Serius sangat ka gastrik ni? Gastrik nampak biasa. Tapi sebenarnya boleh dikatakan hampir 50% penduduk dunia ada masalah gastrik dengan 50.8% daripada populasi di negara membangun (China, India, dan Brazil) mengalami masalah gastrik berbanding 34.7% individu di negara maju (Norway, Ireland dan Switzerland). Hal ini berlaku disebabkan kurang kesedaran tentang kebersihan dan gaya pemakanan orang sekarang tidak sihat. Selain itu, kepadatan penduduk dalam kawasan setempat memudahkan bakteria untuk merebak dan berjangkit.
Gastrik adalah keradangan iaitu merah dan bengkak pada dinding perut. Ia boleh dibahagikan kepada gastrik akut dan kronik. Gastrik akut berlaku secara tiba-tiba dan teruk. Manakala gastrik kronik ialah adalah keradangan yang berlaku secara perlahan dan berterusan untuk tempoh masa yang lama.
Tempoh masa gastrik:
Gastrik akut : 2 – 10 hari
Gastrik kronik : berminggu – berbulan
Jus gastrik (asid gastrik) adalah cecair berasid yang akan memecahkan makanan kepada bentuk yang lebih kecil semasa proses penghadaman dalam perut. Mukus adalah lendir yang melapisi dan melindungi dinding perut daripada hakisan asid gastrik.
Gastrik boleh hilang sendiri. Tapi jika ia tidak hilang dalam tempoh seminggu, perlu rawatan lanjut.
Jenis gastrik:
1. Menghakis (erosive)
Keradangan dan hakisan dinding perut. Ia berlaku disebabkan merokok, ubat tahan sakit, bakteria, virus dan tekanan disebabkan kecederaan.
2. Tidak menghakis (non-erosive)
Keradangan pada dinding salur penghadaman tetapi tidak menghakis dinding.
Punca berlaku gastrik:
Permukaan perut dilapisi dengan lapisan mukosa (cecair) yang melindunginya daripada asid perut yang kuat. Sel pada permukaan perut ini akan menghasilkan asid yang penting untuk mencerna makanan yang dimakan menjadi nutrien dalam badan. Perut merupakan tahap pencernaan yang pertama sebelum melalui usus kecil dan besar.
Dinding perut boleh terhakis atau lemah dan menyebabkan keradangan yang dipanggil gastrik. Kesan yang berterusan akan menghasilkan ulser.
Bakteria Helicobacter pylori
Bakteria ini akan memasuki badan manusia melalui makanan yang tercemar. Ia akan memasuki lapisan mukosa pada dinding perut, seterusnya menghasilkan bahan kimia yang menghakis lapisan ini. Ia akan mewujudkan rasa sakit dan pedih.
Bakteria ini hidup di lendir pada dinding salur pencernaan yang melapisi perut dan usus kecil. Bakteria ini akan menghasilkan enzim urease yang menstabilkan asid dalam perut.
Untuk menstabilkan keadaan dalam perut, perut akan menghasilkan lebih banyak asid.
Bakteria ini akan merosakkan lapisan mukosa yang melapisi dinding perut. .
Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs)
NSAIDs adalah ubat tahan sakit biasanya untuk sakit sendi dan otot. Contohnya, aspirin, ibuprofen, naproxen. Ia diperlukan untuk menghalang pembentukan hormon prostaglandin yang menyebabkan sakit-sakit badan. Tetapi pengambilan yang berterusan dan berlebihan akan mengganggu lapisan perut. Ia akan mengurangkan bahan yang membantu melindungi lapisan perut daripada asid gastrik.
Peningkatan usia
Seiring dengan peningkatan usia, lapisan dinding perut akan semakin menipis. Ini memudahkan asid gastrik untuk menghakis dinding perut dan menyebabkan keradangan. Selain itu, sistem imuniti akan semakin berkurang. Bakteria Helicobacter Pylori mudah untuk memasuki sistem penghadaman manusia melalui makanan dan minuman. Ini seterusnya menjangkiti dan menghakis lapisan yang melindungi dinding perut.
Pengambilan Alkohol
Alkohol seperti arak boleh menghakis lapisan mukus pada dinding perut. Dengan ini, dinding perut yang nipis dan sensitif terdedah kepada asid gastrik yang tajam.
Merokok
Merokok akan melemahkan otot LES dan membenarkan asid gastrik untuk naik kembali ke esofagus. Otot LES adalah otot yang mengawal asid gastrik daripada memasuki semula saluran esofagus. Merokok ini juga akan merangsang garam hempedu dari usus untuk naik semula ke perut.
Tanda gastrik yang perlu diketahui :
Biasanya tiada simptom gastrik terutamanya dalam individu yang mengalaminya di peringkat awal. Ini antara simptom yang dialami untuk pesakit gatsrik.
- Perut kembung
- Loya tekak dan pening
- Hilang selera makan
- Najis hitam seperti tar
- Makanan tidak hadam
- Sakit perut seperti terbakar
- Hilang berat tanpa tahu sebab
- Sakit perut di bahagian atas
- Muntah darah
Macam mana pesakit gastrik nak puasa?
Apabila puasa atau tidak mengambil makanan, rembesan asid gastrik dari perut berkurang. Tapi, bau dan teringat akan makanan boleh merembeskan asid gastrik.
Tips untuk pesakit gastrik ketika berpuasa:
- Ketika berpuasa, lewatkan sahur dan segera berbuka apabila masuk waktu berbuka
- Elakkan makan makanan berlemak, bergoreng dan tinggi kandungan garam ketika sahur.
- Elakkan daripada mengambil minuman bergas atau air bikarbonat.
- Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap pada waktu malam (ketika berbuka – berbuka dengan makanan ringan seperti kurma dan air; selepas solat magrib, selepas terawih dan sahur)
- Elakkan minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat
- Banyakkan air kosong pada waktu malam
- Ambil ubat yang disarankan doktor ketika sahur
Terdapat kajian yang menyatakan kandungan asid perut tinggi pada waktu tengah hari. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor untuk berpuasa jika mengalami pedih ulu hati yang teruk.
Tips untuk mengatasi gastrik:
Gastrik tidak boleh dibiarkan. Ia perlu dicegah sebelum menjadi lebih teruk. Pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk mencegah masalah gastrik seperti penjagaan makanan dan gaya hidup sihat.
1. Makan dalam jumlah yang kecil dan teratur
Individu yang pernah diserang gastrik disaran untuk makan dalam jumlah yang sedikit, kerap dan teratur. Sebaiknya 3 kali makan utama dan 2 kali makan sampingan (makan ringan). Ini akan mengurangkan rembesan asid gastrik. Di samping itu, elakkan makan sejam sebelum waktu tidur. Ini boleh merembeskan asid gastrik untuk mencerna makanan dan menyebabkan ketidakselesaan.
2. Makan makanan sihat dan berkhasiat
Makanan berserat mampu mengawal asid dalam perut dan mengurangkan simptom-simptom gastrik. Serat penting untuk mempercepatkan penghadaman makanan dalam perut seterusnya mengelakkan makanan tinggal lama dalam sistem pencernaan. Serat ini juga mengurangkan masa makanan bergerak melalui sistem penghadaman. Dengan itu, ia membantu menghilangkan masalah kembung perut dan tidak selesa perut.
Terdapat kajian yang dilakukan untuk mengetahui kesan makan makanan berserat dan masalah sistem penghadaman. Kajian dilakukan keatas individu yang tidak mengambil serat dalam makanan harian. Hasil kajian menunjukkan pengambilan sekurang-kurangnya 20-30g sehari membantu melancarkan penghadaman dan mengelakkan masalah berkaitan sistem penghadaman.
Serat mudah larut diperlukan untuk melancarkan penghadaman dan mengelakkan najis mengeras. Manakala serat tidak larut membantu membentuk najis dan memudahkan ia melalui usus. Oleh itu, makanan berserat sesuai diamalkan untuk mengurangkan dan mencegah masalah gastrik dan penghadaman.
3. Makan makanan tinggi probiotik
Probiotik adalah bakteria baik dalam usus yang diperlukan untuk mengekalkan keseimbangan dalam badan. Apabila sakit, bakteria jahat akan memasuki dan meningkat dalam badan. Ini tidak akan menyeimbangkan keadaan dalam badan. Oleh itu, bakteria baik diperlukan untuk melawan dan menyingkirkan bakteria jahat seperti Helicobacter Pylori dalam perut.
Bakteria jahat ini boleh menyebabkan serangan gastrik. Manakala bakteria baik membantu menyokong sel dalam dinding sistem penghadaman untuk menghalang bakteria jahat daripada makanan, memasuki salur darah.
Contoh bakteria probiotik adalah Lactobacillus dan Bifidobacterium. Selain itu, bakteria ini juga diperlukan untuk menguatkan fungsi sistem imunisasi dan mengawal keradangan di samping melawaskan penghadaman.
Sebenarnya bakteria baik sudah ada dalam usus manusia. Tetapi, makan makanan sihat dan seimbang boleh bantu kekalkan tahap bakteria baik dalam usus. Ia juga boleh diambil daripada sumber makanan seperti tempeh, yogurt, ‘sourdough bread’ dan kimchi.
Probiotik mempercepatkan penyembuhan ulser perut. Banyak kajian dilakukan untuk mengenalpasti kesan probiotik dalam kalangan manusia. Kajian telah membuktikan supplement probiotik membantu menyingkirkan bakteria jahat daripada badan dan mempercepatkan penyembuhan ulser perut dalam pesakit gastrik.
Dalam kajian lain ada menyatakan mengambil makanan probiotik (yogurt) bersama ubat gastrik memberi kesan anti-bakteria yang kuat ke atas bakteria Helicobacter Pylori. Pertumbuhan bakteria Helicobacter Pylori akan direncatkan. Justeru itu, mengamalkan makanan probiotik sekurang-kurangnya setiap minggu membantu mengurangkan masalah gastrik dan penghadaman.
4. Elakkan makanan berproses dan berlemak
Makanan berproses biasanya tinggi dengan garam, gula, lemak tepu dan bahan kimia tambahan untuk menyedapkan rasa serta meningkatkan ketahanan makanan.
Contoh makanan berproses ialah kek, pastries, bijirin sarapan pagi, gula-gula, ais krim, mee dan sup segera, sosej, nugget dan minuman soda. Makanan-makanan ini rendah kandungan serat dan vitamin serta penyumbang kepada pelbagai komplikasi penyakit.
Makanan tinggi kandungan gula, garam dan lemak tepu menjadi penyumbang kepada masalah keradangan yang lebih kronik. Gastrik adalah keradangan. Oleh itu, apabila sering mengambil makanan berproses dan tinggi kandungan gula, garam dan lemak akan meningkatkan risiko gastrik bertambah teruk. Justeru itu, elakkan makanan ini untuk mengurangkan gastrik.
5. Elakkan minum susu ketika gastrik
Walaupun susu dikatakan boleh melegakan gastrik, tetapi ia hanya menyembuhkan gastrik untuk sementara sahaja. Malah, susu akan meningkatkan rembesan asid gastrik dan menjadikan gastrik lebih teruk.
6. Kurangkan makanan pedas
Makanan pedas tidak menyebabkan gastrik berlaku. Tetapi ia akan merangsang pengeluaran asid perut dan menjadikan gastrik sedia ada bertambah teruk.
7. Kawal berat badan
Berlebihan berat badan dan obesiti meningkatkan risiko mendapat gastrik. Ini kerana individu dengan berat berlebihan dan obesiti biasanya akan mengambil kalori berlebihan dan makanan berlemak. Ini boleh menyebabkan lemak dalam badan melambatkan pengosongan makanan daripada perut. Dengan itu, simptom seperti perut berangin, sakit, pening dan mual akan dirasai.
Apabila menurunkan berat badan dan mengawal pemakanan, ia akan melancarkan pergerakan makanan yang dihadam, seterusnya simptom-simptom gastrik berkurang.
8. Elak minuman berkafein
Minuman berkafein akan meningkatkan rembesan asid gastrik menjadikan gastrik lebih teruk. Walaubagaimanapun, minuman kopi tanpa kafein juga boleh menimbulkan iritasi. Kopi akan merangsang pengeluaran hormon gastrin iaitu hormon yang akan merangsang pengeluaran asid gastrik oleh perut dan membantu pergerakan perut untuk mencerna makanan. Apabila hormon ini berlebihan, asid yang dirembeskan juga berlebihan. Keadaan yang berterusan boleh menghakis dinding perut.
Selain itu, kopi juga akan melambatkan proses menghadam makanan dalam perut seterusnya pengosongan makanan dari perut ke usus kecil juga lambat.
9. Halia
Halia telah digunakan sejak berkurun lama dalam perubatan tradisional. Kajian menyatakan pengambilan halia membantu mengurangkan kekejangan usus, kembung perut dan mempercepatkan pengosongan perut. Halia juga dikatakan mampu menghalang pembiakan bakteria Helicobacter Pylori penyebab gastrik. Ini membantu mengelakkan simptom dan melindungi daripada serangan gastrik.
10. Kurangkan merokok dan minum minuman beralkohol
Merokok dan minum minuman beralkohol boleh memudaratkan kesihatan. Bukan sahaja pernafasan boleh terganggu disebabkan merokok, tetapi ia juga boleh menyebabkan keradangan pada perut iaitu gastrik.
Minuman beralkohol boleh menghakis lapisan mukus yang melindungi perut. Apabila perlindungan berkurang, sel dinding perut akan terdedah kepada asid perut yang bersifat menghakis. Maka, keradangan (gastrik) boleh terjadi. Oleh itu, kurangkan atau elakkan daripada merokok dan minum minuman beralkohol membantu melindungi diri daripada masalah gastrik.
11. Jaga kebersihan makanan
Makanan yang dimakan haruslah daripada sumber makanan yang bersih. Proses penyediaan makanan juga penting untuk mengelakkan bakteria mudah merebak daripada makanan kepada manusia. Ini kerana bakteria seperti Helicobacter Pylori mudah didapati pada makanan yang tercemar. Jadi, apabila makanan yang disediakan dalam keadaan bersih dan cukup masak, pertumbuhan bakteria direncatkan.
Kesan gastrik tidak dirawat:
Makanan pedas, stress dan susu akan menjadikan gastrik sedia ada bertambah teruk.
Ulser perut
Ulser perut berpunca daripada jangkitan bakteria Helicobacter Pylori. Bakteria ini boleh mendedahkan lapisan pertahanan dinding perut terhadap asid. Ini akan memberi ruang untuk asid menghakis sel dinding perut dan membentuk ulser. Ulser perut ialah sejenis luka terbuka yang terbentuk pada permukaan lapisan dalam perut.
Polips
Polips adalah pertumbuhan tisu tidak normal pada dinding perut. Ia biasanya terjadi disebabkan gastrik kronik. Polip perut bersaiz kurang daripada 2cm. Ia tidak berbahaya tetapi boleh berisiko menjadi kanser.
Anaemia
Gastrik yang berterusan akan menghakis dinding perut serta boleh melukakan dinding tersebut. Apabila pendarahan berterusan berlaku, akan terjadi kehilangan darah merah dan dipanggil anemia. Anemia adalah kehilangan sel darah merah yang sihat dengan banyak.
Konklusi:
Gastrik boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti jangkitan bakteria, gaya hidup tidak sihat dan pengambilan ubat tahan sakit secara berterusan. Justeru itu, amalkan gaya hidup sihat membantu mengurangkan masalah gastrik. Kebersihan makanan yang dimakan juga penting untuk mengelakkan jangkitan bakteria dalam badan. Cegah gastrik sebelum menjadi parah.