Tak ada siapa dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang tak kenal dengan buah tropika jambu batu. Juga dikenali sebagai pink guava dalam bahasa Inggeris dan nama saintifiknya Psidium guajava. Berasal dari keluarga myrtaceae, buah tropika ini mempunyai kulit berwarna hijau, isinya berwarna putih dan merah jambu.
Bermacam jenis jambu batu wujud di dunia dan rasanya juga berbeza seperti masam, manis dan ada juga yang rasanya sedikit kelat. Jambu batu ini berasal dari tempat-tempat ternama seperti Mexico dan Caribbean. Walaubagaimanapun, dengan peredaran masa, buah tropika ini sudah banyak ditanam di tanah air Malaysia.
Dalam industri makanan zaman kini juga giat menggunakan buah jambu batu dalam menghasilkan produk-produk jus, kapsul, dan gula gula yang sedap. Bukan itu sahaja, ada industri yang memasarkan jambu batu sebagai bahan dalam produk kesihatan dan kecantikan.
Hal ini kerana, rata-rata kajian yang dibuat telah membuktikan jambu batu kaya dengan khasiat dan manfaat.
Kaya Dengan Khasiat dan Nutrisi
Buah Jambu Batu ini mengandungi kandungan mikronutrisi dan makronutrisi yang memberi kebaikan kepada tubuh badan kita. Antara makronutrisi dan mikronutrisi yang terkandung dalam buah tropika ini adalah:
Makronutrisi
- Karbohidrat
- Serat
- Protein
- Tenaga
- Lemak
Mikronutrisi
- Kalsium
- Zat besi
- Natrium
- Kalium
- Fosforus
- Vitamin A,B,C
- Karotin
- Thiamin
- Riboflavin
- Niacin
- Zink
Kaya dengan makronutrisi dan mikronutrisi yang baik untuk badan, jambu batu sememangnya sesuai untuk diamalkan oleh semua golongan masyarakat. Kalau nak tahu, kandungan Vitamin C dalam buah jambu lebih tinggi daripada buah oren.
Dengan nutrisi yang terkandung dalam buah ini, apa manfaat yang boleh kita dapat? Nak tahu kenalah baca sampai ke penghujung penulisan ni.
Mengawal dan Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi
Satu penulisan penyelidikan yang terdapat dalam penerbitan American Journal of Cardiology menyatakan buah jambu batu dapat mengurangkan tekanan darah. Hal ini kerana, jambu batu yang bersifat hipoglisemik dan kaya serat.
Bukan itu sahaja, buah jambu batu ini juga boleh mengelakkan pemekatan saluran darah dan sekaligus mengurangkan kadar kolesterol. Terdapat kajian yang dilakukan yang melibatkan pesakit hipertensi. Pesakit tersebut diarah untuk mengamalkan buah jambu batu ini sepanjang kajian dijalankan iaitu selama 12 minggu. Di akhir kajian, didapati paras kolesterol, tekanan darah dan trigliserida pesakit itu berkurang. Paras kolesterol HDL (kolesterol baik) juga meningkat.
Membantu Masalah Sembelit
Tinggi dengan kandungan serat dan biji buah jambu batu ini dikatakan pencuci perut atau julap yang baik. Memberi khasiat dan sokongan untuk melancarkan sistem pencernaan dengan membantu mengaktifkan usus dan menjaga sistem perkumuhan kita.
Selain itu, buah ini juga membantu melancarkan pergerakan usus dan menghidrasi badan kita. Saluran usus kita juga akan terjaga dan sihat. Makanan yang kaya dengan serat sangat baik untuk membantu meredakan kesakitan masalah sembelit.
Masalah sembelit boleh meningkatkan risiko kita untuk mendapat penyakit yang lain, jadi pemakanan kita memainkan peranan yang penting untuk menjaga sistem pencernaan, sistem penghadaman dan perkumuhan kita. Dengan mengamalkan buah jambu batu, 3 sistem ini dapat berfungsi dengan baik dan lancar.
Melawan Sel Kanser
Buah tropika jambu batu berpotensi mengurangkan pembentukan sel-sel kanser dalam badan kita. Di samping itu, minyak daun buah ini juga memberi manfaat dan dikatakan dapat berfungsi lebih baik daripada sesetengah ubat. Risiko dan pembentukan sel kanser prostat, mulut dan payudara dapat dihalang dan dikurangkan kerana kandungan antioksidan lycopen.
Tak dilupakan juga, kandungan Vitamin C dalam buah jambu batu yang sangat berkhasiat untuk kita. Gandingan Vitamin C dan antioksidan ini memberi rangsangan kuat untuk sistem imunisasi kita sekaligus melawan pembentukan radikal bebas yang menyebabkan kanser.
Mempunyai Anti-Penuaan
Siapa sangka buah tropika jambu batu ini sangat sesuai diamalkan untuk penjagaan kulit. Ini kerana buah ini mempunyai agen anti-penuaan. Beberapa sumber mengatakan dengan mengamalkan buah jambu batu dan juga daunnya yang masih muda boleh menegangkan dan mencerahkan kulit.
Penuaan pra-matang boleh dielakkan dengan mengamalkan buah tropika jambu batu. Ini kerana buah ini mempunyai kandungan antioksidan dari Vitamin A, B, dan C. Antioksidan melindungi kulit daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas, UV dan pencemaran persekitaran.
Jadi, para wanita yang nak cantik dan nampak muda boleh mula mengamalkan jambu batu. Boleh juga diamalkan dalam bentuk jus dan sebagainya.
Kesimpulan
Buah jambu batu ini sememangnya memberi khasiat yang baik dan seimbang untuk kesihatan dan kecantikan. Nak sihat dan cantik? Boleh amalkan buah tropika berwarna hijau dan bertekstur kasar ini.
Memberi khasiat dan nutrisi yang mencukupi untuk badan, mengurangkan masalah kesihatan sekaligus meningkatkan dan melancarkan fungsi sistem badan kita.
Rujukan
- Khasiat Jambu Batu
- Khasiat Jambu Batu, Membekalkan Tenaga & Nutrien Yang Mencukupi Untuk Tubuh Badan
- Guava: Health Benefits, Nutrition, & Uses
- 8 Health Benefits of Guava Fruit and Leaves
- Effects of guava intake on serum total and high-density lipoprotein cholesterol levels and on systemic blood pressure