Bukan Sebarangan Buah Berry, Goji Berry Istimewa dan Berkhasiat

Goji adalah buah yang dipanggil “superfood” kerana khasiatnya yang banyak dan mampu mencegah serta mengurangkan risiko penyakit. Superfood adalah makanan yang kaya dengan nutrien yang dianggap bermanfaat untuk kesihatan.

Goji adalah sejenis buah berwarna merah dan bersaiz kecil. Ia dikenali juga sebagai wolfberries atau goji berry (Lycium barbarum). Buah ini berasal dari Asia iaitu negara Tibet dan tumbuh di dataran tinggi Himalaya. Ia mempunyai rasa manis serta sedikit masam yang sedap dan secukup rasa.

Buah goji biasa dijumpai dalam bentuk kering atau serbuk. Ia sesuai untuk dibuat pelbagai menu makanan. Biasanya menu makanan sihat lebih menjadi pilihan seperti smoothie, makan bersama oat, yogurt, salad, dan pencuci mulut. 

Nutrisi goji berry

Goji kaya dengan antioksidan dan mempunyai khasiat perubatan yang hebat. Ia telah digunakan dalam perubatan traditional sejak berkurun lamanya. Ia dikatakan mampu mengurangkan simptom penuaan, mengekalkan kesihatan mata, menguatkan organ hati, buah pinggang dan paru-paru.

28gram goji mengandungi 98 kalori, 4 gram protein, 0.1 gram lemak dan 21.6 gram karbohidrat. Ia juga kaya dengan serat, vitamin A, vitamin C dan zat besi. Semua nutrisi ini penting kepada badan manusia untuk berfungsi dengan baik. Nutrisi ini juga diperlukan oleh ibu mengandung dan selepas bersalin untuk melancarkan pencernaan, menambah darah dan meningkatkan penghasilan susu badan. 

Zat besi diperlukan untuk membawa oksigen dari jantung ke seluruh badan disamping untuk penghasilan sel darah merah. Vitamin A dan C penting untuk menguatkan sistem imunisasi dan bertindak sebagai antioksidan di dalam badan. 

Antioksidan ini akan melambatkan proses penuaan. Ia adalah sejenis kompound untuk menstabilkan molekul berbahaya yang dikenali sebagai radikal bebas. 

Antioksidan diperlukan untuk mencegah dan menyembuhkan kecederaan yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan. 

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu ditambah daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan tersebut.

Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisme dalam badan. Ia terjadi secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Kerosakkan disebabkan radikal bebas menjadi penyumbang utama kepada penyakit-penyakit kronik. Kajian membuktikan pengambilan antioksidan dapat mengurangkan risiko keradangan dan melindungi daripada penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung dan kencing manis.

Khasiat goji berry

Goji berry sangat popular dalam kalangan wanita kaum Cina berpantang. Ia adalah makanan “milk-booster” untuk para ibu. Ia sering diambil bersama kurma merah yang dibuat sup atau teh. Tetapi, kini khasiat buah ini tidak sahaja untuk menambah susu badan. Malah, kandungan nutrien yang tinggi dan pelbagai meningkatkan khasiat buah ini.

1. Menyokong sistem imunisasi

Goji digunakan untuk mencegah penyakit dan jangkitan serta meningkatkan imuniti secara semulajadi. Vitamin C daripada goji berry membantu menguatkan sistem imunisasi. Ia akan melindungi badan daripada jangkitan bakteria dan virus yang boleh menyerang tanpa mengira masa.

Golongan tua, bayi dan kanak-kanak mempunyai imuniti yang lemah. Mereka memerlukan supplement tambahan untuk menguatkan sistem imuniti badan. Kajian selama 30 hari ke atas 60 orang dewasa tua membuktikan minum 120ml jus goji berry sehari boleh meningkatkan sel imun.

Selain itu, kajian 3 bulan keatas 150 dewasa tua pula menyatakan supplement goji berry meningkatkan fungsi imun sebagai tindak balas kepada vaksin influenza. Oleh itu, pengambilan goji berry secara konsisten sama ada dalam bentuk jus, esktrak atau supplement membantu menguatkan sistem imuniti badan terutamanya golongan dewasa tua.  

2. Meningkatkan kesihatan mata

Goji berupaya melindungi diri daripada penyakit mata seiring peningkatan usia. Kajian telah membuktikan goji berry boleh merangsang kesihatan mata dan melindungi mata daripada penyakit seperti macular degeneration. Ianya adalah keadaan kesihatan mata yang melibatkan bahagian tengah penglihatan sehingga boleh menyebabkan hilang penglihatan. 

Kajian 90 hari keatas 150 dewasa tua mendapati bahawa pengambilan goji berry dapat meningkatkan paras antioksidan, dan membantu melembutkan lemak protein dibawah retina mata. 

Di samping itu, goji berry juga kaya dengan antioksidan seperti zeaxanthin yang akan melindungi kanta dan retina daripada kecederaan/kerosakan. Oleh yang demikian, goji berry bagus untuk ditambah dalam makanan untuk mendapat nutrien yang mencukupi serta khasiat yang baik untuk badan.

3. Mencegah kanser

Kandungan antioksidan yang tinggi seperti vitamin C, zeaxanthin, dan carotenoids bertanggungjawab melawan sel kanser. Antioksidan akan melambatkan pertumbuhan “tumor”, mengurangkan keradangan dan membantu membuang bahan berbahaya daripada badan.

Kajian daripada journal Drug Design, Development and Therapy, menyatakan goji berries akan menghalang pertumbuhan “tumor” dan merangsang keberkesanan rawatan kanser. 

4. Menstabilkan paras gula

Goji berry berupaya mengawal rembesan gula di dalam darah. Paras gula yang tidak normal merupakan tanda seseorang individu berisiko mendapat kencing manis. Kajian pada tahun 2015 menunjukkan goji berry akan menstabilkan paras insulin dan glukosa dalam darah. Oleh itu, pengambilan goji berry dalam bentuk jus atau ekstrak secara konsisten membantu mengawal gula dalam darah.

5. Mengurangkan kemurungan, anxiety dan kualiti tidur.

Kemurungan adalah masalah mental yang menjadi fenomena pada zaman sekarang. Ada diantara individu tidak menyedari mereka mengalami masalah ini. Masalah mental ini jika tidak dirawat atau diatasi akan menjadi lebih serius.

Kajian pada tahun 2016 membuktikan goji berry boleh membaiki kemurungan dan anxiety. Manakala, kajian lain yang dilakukan mendapati individu yang mengambil jus goji berry dapat meningkatkan tenaga, emosi dan sistem penghadaman. Malah, jus buah ini membantu membaiki kualiti tidur.

Tidur yang cukup dan berkualiti penting untuk memastikan badan kita mendapat rehat secukupnya.

Kesan sampingan:

Goji berry boleh menyebabkan reaksi allergik dalam individu yang allergik dengan buah. Goji juga boleh bertindak balas dengan ubat-ubatan seperti ubat kencing manis dan darah tinggi.

Konklusi:

Goji berry sangat sesuai untuk diamalkan setiap hari. Khasiatnya yang pelbagai membantu mencegah dan mengurangkan risiko penyakit.

Rujukan:

  1. What are the health benefits of goji berries?
  2. What are Goji Berries? This Unique Red Fruit, Explained
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here