Selepas dikejutkan dengan kewujudan virus COVID-19, sekali lagi dunia digemparkan dengan jangkitan yang dikenali sebagai Monkeypox atau cacar monyet pada tahun 2020. Jangkitan ini diumumkan sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Jangkitan monkeypox ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah diisytiharkan sebagai endemik di beberapa negara. Ianya hanya diumumkan sebagai keadaan kecemasan antarabangsa apabila ia mula tersebar di kawasan yang tidak dijangka.
Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, wabak cacar monyet ini kebiasaannya menjangkiti haiwan liar di Afrika tetapi terdapat banyak kes dikesan di negara United Kingdom. Ini menimbulkan tanda tanya bagaimana wabak ini boleh merebak ke negara tersebut daripada Afrika.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia sudah pun mengambil beberapa langkah awal dalam mengesan dan menyediakan fasiliti yang diperlukan berikutan pengumuman wabak ini. Setakat hari ini, negara Malaysia masih bebas daripada kes wabak cacar monyet.
Latar Belakang Wabak Monkeypox
Wabak monkeypox atau cacar monyet ini diklasifikasikan sebagai virus zoonosis yang boleh merebak dari haiwan kepada manusia. Virus ini dipanggil sebagai monkeypox kerana dikenalpasti dalam koloni monyet pada tahun 1958. Manusia pertama yang dijangkiti cacar monyet ini adalah seorang kanak-kanak yang berumur 9 tahun pada 1970.
Dinyatakan seseorang individu yang dijangkiti monkeypox mempunyai simptom dan gejala yang hampir sama dan kurang serius berbanding cacar biasa. Dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, penghidap sembuh dengan kuarantin sendiri dan tidak dimasukkan ke hospital.
Simptom dan Gejala
Individu yang dijangkiti oleh monkeypox akan mengalami simptom dan gejala selepas 5-21 hari dijangkiti. Simptom awal cacar ini juga hampir sama dengan simptom cacar biasa seperti sakit kepala, demam panas, sakit belakang dan otot, sakit kepala, keletihan, dan menggigil.
Monkeypox ini juga akan menimbulkan ruam di atas tangan, kaki dan muka akibat daripada nodus limfa membengkak. Bukan sahaja di atas tangan, kaki dan muka malah, ruam juga akan timbul dalam mulut, tekak, dan mata. Ada juga kes yang dilaporkan di mana individu mengalami simptom ruam pada vagina dan dubur.
Bagaimana Wabak Ini Tersebar
Wabak monkeypox ini boleh dijangkiti oleh manusia dan haiwan, jadi sekiranya individu memegang atau melakukan kontak fizikal dengan haiwan yang dijangkiti boleh mendapat jangkitan. Antara kontak fizikal yang boleh menyebarkan jangkitan adalah melalui sentuhan darah, gigitan dan cakaran.
Jangkitan ini juga boleh tersebar sekiranya manusia memakan daging haiwan yang telah dijangkiti sekiranya tidak dimasak dengan baik.
Manakala dari manusia kepada manusia yang lain pula, monkeypox boleh tersebar melalui cara sentuhan fizikal seperti berpegangan tangan dan hubungan intim. Selain itu, penyebaran juga boleh berlaku melalui air liur, kontak mulut ke mulut atau mulut ke kulit.
Berkongsi barangan dengan orang yang mempunyai jangkitan cacar monyet ini juga boleh menyebarkan wabak kepada orang lain.
Kurangkan Risiko Dijangkiti
Cara untuk mencegah daripada dijangkiti monkeypox adalah sama caranya untuk mencegah jangkitan lain iaitu dengan menjaga kebersihan diri.
Antara cara yang mudah untuk menjaga kebersihan diri adalah dengan kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan menggunakan hand sanitizer apabila berada di tempat awam. Pemakaian pelitup muka di tempat awam juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko kita dijangkiti.
Selain itu, kebersihan dari segi penyediaan makanan terutamanya daging haiwan yang hendak dimakan juga penting. Daging dan apa sahaja makanan perlulah dimasak dengan penuh dan menyeluruh untuk memusnahkan bakteria, virus dan kuman yang ada pada daging atau bahan makanan tersebut.
Sekiranya, dijangkiti dengan monkeypox ini, individu yang dijangkiti hendaklah melakukan kuarantin di rumah dan elak daripada berjumpa dengan orang sekeliling untuk mengurangkan penyebaran virus ini.
Kesimpulan
Konklusinya, walaupun masih lagi tiada kes monkeypox yang dilaporkan di Malaysia tapi langkah berjaga-jaga masih harus diambil.