Jaga-Jaga Dengan 2 Penyakit Sistem Pencernaan Ini

Sangat penting untuk kita jaga sistem pencernaan dengan sebaik mungkin kerana kerosakan sistem ini boleh melumpuhkan sekurang-kurangnya setengah fungsi badan kita. Organ sistem pencernaan terdiri daripada perut, usus dan esofagus. Manakala sistem pencernaan secara keseluruhan adalah satu saluran panjang yang bermula dari mulut dan berakhir di dubur. Sistem pencernaan memainkan peranan penting dalam menyerap nutrien daripada makanan dan menyingkirkan sisa yang tidak diperlukan oleh badan.

Image Source: istockphoto.com

Tambahan pula, sistem pencernaan kita juga mampu mempengaruhi kesihatan emosi dan fizikal kita. Sebagai contoh, sekiranya kita lapar, kita lebih cenderung untuk mudah marah. Oleh sebab itu, sekiranya terjadi sebarang gangguan pada sistem pencernaan, emosi kita juga akan terganggu sehingga menjejaskan aktiviti harian seperti bekerja dan belajar.

Pakar perubatan juga menggelar sistem pencernaan manusia sebagai ‘otak kedua’ di mana ia mempunyai banyak neurotransmitter berbanding otak. Kalau nak tahu sebanyak 95 peratus serotonin dihasilkan oleh sistem penghadaman. Serotonin adalah hormon yang mempengaruhi emosi kita dan digunakan semasa proses pencernaan.

Pemakanan Yang Seimbang Menjadikan Sistem Pencernaan Sihat

Image Source: istockphoto.com

Apa yang dimaksudkan dengan pemakanan seimbang menjadikan sistem pencernaan sihat? Ini berkait rapat dengan kesan buruk terhadap sistem pencernaan sekiranya corak pemakanan tidak dititikberatkan.

Sebagai contoh, Bila makan makanan pedas, kita lebih cenderung untuk makan dan kunyah dengan cepat. Ini akan menyebabkan makanan yang dimakan tidak hancur dengan sepenuhnya sewaktu turun ke perut. Tahap asid dalam perut juga tidak dapat dilaraskan dengan baik dan akan menyebabkan asid naik semula ke dalam salur makan.

Asid yang naik semula ke dalam salur makan boleh menjadi punca salur makan kita radang atau rasa pedih ulu hati. Keadaan ini juga dikenali sebagai GERD (Gastroesophageal Reflux Disease). Kita akan berasa pedih ulu hati, kerap sendawa, loya, muntah sakit dada dan pening.

Image Source: istockphoto.com

Seperti yang kita tahu, tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan tidak sihat memberi impak kepada sistem dan juga organ pencernaan kita untuk jangka masa yang lama. Selain GERD, risiko buasir dan risiko kanser kolon (kanser usus) juga boleh meningkat sekiranya kita tidak menjaga pemakanan. Buasir dan kanser usus bukan penyakit yang sama ke? Jom baca info seterusnya!

Buasir & Kanser Kolon Penyakit Yang Sama?

Image Source: istockphoto.com

Percaya atau tidak, masih ramai yang menganggap penyakit buasir dan kanser kolon atau kanser usus penyakit yang sama. Sebenarnya, kedua-dua ini adalah dua penyakit yang berbeza dan tidak berkait rapat dengan satu sama lain.

Kira-kira 90% daripada kes kanser usus disalah anggap sebagai masalah buasir pada peringkat awal. Kenapa ini boleh berlaku? Hal ini kerana masalah buasir dan kanser usus mempunyai gejala permulaan yang hampir sama iaitu berlaku pendarahan sewaktu membuang dan sembelit kronik.

Buasir

Image Source: istockphoto.com

Masalah buasir yang juga dikenali sebagai hemoroid adalah keadaan di mana pembuluh darah di bahagian bawah rektum dan dubur membesar dan membengkak. Saluran darah ini boleh membengkak disebabkan oleh tekanan yang tinggi pada bahagian bawah saluran dubur.

Pembuluh darah ini sebenarnya berfungsi sebagai saluran membawa aliran darah daripada tisu di bahagian itu naik ke jantung. Secara normalnya, ia tidak membesar atau membengkak. Terdapat dua jenis buasir iaitu buasir dalaman dan buasir luaran.

Kedudukan External Hemorrhoid (Buasir Luaran) dan Internal Hemorrhoid (Buasir dalaman)

Buasir Dalaman 

– Pembuluh darah membengkak di lapisan rektum dan menyebabkan rasa tidak selesa.

– Terjadi pendarahan ketika membuang tetapi tidak ada kesakitan.

– Unjuran yang terkeluar boleh ditolak kembali ke dalam dubur.

Buasir Luaran 

– Benjolan pembuluh darah ini berada di dubur dan menyebabkan rasa sakit ketika membuang dan duduk serta rasa gatal.

– Menyebabkan sensasi pedih dan panas.

– Boleh berlaku salur darah tersumbat akibat darah beku yang terjadi daripada pendarahan semasa membuang air besar.

Apa punca terjadinya masalah buasir ini?

Punca Buasir

Antara punca yang memberikan tekanan yang tinggi pada saluran bawah dubur adalah seperti:

  • Mempunyai berat badan berlebihan atau obes
  • Menghidap masalah cirit-birit (sembelit) kronik
  • Pemakanan tidak seimbang dan kurang serat
  • Mempunyai tabiat untuk duduk dalam jangka masa yang lama
  • Sering meneran ketika membuang air besar
  • Sering mengangkat berat
  • Kehamilan
  • Kerap melakukan seks anal (persetubuhan melalui lubang dubur)

Tanda dan Gejala Masalah Buasir

  • Rasa pedih dan gatal pada bahagian dubur
  • Merasakan benjolan yang menyakitkan dan sensitif berdekatan dengan lubang dubur
  • Rasa sakit dan kurang selesa terutamanya ketika duduk
  • Sakit ketika membuang air besar
  • Sering berlaku pendarahan sewaktu membuang air besar

Rawatan

Bagaimana masalah buasir dirawat? Kebanyakan individu yang mempunyai masalah buasir lebih rela untuk membiarkan buasir tersebut untuk pulih dengan sendirinya. Hal ini kerana, mereka mungkin merasa tidak selesa atau malu untuk memberitahu sesiapa berkenaan masalah tersebut.

Walaubagaimanapun, bagi segelintir yang mempunyai gejala buasir kronik, mereka akan diberikan suplemen fiber untuk melembutkan dan membesarkan najis. Krim dan pil juga boleh didapatkan tanpa preskripsi doktor untuk melegakan rasa gatal dan kesakitan.

Tips Cegah Masalah Buasir

Buasir biasanya terjadi akibat daripada tabiat, gaya hidup dan juga pemakanan harian kita sendiri. Jadi, untuk mencegah atau mengurangkan masalah buasir kita perlulah mengubah tabiat, gaya hidup dan pemakanan kita ke arah yang lebih sihat.

Antara tips yang boleh diamalkan adalah seperti:

  • Banyakkan pemakanan tinggi serat dan minum air yang cukup kerana ia bantu melembutkan najis.
  • Melakukan aktiviti fizikal atau bersenam
  • Elakkan untuk duduk dalam jangka masa yang lama
  • Menjaga kebersihan pada bahagian lubang dubur
  • Berendam dalam air suam selama 7-10 minit beberapa kali sehari
  • Gunakan tisu basah tandas yang tidak mempunyai alkohol atau wangian
  • Tuam lubang dubur dengan ais untuk surutkan bengkak dan keradangan

Kanser Kolon

Image Source: istockphoto.com

Kanser kolon terjadi pada usus besar iaitu bahagian bawah dalam sistem penghadaman kita. Kanser rektum pula adalah kanser beberapa inci terakhir pada bahagian kolon dan bersama-sama keduanya dikenali sebagai Kanser Kolorektal.

Bagaimana kanser kolon ini berlaku dalam sistem penghadaman seseorang individu? Kebanyakan daripada kes kanser kolon terjadi apabila polip terbentuk daripada serumpun sel-sel kecil. Polip adalah benjolan kecil pada permukaan dalam usus.

Kebiasaanya polip ini tidak berbahaya akan tetapi sekiranya dibiarkan ia membesar, ia boleh menjadi kanser. Bukan itu sahaja, malas mutasi gen yang diwarisi melalui keluarga juga boleh menjadi punca kanser kolon.

Faktor Risiko Kanser Kolon

  • Mempunyai sejarah kanser kolorektal atau polip
  • Menghidap penyakit radang usus yang kronik seperti kolitis ulseratif dan penyakit Crohn
  • Sindrom genetik yang diturunkan oleh generasi keluarga
  • Keluarga mempunyai sejarah kanser kolon
  • Pemakanan tidak sihat seperti tinggi lemak dan kurang serat
  • Gaya hidup yang malas dan tidak aktif
  • Menghidap diabetes dan mempunyai masalah rintangan insulin
  • Terapi radiasi kanser yang dihalakan ke arah perut untuk merawat kanser terdahulu juga boleh menjadi faktor risiko kanser kolon
  • Pengambilan alkohol berlebihan
  • Menghidap masalah obesiti

Gejala Kanser Kolon

Buasir dan kanser kolon sering disamakan akibat daripada gejala keduanya yang sama iaitu terjadi pendarahan ketika membuang air besar. 

Antara gejala kanser kolon yang lain dan berbeza daripada gejala buasir adalah seperti:

  • Rasa tidak selesa, sakit dan kejang dalam perut yang berlarutan
  • Berasa lemah dan lesu yang melampau
  • Terjadi pendarahan rektum dan darah dalam najis (Najis berwarna merah atau bercampur dalam najis)
  • Perubahan pada keadaan najis yang berterusan (Najis bersaiz kecil atau leper)
  • Penurunan berat badan mendadak yang tidak dapat dijelaskan
  • Usus terasa tidak kosong sepenuhnya

Rawatan

  • Rawatan Kolostomi – Dimana sebahagian usus dibawa keluar bertujuan untuk mengeluarkan najis yang terperangkap.
  • Tenaga Radiasi Tinggi – Membunuh sel kanser dan mengecutkan ketumbuhan untuk memudahkan proses pembedahan.
  • Kemoterapi – Penggunaan bahan kimia untuk menganggu proses pembiakan dan pembahagian sel.

Perbezaan Antara Buasir dan Kanser Kolon

BUASIRKANSER KOLON
Buasir terjadi apabila tekanan yang tinggi dikenakan pada saluran dubur menyebabkan pembuluh darah membengkak.Kanser Kolon terjadi akibat pertumbuhan sel abnormal dalam usus besar.
Gejala: 
+ Rasa sakit ketika membuang, gatal dan tak selesa
+ Keluar darah apabila membuang
+ Pembuangan tidak lawas
+ Rasa benjolan pada bahagian dubur
Gejala: 
+ Rasa sakit dan kejang dalam perut
+ Najis bercampur dengan darahPerubahan keadaan najis
+ Penurunan berat badan yang drastik
+Kelesuan melampau
Faktor Risiko

– Kehamilan
– Duduk terlalu lama
– Pemakanan kurang serat
– Sering mengangkat berat
– Mengalami cirit-birit kronikGemar melakukan seks anal
– Mempunyai masalah obesiti
Faktor Risiko

– Mutasi gen yang diwarisi
– Mempunyai sejarah kanser kolorektal atau polip
– Menghidap penyakit radang usus yang kronik seperti kolitis ulseratif dan penyakit Crohn
– Sindrom genetik yang diturunkan oleh generasi keluarga
– Keluarga mempunyai sejarah kanser kolon
– Mengamalkan gaya hidup tidak aktif

Rawatan:
– Menjaga pemakanan
– Menyapu krim radang
– Mengambil suplemen fiber
– Pembedahan (Sekiranya kronik)
Rawatan:
– Rawatan Kolostomi
– Tenaga Radiasi Tinggi
– Kemoterapi

Kesimpulan

Kesimpulannya, kedua-dua penyakit ini adalah penyakit yang berbeza antara satu sama lain walaupun mempunyai 2-3 gejala yang hampir sama. Sekiranya mempunyai sebarang gejala buasir atau kanser kolon, hendaklah segera mendapatkan konsultasi dan rawatan pakar.

Rujukan

  1. Hemorrhoids – Symptoms and causes – Mayo Clinic.
  2. Colon Cancer vs. Hemorrhoid Symptoms and Differences
  3. Hemorrhoids (Internal & External): Pictures, Symptoms, Causes, Treatment
  4. Hemorrhoids or cancer? How to tell the difference.
  5. Jenis Buasir: 4 Keadaan Yang Boleh Dialami, Awas, Paling Bahaya No. 4!
  6. Buasir – PORTAL MyHEALTH
  7. Hemorrhoids | Patient Education | UCSF Health
  8. What Is Colorectal Cancer? | CDC
  9. Colon cancer – Symptoms and causes – Mayo Clinic
  10. What Is Colorectal Cancer? | How Does Colorectal Cancer Start?
  11. Amaran kanser kolon
  12. Kanser Usus & Dubur – PORTAL MyHEALTH
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here