Tabiat pemakanan tidak sihat yang semakin diamalkan secara meluas oleh majoriti penduduk di Malaysia semakin membimbangkan. Bukan itu sahaja, malah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Laporan Semakan Populasi Dunia tahun 2019, penduduk di negara ini merekodkan sebanyak 15.6% kadar obesiti.
Selain itu, berdasarkan rekod Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, dianggarkan sebanyak 50.1% penduduk di Malaysia menghadapi masalah berat badan berlebihan.
Kita sudah sedia maklum tentang bahaya obesiti dan komplikasi-komplikasi yang datang dengannya. Antara komplikasi kesihatan yang biasa di alami oleh bukan sahaja individu obesiti malah individu yang mengamalkan pemakanan tidak sihat adalah penyakit Aterosklerosis.
Sesiapa sahaja berisiko untuk menghidap penyakit Aterosklerosis sama ada usia tua atau muda. Hal ini kerana, ia berkait rapat dengan gaya hidup dan pemakanan harian kita untuk jangka masa yang lama.
Apa Sebenarnya Aterosklerosis?
Aterosklerosis merujuk kepada penyakit kronik vaskular yang sentiasa berkembang dan berlaku dengan senyap. Penyakit Aterosklerosis lazimnya dikategorikan sebagai masalah jantung tetapi ia juga boleh mengganggu arteri pada mana-mana bahagian tubuh badan kita. Bahasa mudahnya, Aterosklerosis ini adalah sejenis penyakit yang mengakibatkan saluran arteri kita menjadi sempit dan keras. Bagaimana saluran arteri boleh menjadi sempit dan keras?
Ini diakibatkan oleh plak yang berkumpul dan bergumpal pada dinding arteri seiring dengan peningkatan usia kita. Plak ini terdiri daripada deposit kolesterol, kalsium, lain-lain lipid dan sejenis sel radang. Plak yang berkumpul dan bergumpal ini akan terus-menerus membesar sehingga menyekat saluran arteri kita.
Hal ini akan menyebabkan aliran darah tidak dapat mengalir dengan lancar atau normal. Bukan itu sahaja, malah jumlah oksigen dan nutrien yang perlu dialirkan kepada sel-sel badan akan berkurang.
Punca dan Faktor Risiko Penyakit Aterosklerosis
Dikatakan punca sebenar penyakit Aterosklerosis ini masih belum dapat dikenal pasti, tetapi terdapat beberapa pakar yang sebulat suara menyatakan ia boleh berlaku akibat daripada luka dalam arteri.
Luka pada kawasan dalam arteri yang dimaksudkan boleh jadi disebabkan oleh tabiat atau keadaan kesihatan seperti:
- Tekanan darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Obesiti
- Diabetes
- Tabiat merokok
- Inflamasi dari penyakit seperti artritis, lupus, psoriasis atau penyakit usus inflamatori
- Tinggi lemak trigliserida dalam darah
Bagaimana luka pada kawasan dalam arteri boleh menyebabkan Aterosklerosis? Sel darah dan bahan lain akan mula menghasilkan gumpalan pada kawasan luka dan menyekat saluran arteri.
Selain itu faktor yang meningkatkan risiko seseorang individu menghidap penyakit Aterosklerosis adalah seperti:
- Peningkatan usia
- Masalah kesihatan
- Sejarah penyakit jantung dalam keluarga
- Tidak aktif bersenam
- Diet pemakanan tidak sihat
- Tabiat merokok
- Apnea tidur
Simptom dan Gejala Penyakit Aterosklerosis
Simptom dan gejala Aterosklerosis mungkin berbeza kerana ia boleh berlaku kepada mana-mana bahagian badan kita. Jadi dalam bahagian ini akan dibahaskan serba sedikit tentang simptom dan gejala Aterosklerosis mengikut lokasi penyakit tersebut.
- Aterosklerosis pada kawasan Jantung – Sekiranya penyakit ini terjadi di kawasan jantung, individu berisiko tinggi untuk alami simptom sakit dada atau angina.
- Aterosklerosis pada kawasan Kaki atau Tangan – Akan mengalami simptom penurunan tekanan darah pada kawasan yang terkesan seperti sakit , kebas-kebas dan sebagainya.
- Aterosklerosis pada Arteri ke Otak – Rasa lemah pada kawasan tangan atau kaki, sukar bercakap, hilang penglihatan dan otot muka mulai melorot.
- Aterosklerosis pada kawasan Buah Pinggang – Individu akan mengalami gejala tekanan darah tinggi atau kegagalan buah pinggang.
Komplikasi Penyakit Aterosklerosis
Komplikasi kesihatan yang diakibatkan oleh penyakit Aterosklerosis bergantung tinggi kepada jenis saluran arteri yang tersumbat.
Antara komplikasi kesihatan penyakit Aterosklerosis adalah:
- Penyakit Arteri Koronari – Saluran arteri ke otot jantung tersumbat
- Penyakit Arteri Karotid – Saluran arteri ke otak dan kepala tersumbat
- Penyakit Arteri Periferal – Saluran arteri ke bahagian kaki tersumbat
- Aneurisma – Gelembung kecil berisi darah dan berpotensi meletus mengakibatkan kerosakan pada sel kawasan tersebut.
- Penyakit Buah Pinggang Kronik – Saluran arteri ke bahagian buah pinggang tersumbat.
Rawatan Penyakit Aterosklerosis
Penyakit Aterosklerosis ini boleh dirawat dan dihalang. Walaubagaimanapun, proses rawatan dan pencegahan penyakit ini bergantung kepada setiap individu. Hal ini kerana, ia bukan sahaja melibatkan rawatan dan ubat-ubatan malah perubahan dari segi gaya hidup dan pemakanan harian.
Rawatan akan diberikan mengikut usia individu, sejarah peribadi dan kesihatan. Sekiranya Aterosklerosis yang dihadapi oleh seseorang individu adalah serius, pembedahan mungkin perlu dilakukan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pemakanan harian dan gaya hidup kita memainkan peranan yang penting dalam membentuk kesihatan dan ketahanan badan kita seiring dengan peningkatan usia kita. Perubahan dari segi gaya hidup dan pemakanan harian perlu dilakukan dalam mengurangkan risiko untuk kita menghidap penyakit-penyakit kronik, bukan sahaja Aterosklerosis.