Sangat penting untuk kita jaga sistem pencernaan dengan sebaik mungkin kerana kerosakan sistem ini boleh melumpuhkan sekurang-kurangnya setengah fungsi badan kita. Organ sistem pencernaan terdiri daripada perut, usus dan esofagus. Manakala sistem pencernaan secara keseluruhan adalah satu saluran panjang yang bermula dari mulut dan berakhir di dubur. Sistem pencernaan memainkan peranan penting dalam menyerap nutrien daripada makanan dan menyingkirkan sisa yang tidak diperlukan oleh badan.
Tambahan pula, sistem pencernaan kita juga mampu mempengaruhi kesihatan emosi dan fizikal kita. Sebagai contoh, sekiranya kita lapar, kita lebih cenderung untuk mudah marah. Sistem pencernaan yang sihat boleh meningkatkan emosi dan kesihatan sistem imun badan kita.
Pakar perubatan juga menggelar sistem pencernaan manusia sebagai ‘otak kedua’ di mana ia mempunyai banyak neurotransmitter berbanding otak. Kalau nak tahu sebanyak 95 peratus serotonin dihasilkan oleh sistem penghadaman. Serotonin adalah hormon yang mempengaruhi emosi kita dan digunakan semasa proses pencernaan.
Oleh sebab itu, sekiranya terjadi sebarang gangguan pada sistem pencernaan, emosi kita juga akan terganggu sehingga menjejaskan aktiviti harian seperti bekerja dan belajar. Apa yang dimaksudkan dengan gangguan sistem pencernaan?
Gangguan Sistem Pencernaan
Secara umumnya gangguan sistem pencernaan merujuk kepada keadaan atau penyakit yang terjadi pada sistem pencernaan kita. Fakta penting tentang sistem pencernaan kita ialah ia merupakan sistem dalam badan yang sangat mudah untuk mendapat masalah kanser.
Ada kaitan ke kanser dan gangguan sistem pencernaan? Kebanyakan kanser dalam sistem pencernaan bermula daripada gangguan yang kita sering ambil mudah. Antara gangguan sistem pencernaan yang sering kita alami dalam kehidupan adalah gastrik, GERD (refluks asid perut) dan sembelit.
Faktor utama yang memberi impak signifikan kepada sistem pencernaan kita adalah diet pemakanan harian dan gaya hidup kita sendiri. Jadi sekiranya kita mengalami gangguan sistem pencernaan, ia menjadi satu petanda untuk kita mengubah gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat.
Selain daripada pemakanan yang tidak sihat, penyediaan makanan secara tidak bersih juga menjadi punca gangguan sistem pencernaan kerana ia boleh menyebabkan keracunan makanan. Keracunan makanan boleh terjadi apabila makanan yang dimakan telah tercemar. Bukan itu sahaja, cara penyediaan makanan yang tidak bersih seperti peralatan yang kotor dan tidak membasuh tangan sebelum penyediaan juga menjadi punca keracunan makanan.
Tanda dan Gejala Gangguan Sistem Pencernaan
- Sakit perut
- Sembelit
- Cirit-birit
- Hilang selera makan
- Muntah
- Loya
Jenis Gangguan Sistem Pencernaan
1. Dalam Mulut
Mulut kita juga sebahagian daripada saluran sistem pencernaan di mana gigi akan mengunyah makanan menjadi cebisan kecil yang dilembutkan oleh air liur. Kebanyakan gangguan sistem pencernaan di dalam mulut berpunca daripada masalah mengunyah makanan. Antara gangguan yang paling biasa terjadi di mulut adalah seperti:
- Ulser mulut (Serawan)
- Gingivitis (Radang Gusi)
- Karies (Gigi Berlubang)
2. Dalam Perut
Dinding perut kita memainkan peranan untuk merembeskan asid hidroklorik dan sejenis enzim untuk mencernakan protein dan membunuh kuman. Macam mana boleh berlakunya gangguan sistem pencernaan dalam perut?
Antara gangguan sistem pencernaan dalam perut adalah gastrik (gastritis) yang terjadi akibat lapisan mukosa yang melindungi dinding perut menipis dan dicederakan oleh asid hidroklorik yang bersifat menghakis. Hal ini menyebabkan kita berasa sensasi pedih dalam perut. Gangguan sistem pencernaan lain yang sering berlaku dalam perut adalah seperti:
- GERD (Pedih Ulu Hati)
- Ulser Perut
- Dispepsia
3. Dalam Saluran Esofagus
Dalam sistem pencernaan kita terdapat saluran panjang terbentuk dari mulut ke perut yang dipanggil sebagai esofagus. Saluran ini membawa makanan yang telah dikunyah menjadi cebisan kecil ke dalam perut.
Gumpalan makanan (bolus) dibawa masuk ke dalam perut melalui pergerakan otot secara ombak (peristalsis). Keradangan esofagus (esofagitis) dan masalah relaksasi otot esofagus adalah antara gangguan dalam saluran esofagus.
4. Dalam Usus
Usus besar dan kecil juga termasuk dalam sistem pencernaan. Usus besar dan kecil menjalankan fungsi yang signifikan dalam menyerap nutrien dan menyingkirkan sisa makanan yang tidak diperlukan oleh badan. Jadi, toksin dan sisa makanan yang tidak lagi diperlukan oleh badan akan dibuang, sekiranya tersimpan boleh menjadi punca risiko penyakit lain.
Gangguan pada usus besar:
- Kanser Usus
- Appendisitis (Radang Appendiks)
- Radang Usus Besar (Kolitis Ulserativa)
Gangguan pada usus kecil:
- Ulser Duodenum
- Penyakit Crohn’s (Radang pada lapisan dinding sistem pencernaan)
5. Pada Anus
Gangguan di sistem pencernaan pada bahagian dubur (Anus) adalah yang sering dialami oleh masyarakat di seluruh dunia. Antaranya adalah buasir di mana pembuluh darah membengkak dan membesar di sekitar bahagian dubur menyebabkan kesakitan apabila membuang. Buasir juga boleh menyebabkan terdapatnya darah pada najis.
Kesimpulan
Pemakanan dan gaya hidup kita sememangnya memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan dan ketahanan sistem pencernaan kita. Pemakanan yang tidak sihat dan tidak bersih bukan sahaja merosakkan sistem pencernaan malah meningkatkan risiko kanser seperti kanser perut.
Pengamalan kesederhanaan dalam pemakanan sangat dinasihatkan.