Halia, rempah yang paling mudah nak didapati dan bukan itu sahaja, ia juga herba atau rempah yang sangat dikenali oleh masyarakat tempatan. Nama saintifiknya ialah Zingiber officinale Roscoe juga dikenali sebagai Ginger dalam bahasa Inggeris, berasal daripada keluarga Zingiberaceae. Dikenali sebagai sejenis rempah yang mempunyai akar, bersifat pedas dan mempunyai manfaat untuk kesihatan, halia banyak digunakan dalam kebanyakan sajian makanan di serata dunia.
Halia mengandungi pelbagai bahan kimia dan nutrisi semulajadi yang sangat baik untuk meningkatkan tahap kesihatan kita. Masih banyak kajian terhadap khasiat halia yang masih memerlukan masa untuk membuktikan keberkesanannya untuk kesihatan. Walaubagaimanapun, ada banyak manfaat halia yang terbukti manfaatnya untuk kesihatan yang tidak dapat kita nafikan.
Dalam halia terkandungnya phenolic seperti gingerol, singerone, shogaols dan zingiberene. Phenolic ialah sebatian kimia yang didapati dapat memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan tubuh badan manusia. Mempunyai aroma dan rasa unik yang berasal daripada phenolic gingerol memberi khasiat yang tidak ramai tahu.
Khasiat turun-temurun rempah halia
Rempah berakar ini banyak ditanam di negara cuaca panas dan beriklim tropika lembap seperti China, India, dan di nusantara ini. Banyak digunakan dari zaman dahulu, khasiat halia memang mujarab turun-temurun. Halia banyak digunakan untuk melegakan rasa mual loya, keradangan, osteoartritis, dan kurangkan sakit ketika haid pada zaman Dinasti China.
Halia segar mengandungi karbohidrat, serat diet, dan protein. Selain itu, halia juga mengandungi kalsium, magnesium, potassium, zink, zat besi, vitamin C dan E. Gingerol dan shogaol dalam halia adalah salah satu bahan utama yang signifikan dalam kaedah perubatan tradisional. Hal ini kerana, kedua-dua bahan bioaktif ini mempunyai sifat anti-radang yang kuat.
1. Melancarkan sistem penghadaman
Halia mengaktifkan pundi hempedu kita untuk merembeskan cecair ‘bile’ yang berwarna coklat kekuningan. Dengan mengamalkan halia, ia mampu membantu merangsang sistem penghadaman dan pencernaan kita. Bila sistem penghadaman kita lancar, ia boleh melegakan masalah penghadaman seperti masalah sembelit, kembung perut dan gastrik.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan halia dapat melancarkan dan mempercepatkan proses pengosongan perut. Halia juga berpotensi untuk kurangkan masalah iritasi gastrousus kita, mengaktifkan penghasilan air liur dan melancarkan pergerakan makanan dalam saluran usus.
2. Mencegah kuman dalam badan
Dalam halia mengandungi beberapa sebatian kimia yang berpotensi membantu badan kita untuk membuang kuman. Pertumbuhan bakteria dalam badan seperti shigella dan E-coli juga dapat dihentikan dengan mengamalkan halia. Dengan sifatnya yang berpotensi mencegah pertumbuhan kuman dalam badan, halia membantu badan kita untuk cegah demam, selesema, batuk dan penyakit biasa yang lain. Sekiranya terdapat simptom demam, selesema dan batuk, boleh amalkan halia sebagai rawatan untuk kebahkan penyakit tersebut.
Ini kerana khasiat halia boleh menghalang rhinovirus yang menyebabkan kita demam. Tambahan pula, halia adalah tumbuhan yang diaforetik yang bermaksud ia bantu merangsang peluh yang memanaskan badan dari dalam dan boleh cegah demam. Oleh kerana itu, halia sering diamalkan dalam rawatan ‘home remedy’ kerana sangat mudah untuk disediakan dan diamalkan.
3. Mengurangkan sakit ketika haid
Pada zaman pemerintahan Dinasti China, halia banyak digunakan oleh kaum wanita untuk mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh kedatangan haid. Ini bermakna amalan menggunakan halia untuk melegakan kesakitan sudah lama diketahui dan diperkenalkan. Hal ini kerana halia mempunyai kesan tahan sakit yang kuat seperti ibuprofen dan zinc sulfate. Terdapat juga kajian yang dilakukan dan terbukti tumbuhan halia boleh mengurangkan sakit di awal kedatangan haid.
4. Mengurangkan paras kolesterol
LDL (low density lipoprotein) juga dikenali sebagai kolesterol jahat yang tinggi dalam darah boleh tingkatkan risiko penyakit jantung. Ini dibuktikan melalui kajian yang dibuat yang mendapati halia dapat bantu badan kita untuk merendahkan paras kolesterol dalam darah kita. Ada kajian yang mendapati bahawa dengan mengamalkan 5g halia selama 3 bulan boleh mengurangkan bacaan kolesterol sebanyak 17.4%.
Selain itu, kajian yang dilakukan dimana peserta kajian mengamalkan halia dalam bentuk kapsul membantu menurunkan 10% kolesterol selepas 45 hari. Apabila kolesterol dalam darah rendah atau normal, ia akan sekaligus membantu mengurangkan risiko untuk kita mendapat sakit jantung. Bukan sahaja penyakit jantung, malah halia juga boleh mengurangkan risiko untuk kita mendapat penyakit kronik yang lain.
Konklusi
Halia, herba, tumbuhan dan rempah yang sangat mudah untuk didapati dan sangat berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan kita. Khasiat halia yang sudah lama diamalkan secara turun-temurun dan sehingga sekarang khasiatnya masih relevan. Bukan itu sahaja, rata-rata kajian juga sudah dilakukan dan mendapati halia sememangnya baik untuk kesihatan.
Halia memberi manfaat seperti melancarkan sistem penghadaman, mencegah pertumbuhan kuman dalam tubuh badan, mengurangkan sakit ketika haid, dan mengurangkan paras kolesterol. Walaubagaimanapun, sebelum mengamalkan untuk kesihatan, meminta nasihat daripada pakar adalah disarankan.