

Kajian mendapati pengambilan jambu batu yang masak sebelum waktu makan dapat mengurangkan tekanan darah tinggi sebanyak 8 ke 9 point dan jumlah kolesterol keseluruhan sebanyak 9.9%. Jambu ini juga berfungsi menaikkan bacaan HDL kolesterol sebanyak 8%. 

6. Mengawal paras gula dalam darah

Ekstrak jambu batu boleh mengawal kenaikan paras gula dalam darah. Kajian pada tahun 2010 menyatakan ekstrak ini akan membaiki tindak balas insulin terhadap glukosa serta menurunkan paras gula (glukosa) dalam darah. Ini kerana kompound yang terdapat dalam jambu batu akan melambatkan penyerapan glukosa tersebut.

7. Memberi rasa kenyang dengan lama

Serat yang terkandung dalam jambu batu akan melambatkan proses pengosongan perut seterusnya mengawal rasa lapar. Pengambilan jambu batu sebelum makan utama dapat mengelakkan makan berlebihan. Hal ini seterusnya dapat mengawal peningkatan berat badan. 

Konklusi:

Konklusinya, jambu batu mengandungi pelbagai khasiat yang bagus untuk badan. Kekerapan pengambilan jambu batu membantu mendapat kesihatan yang baik. Kandungan vitamin C yang tinggi serta antioksidan dapat mengurangkan kesakitan semasa atau sebelum haid. Oleh itu, jambu batu sesuai dijadikan pilihan sihat untuk mencegah pelbagai penyakit.

Rujukan:

  1. 8 Health Benefits of Guava Fruit and Leaves
  2. What are the health benefits of guava?
  3. Health Benefits of Guava
  4. 10 Khasiat Jambu Batu Pada Kesihatan
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here