Kita dah pernah dengar ulser di dalam mulut, tahu tak di kaki pun boleh terjadinya ulser. Walaubagaimanapun, hanya individu yang menghidap diabetes sahaja berisiko untuk mendapat ulser kaki. Ulser kaki ini juga dikenali sebagai Ulser Kaki Diabetik (UKD) yang didefinisikan sebagai komplikasi di mana kawasan kulit pada kaki pecah dan tisunya terdedah. Jangkitan kuman dan kerosakan tisu juga boleh terjadi pada ulser tersebut.
Menurut Dr. Chua melalui perkongsiannya dalam Homage Web Series, gejala atau komplikasi ulser kaki ini sememangnya menjejas kehidupan pesakit diabetes. Beliau juga menyenaraikan neuropati, penyakit vaskular periferi dan imunopati sebagai punca yang mendorong kepada komplikasi ulser kaki diabetes.
Selain itu, ulser kaki yang dihidap oleh pesakit diabetes juga boleh bertambah teruk kerana gejala diabetes yang menyebabkan luka lambat sembuh dan mudah dijangkiti kuman. Bukan itu sahaja, luka-luka atau kudis kecil pada kaki yang lambat sembuh dan dijangkiti boleh menjadi ulser. Apabila ulser kaki tidak dirawat, tisu-tisu pada kaki akan mati dan pembedahan kaki perlu dilakukan.
FAKTOR TERJADINYA ULSER KAKI
Neuropati (Kerosakan Saraf)
Neuropati atau juga dikatakan sebagai kerosakan pada saraf yang memberi kesan dan menjejaskan kehidupan pada jangka masa panjang. Dr Chua mendeskripsikan neuropati dimana penghidap diabetes akan kehilangan sensasi atau deria rasa pada kaki. Malah luka kecil menjadi besar atau pun sebarang kesakitan tidak akan dirasai dan disedari oleh pesakit.
Bukan itu sahaja, kerosakan saraf ini juga membuatkan kulit kaki lebih kering daripada biasa dan lebih mudah untuk terluka dan tercedera.
Hiperglisemia (Paras Gula Dalam Darah Tinggi)
Kadar gula yang tinggi dalam darah menyebabkan proses penyembuhan luka menjadi perlahan. Dikatakan individu yang menghidap diabetes jenis 2 lebih cenderung untuk menghadapi gejala luka lambat sembuh. Selain lambat sembuh, luka tersebut akan bernanah, berbau busuk dan akhirnya menjadi ulser kaki.
Bila tahap gula dalam darah tinggi, sistem imun, oksigen dan nutrien tidak boleh berfungsi dengan baik dan keradangan pada luka atau ulser juga akan menjadi lebih teruk. Tahap gula tinggi yang membuatkan sistem imun menjadi lemah, sel imun yang tugasnya adalah untuk sembuhkan luka akan berkurang dan tidak cergas. Luka tersebut juga akan mudah dijangkiti kuman kerana sistem imun yang lemah.
Peredaran Darah Yang Tidak Efisien
Kitaran peredaran darah yang lemah boleh membuatkan darah yang mengangkut sel ke bahagian luka untuk proses bina kembali urat dan struktur tisu tidak sampai dengan segera. Jadi, proses penyembuhan luka akan tertangguh dan luka akan lebih cepat dijangkiti kuman.
Secara ringkasnya, apabila darah tidak mengalir dengan baik untuk penyembuhan luka, luka akan lambat sembuh dan tidak dilindungi seterusnya menjadi ulser kaki yang keluar cecair nanah.
Penjagaan Mudah Untuk Mengelakkan Ulser Kaki
#1 Membasuh kaki
Pesakit diabetes atau sesiapa sahaja yang mempunyai luka di kaki disarankan untuk membasuh kaki dengan air suam sahaja. Penggunaan air panas perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan kepedihan pada luka tersebut.
Bukan itu sahaja, perlu berhati-hati apabila mencuci kaki sebagai contoh tidak menggunakan berus yang kasar untuk menggosok kaki. Sebaiknya gunakan span yang lembut.
#2 Menggunakan losyen atau krim pelembap
Untuk mengelakkan kulit atau luka merekah dan kering, penggunaan losyen atau krim pelembap kulit setiap hari sangat digalakkan. Jangan lupa untuk sapu semula selepas beberapa jam atau bila losyen dah kering.
#3 Memakai stokin yang bersih
Dengan memakai stokin, sebarang jangkitan pada luka boleh dielakkan. Pastikan stoking bersih dan kering sebelum memakainya. Untuk pesakit diabetes pula, ada stokin yang dibuat khas untuk mereka dimana ia memiliki kusyen yang tebal dan cerutan yang tidak kuat.
#4 Sentiasa pakai kasut
Penggunaan selipar ‘indoor’ di dalam rumah sangat digalakkan dan elakkan berkaki ayam terutamanya apabila keluar dari rumah. Kenapa? Dengan memakai kasut, kita boleh mengurangkan risiko jangkitan kuman pada luka dan juga kecederaan.
Kesimpulan
Apa yang dapat dirumuskan daripada penulisan ini ialah pengawalan kadar gula dalam darah memainkan peranan yang sangat signifikan. Hal ini kerana, kadar gula yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan kepada organ dan sel badan.
Penjagaan kaki juga perlulah dititikberatkan terutamanya bagi individu yang mempunyai luka di kaki dan menghidap diabetes. Penjagaan kaki yang rapi boleh mengurangkan risiko untuk kaki kita dibedah dan juga mengurangkan jangkitan kuman pada luka tersebut.