Istimewanya Salmon…Walaupun Harganya Mahal, Tetapi Khasiatnya Lagi Mahal

Salmon ialah sejenis ikan yang boleh hidup di air tawar dan masin. Ikan ini akan menetas di air tawar dan berpindah ke laut, kemudian kembali semula ke air tawar untuk membiak. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa spesies salmon yang boleh hidup di air tawar. Hal ini disebabkan penternakan tertentu yang digunakan untuk ikan ini. 

Ikan ini mengandungi asid lemak tidak tepu yang baik untuk kesihatan yang dikenali sebagai omega-3 dan omega-6. Ia juga kaya dengan vitamin B, potassium, selenium serta antioksidan astaxanthin. Nutrisi ini diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik dan mengelakkan pelbagai jenis penyakit. Ikan salmon sudah terkenal terutamanya dalam kalangan individu yang sedang mengamalkan pemakanan sihat dan ingin menurunkan berat badan.

Kebaikan yang ada pada salmon:

1. Mengawal berat badan

Salmon boleh membantu menurunkan berat dengan mengawal selera makan, dan memberi rasa kenyang dengan cepat. Ia adalah makanan tinggi protein. Pengambilan makanan tinggi protein akan meningkatkan metabolisma badan.

Selain itu, omega-3 yang terdapat dalam ikan salmon dan ikan berlemak lain akan merangsang penurunan berat badan serta mengurangkan lemak di bahagian perut yang melapisi organ. Lemak pada bahagian perut ini berbahaya kerana ia boleh menyebabkan organ tidak dapat berfungsi dengan baik.  

Kajian dalam kalangan kanak-kanak berpenyakit hati bukan disebabkan alkohol membuktikan pengambilan DHA iaitu omega-3 yang terdapat dalam ikan salmon menyumbang kepada penurunan lemak di bahagian hati dan perut (abdominal fat).

Kandungan kalori yang rendah dalam salmon menjadikannya pilihan yang baik untuk menurunkan berat badan dan mengurangkan risiko berat badan berlebihan (obesiti). 100gram ikan salmon diternak mengandungi 206 kalori. Manakala, 100gram ikan salmon liar mengandungi 182 kalori. 

Oleh itu, pengambilan ikan salmon dapat membantu mengawal berat badan dengan mengurangkan selera makan, meningkatkan metabolisma, meningkatkan tindak balas insulin serta mengurangkan lemak di bahagian perut. 

2. Mengurangkan risiko penyakit jantung

Pengambilan ikan salmon setiap hari akan melindungi diri daripada penyakit jantung. Hal ini kerana salmon berupaya merangsang paras asid lemak omega-3 dan omega-6 dalam darah. Keseimbangan omega-3 dan omega-6 dalam darah penting untuk mengurangkan risiko penyakit jantung. 

Menurut kajian, pengambilan 2 hidangan salmon diternak seminggu akan meningkatkan paras omega-3 sebanyak 8-9% dan menurunkan paras omega-6 selepas 4 minggu. Kajian juga membuktikan pengambilan ikan secara konsisten akan menurunkan paras trigliserida dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Oleh itu, ikan salmon mengandungi lemak baik yang akan melindungi diri daripada penyakit jantung.

3. Salmon mengandungi agen anti-radang

Radang adalah kunci kepada pelbagai jenis penyakit kronik termasuklah penyakit jantung, kencing manis dan kanser. Radang ialah proses di mana sel darah putih akan melindungi diri daripada jangkitan dari luar seperti virus dan bakteria.

Beberapa kajian membuktikan pengambilan ikan dengan lebih dapat mengurangkan tanda-tanda keradangan dalam kalangan individu yang berisiko. Di samping itu, kajian lain membuktikan kekerapan pengambilan ikan dalam makanan harian berkait rapat dengan paras sel darah putih yang rendah.

Sel ini diperlukan untuk mengukur tahap keradangan kronik. Keradangan akan menyebabkan paras sel darah putih meningkat. Kajian lain juga membuktikan supplemen minyak ikan dapat mengurangkan beberapa tanda keradangan iaitu CRP, IL-6, dan TNF-a.4. Oleh itu, keradangan dapat dikurangkan dan dicegah dengan meningkatkan pengambilan ikan salmon.

4. Melindungi kesihatan otak

Ikan berlemak atau dengan asid lemak tidak tepu yang tinggi serta minyak ikan terbukti dapat mengurangkan simptom tekanan perasaan, melindungi kesihatan otak bayi sepanjang dalam kandungan, mengurangkan kegelisahan (anxiety), melambatkan hilang ingatan disebabkan usia, dan mengurangkan risiko dementia. 

Kajian keatas 1,566 warga emas telah membuktikan makan sekurang-kurangnya satu hidangan ikan seminggu menunjukkan pengurangan masalah kognitif. Masalah kognitif ialah masalah psikologi yang mengganggu kemampuan berfikir. Ini membuktikan salmon ini boleh mengurangkan masalah kesihatan.

5. Melindungi diri daripada penuaan

Salmon adalah sumber protein yang baik. Ia diperlukan untuk menguatkan kesihatan tulang, mengelakkan kehilangan otot dan membantu membaiki dan menyembuh sel-sel badan. Salmon juga kaya dengan astaxanthin yang akan membantu mengekalkan keanjalan kulit, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan melindungi kulit dari sinaran UV.

Konklusi:

Ikan salmon kaya dengan pelbagai nutrisi yang membantu mencegah pelbagai jenis penyakit jika diamalkan secara konsisten. Kaedah masakan yang betul penting untuk mengekalkan nutrisi yang ada pada ikan ini. Ia tidak sesuai untuk dimasak dalam minyak yang banyak kerana makanan bergoreng akan meningkatkan asid lemak trans yang boleh menyebabkan pengumpulan plak pada salur darah.

Keadaan ini boleh menghalang peredaran darah dan oksigen dari jantung ke seluruh badan. Ia boleh menyebabkan sakit jantung atau strok. Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat demi kebaikan pada masa akan datang.

Rujukan:

  1. 11 Impressive Health Benefits of Salmon
  2. Top 5 health benefits of salmon
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here