Kalau pernah p umrah atau haji, mesti wajib bawa balik buah tin. Dikenal dengan nama saintifik, Ficus carica. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai fig. Ia adalah sejenis buah sebesar ibu jari yang mempunyai beratus biji kecil. Mempunyai kulit berwarna ungu dengan isi “pink” dan rasa sederhana manis.
Dulu, buah ini banyak ditanam di kawasan Asia Barat dan sangat popular di Tanah Arab. Kini, ia boleh dijumpai di serata dunia. Buah tin adalah antara buah yang disebut dalam al-quran dalam surah At-Tin dan digelar buah syurga. Ia juga merupakan makanan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Kandungan nutrisi yang lengkap menjadikannya pilihan dari seluruh pelusuk dunia.
Di Malaysia, buah ini sudah mula ditanam secara komersial di bawah program National Plan of Action for Nutrition. Pokok ini mudah ditanam dan hanya memerlukan sumber saliran yang baik serta suhu yang 24 – 37’C. Biasanya, buah tin akan dikeringkan supaya tahan lebih lama.
Nutrisi

Buah tin dan daunnya kaya dengan pelbagai nutrisi serta rendah kalori. Sebiji buah (40gram) tin mempunyai 30 kalori dan 8 gram karbohidrat. Ia juga kaya dengan mineral dan vitamin seperti kuprum, magnesium, potassium, riboflavin, thiamine, vitamin B6, dan vitamin K.
Buah segar mengandungi kalori yang sedikit daripada gula pasir. Manakala buah kering mengandungi kandungan gula yang lebih tinggi.
Khasiat buah tin:
1. Penghadaman

Masalah makanan tidak hadam akan menjadi masalah besar jika tidak dirawat dari awal. Ini kerana perkara ini boleh mengganggu aktiviti harian. Buah tin telah digunakan sejak sekian lama dalam perubatan alternatif untuk masalah sembelit.
Buah tin mengandungi ciri sebagai julap di mana ia membantu melancarkan penghadaman dan mengatasi masalah sembelit. Kandungan serat yang tinggi membantu melembutkan najis, mengurangkan sembelit dan bertindak sebagai prebiotik iaitu sumber makanan kepada bakteria baik dalam usus.
Kajian dilakukan dengan menggunakan buah tin dan suplemen serat ke atas peserta kajian yang mengalami sembelit. Individu yang mengambil buah tin menunjukkan peningkatan dalam kekerapan pergerakan usus dan pengurangan rasa tidak selesa dan sakit perut berbanding mereka yang mengambil supplemen serat.
Selain itu, kajian dilakukan ke atas 150 peserta kajian yang mengalami masalah sindrom iritasi usus dengan sembelit. Mereka diberi 4 biji buah tin kering dua kali sehari. Hasilnya, masalah kembung perut, sembelit dan sakit perut makin berkurang berbanding mereka yang tidak mengamalkan buah tin.
2. Kawal gula

Kencing manis (diabetes) adalah apabila paras gula dalam darah tinggi daripada paras normal. 4.0 – 7.8 mmol/L adalah paras normal untuk bacaan gula dalam darah. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan insulin yang dihasilkan tidak mencukupi atau insulin tersebut tidak dapat bertindak balas dengan baik dengan glukosa dalam darah. Oleh itu, paras glukosa (gula) menjadi tinggi.
Terdapat kajian yang telah membuktikan ekstrak daun tin membantu mengawal paras gula selepas makan dalam kalangan peserta kajian. Malah, penggunaan insulin mereka juga telah berkurang.
Dalam kajian yang dilakukan keatas tikus kajian pula menunjukkan, buah tin membantu membaiki paras insulin dan menurunkan paras gula dalam darah.
Selain itu, dalam kajian lain juga menyatakan ekstrak daun tin boleh menghentikan atau memperlahankan penghasilan glukosa dalam organ hati.

Makanan yang dimakan akan dihadam menjadi glukosa. Selepas makan, glukosa akan memasuki organ hati untuk diproses dan gula dalam darah akan tinggi. Hati berfungsi menyimpan dan menghasilkan glukosa. Apabila glukosa (gula) dalam darah tinggi, hati akan menghantar isyarat untuk menyimpan lebihan glukosa dalam hati sebagai glycogen. Apabila glukosa dalam darah rendah, hati akan menukarkan glycogen kepada glukosa untuk menstabilkan kembali paras glukosa dalam darah.
Lemak yang tinggi dalam hati menyebabkan organ hati tidak dapat bertindak balas dengan insulin seterusnya membiarkan glukosa tinggi dalam darah. Disebabkan itu, bacaan gula dalam darah tinggi.
Jus yang mengandungi ekstrak buah tin yang banyak mempunyai indeks glisemik yang rendah. Oleh itu, ia sesuai untuk diambil oleh pesakit diabetes. Walaubagaimanapun, buah tin yang kering tinggi dengan gula kerana kandungan gula dari buah yang kering, dipekatkan. Paras gula dalam darah akan meningkat untuk jangka masa pendek. Justeru itu, buah tin segar lebih baik untuk dimakan berbanding buah kering.
3. Kawal kolesterol

Kolesterol adalah lemak berlilin yang bergerak ke seluruh tubuh dalam salur darah. Ia boleh berkumpul dan membentuk plak yang melekat di dinding salur darah. Plak yang banyak yang tidak dicegah dari awal boleh menutup salur darah dan menghalang peredaran darah. Bekalan oksigen juga boleh terhalang disebabkan darah tidak dapat mengalir ke seluruh tubuh. Oksigen di bawa ke seluruh tubuh melalui haemoglobin dalam darah.
Beberapa kajian telah dilakukan dengan menggunakan ekstrak daun tin. Hasil menunjukkan ekstrak daun tin membantu mengawal jumlah kolesterol dan trigliserida dalam darah. Malah HDL kolestetol juga menunjukkan peningkatan.

HDL kolesterol adalah kolesterol baik yang akan menyerap kolesterol dan membawanya kembali ke hati untuk diproses dan dibuang dari badan. LDL adalah kolesterol jahat yang akan menyebabkan pembentukan plak pada dinding salur darah.
Tekanan darah tinggi juga lebih terkawal dalam individu yang ada masalah hipertensi. Apabila tekanan darah tinggi dan kolesterol stabil, risiko untuk mendapat sakit jantung berkurang.
Konklusi
Ekstrak tin sama ada daripada buah atau daun mengandungi pelbagai nutrisi penting yang diperlukan oleh badan. Walaubagaimanapun, pengambilan berlebihan boleh memberi kesan negatif. Antaranya, pengambilan buah tin beberapa minggu sebelum pembedahan boleh meningkatkan risiko pendarahan. Malah, ia juga boleh meningkatkan paras gula jika diambil berlebihan. Dengan itu, ambillah secara bersederhana.