Salmon sering dikaitkan sebagai “ikan kayangan” disebabkan harganya yang mahal. Ia adalah sejenis ikan laut dalam. Biasanya ditemui di kawasan Lautan Pasifik dan Lautan Atlantik.
Ikan ini tidak dapat disangkal lagi dengan rasanya yang unik, sedap serta bau yang kurang hanyir berbanding ikan berlemak yang lain. Walaupun ia mempunyai lemak yang banyak, ikan ini terkenal dengan kandungan nutrisinya yang tinggi dan dapat mengurangkan risiko penyakit.
Ikan salmon yang diternak mengandungi nutrisi berbeza dengan ikan salmon liar. Ia mengandungi asid lemak sihat iaitu omega-3, vitamin D dan protein yang baik untuk kesihatan jantung dan mengurangkan risiko strok.
Nutrisi ikan salmon:
1. Kaya omega-3
Omega-3 adalah sumber nutrisi yang tidak boleh dihasilkan sendiri dan perlu diambil daripada makanan. Ikan salmon antara ikan yang mempunyai kandungan omega-3 yang tinggi. Omega-3 adalah asid lemak poli tidak tepu.
Untuk 100gram ikan salmon diternak, ia mengandungi 2.3gram omega-3, manakala untuk 100gram ikan salmon liar, ia mengandungi 2.6gram omega-3.
Omega-3 adalah sumber tenaga yang diperlukan untuk menggerakkan aktiviti harian. Ia terbukti baik untuk kesihatan jantung, mengawal tekanan darah, membaiki fungsi sel yang melapisi saluran darah, serta mengurangkan masalh keradangan.
Kajian membuktikan EPA dan DHA dari omega-3 dapat membaiki fungsi saluran arteri terutama dalam kalangan perokok, dan individu yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
2. Sumber protein
Ikan adalah sumber protein. Oleh itu, salmon merupakan salah satu daripada sumber protein yang baik.
Protein diperlukan untuk tumbesaran, membaiki sel dan tisu badan yang cedera serta mengekalkan kesihatan tulang. Ia juga berfungsi mengawal keseimbangan air dalam badan. Di samping itu, pengambilan protein dapat membantu menurunkan berat badan kerana ia memberi rasa kenyang dengan cepat. Oleh itu, individu akan mengurangkan pengambilan makanan.
Pengambilan protein secara konsisten akan menguatkan sistem pertahanan badan melawan jangkitan bakteria dan virus. Malah, protein juga diperlukan untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Kajian terbaru menyatakan, untuk mendapat kesihatan yang optimum, setiap sajian makanan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 – 30 gram protein yang tinggi kualiti. Untuk 100gram ikan salmon, ia mengandungi 22 – 25 gram protein. Oleh itu, pengambilan ikan salmon secara konsisten dapat memberi khasiat yang baik untuk tubuh badan manusia.
3. Sumber potassium
Salmon kaya dengan potassium dan kandungannya lebih tinggi dari kandungan potassium dalam pisang. 100 gram salmon mengandungi 363 milligram potassium, manakala 100 grams pisang mengandungi 241 milligrams potassium.
Potassium penting untuk mengawal keseimbangan air dalam darah dan tisu badan. Dengan ini, ia akan membantu mengawal tekanan darah serta mengurangkan risiko stroke.
Satu tinjauan mendapati bahawa pengambilan potassium (kalium) dapat mengurangkan paras tekanan darah dalam kalangan individu dengan tekanan darah tinggi terutamanya bagi mereka yang mengambil sejumlah besar sodium (garam).
4. Mengandungi selenium
Selenium adalah sejenis mineral yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Walaubagaimanapun, pengambilannya dalam kuantiti yang mencukupi juga penting.
Kajian membuktikan selenium membantu melindungi kesihatan tulang serta mengawal hormon tiroid dalam kalangan pesakit tiroid autoimmun serta mengurangkan risiko kanser. 100g salmon mengandungi 25 hingga 50 mikrogram selenium. Oleh itu, pengambilan ikan salmon dan makanan laut tinggi selenium membantu meningkatkan paras selenium dalam darah dalam kalangan individu dengan kekurangan selenium dalam pemakanan hariannya.
5. Mengandungi antioksidan Astaxanthin
Astaxanthin adalah sejenis kompound yang bermanfaat untuk kesihatan badan. Ia adalah sebahagian daripada karotenoid iaitu antioksidan yang memberi salmon warna merah.
Astaxanthin membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan mengurangkan pengoksidaan kolesterol LDL (‘jahat’) dan meningkatkan kolesterol HDL (‘baik’).
Selain itu, astaxanthin bekerjasama dengan omega-3 dalam salmon untuk melindungi otak dan sistem saraf daripada keradangan. Ia juga membantu meningkatkan kesihatan kulit dan memjadikan anda kelihatan lebih muda.
Kajian dilakukan ke atas individu yang mengalami kerosakkan kulit akibat cahaya matahari. Mereka diberi 2mg astaxanthin dan 3gram kolagen selama 12 minggu. Hasil menunjukkan peningkatan pada keanjalan dan kelembapan kulit. Oleh itu, astaxanthin daripada ikan salmon bukan sahaja baik untuk jantung malah untuk kesihatan kulit.
6. Vitamin B
Salmon merupakan salah satu sumber vitamin B. Vitamin ini diperlukan dalam penghasilan tenaga untuk melakukan aktiviti harian. Ia juga digunakan untuk membentuk dan membaiki DNA serta mengawal keradangan kronik.
Kajian telah membuktikan semua jenis vitamin B diperlukan untuk mengekalkan fungsi optimum otak dan sistem saraf. Kekurangan salah satu vitamin B ini akan mengganggu sistem badan untuk berfungsi dengan baik.
Konklusi:
Ikan salmon mengandungi nutrisi yang sihat dan diperlukan oleh tubuh badan manusia. Pengambilannya secara sihat akan memberi manfaat kesihatan dengan mengurangkan risiko pelbagai jenis penyakit. Cara masakan yang betul penting untuk mengekalkan manfaat kesihatanya.