Awas! Asid Urik Tinggi… Kenali Tips Terbaik Kawal Paras Asid Urik

Asid urik adalah hasil terakhir daripada penghuraian tisu badan dan makanan. Ia akan dikeluarkan daripada darah melalui ginjal (buah pinggang) ke saluran kencing dan daripada badan melalui air kencing. 

Asid urik ialah sisa perkumuhan yang berpunca daripada pengambilan makanan tinggi purin iaitu sejenis bahan terkandung dalam daging merah, kekerang dan alkohol.

Apabila terdapat komplikasi pada ginjal, asid urik akan sukar untuk dikeluarkan dan terjadinya pengumpulan pada sendi-sendi badan yang dipanggil kristal. Keadaan ini dinamakan sebagai gout.  

Gout juga dikenali sebagai ‘penyakit orang kaya’. Ini disebabkan masalah ini sering terjadi akibat lebihan pengambilan makanan dan alkohol yang hanya mampu dinikmati oleh orang berada. 

Gout boleh terjadi dalam pelbagai peringkat umur. Lelaki lebih berisiko mendapat penyakit ini kerana mereka tiada hormon estrogen iaitu hormon wanita yang membantu asid urik untuk dikumuhkan secara semulajadi melalui air kencing. 

Walaubagaimanapun, apabila wanita menopause, risiko mendapat gout juga tinggi. Ini kerana hormon estrogen ini sudah tidak dikeluarkan. Oleh itu, lebihan asid urik berkumpul dan membentuk kristal.

Tips kawal asid urik:

1. Kurangkan makanan tinggi purine

Purine adalah komponen yang akan diurai menjadi asid urik. Ia adalah kompound semulajadi yang terdapat dalam makanan. Proses menguraikan makanan purine akan menghasilkan asid urik yang tinggi. Asid urik berlebihan akan membentuk kristal yang menyebabkan merah-merah, bengkak dan rasa sakit. Makanan ini tidak harus dielakkan terus tetapi hanya perlu dihadkan pengambilannya saja. 

Contoh makanan tinggi purine adalah:

  • Tuna, sardin, ikan bilis
  • Makanan laut
  • Makanan tinggi lemak seperti produk tenusu, daging merah, 
  • Organ dalaman
  • Makanan dan minuman manis

2. Mengekalkan dehidrasi

Badan manusia diliputi oleh 60% air. Air diperlukan untuk menyingkirkan toksin dan membawa nutrien ke seluruh badan. 

Kekurangan air akan menyebabkan toksin-toksin tidak dapat disingkirkan dengan baik. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengumpulan di dalam badan yang membentuk kristal dan mengganggu fungsi sistem badan. Pembentukkan kristal ini dipanggil gout.

Gout terjadi disebabkan asid urik berlebihan akan berkumpul pada sendi-sendi. Badan yang terhidrat atau cukup air akan membantu ginjal berfungsi dengan baik dan memudahkan penyingkiran asid urik melalui air kencing. Oleh itu, pastikan diri mendapat bekalan air yang mencukupi.

3. Elak membeli ubat di kaunter

Ubat seperti aspirin dan diuretik digunakan untuk menyingkirkan air daripada badan. Tetapi, jika ia digunakan untuk menyingkirkan asid urik, keadaan boleh menjadi bertambah teruk. 

Kajian mendapati pengambilan aspirin 1 – 2g/sehari boleh mengurangkan penyingkiran asid urik seterusnya menyebabkan hiperurisemia. Air yang tidak mencukupi mengakibatkan asid urik tidak dapat dikeluarkan daripada badan. Ini seterusnya menyebabkan pengumpulan asid urik dalam badan pada sendi-sendi. Justeru itu, pengambilan ubat-ubatan haruslah mendapat nasihat daripada pegawai perubatan yang bertauliah. Elakkan membeli ubat di kedai atau farmasi tanpa nasihat doktor.

4. Mengekalkan berat badan

Sel lemak akan menghasilkan lebih banyak asid urik dalam badan berbanding otot. Oleh itu, individu dengan lemak yang banyak berisiko mendapat gout. Gout boleh menyerang tidak kira orang gemuk, malah juga orang kurus. Ini kerana orang kurus juga berpotensi mempunyai lemak-lemak terkumpul dalam badan. 

Lemak terbahagi kepada dua iaitu lemak dibawah kulit (subcutaneous fat) dan lemak meliputi organ (visceral fat). Lemak dibawah kulit boleh dilihat dan tidak berisiko mendatangkan penyakit. 

Lemak visceral tidak boleh dilihat tetapi boleh menimbulkan pelbagai penyakit. Berat badan berlebihan akan menyukarkan ginjal untuk menapis asid urik keluar melalui air kencing. Tetapi, penurunan berat badan dengan mendadak juga boleh membahaya kesihatan. Oleh itu, berat badan disarankan untuk dikekalkan di paras normal untuk mengurangkan risiko gout.

5. Makanan berserat

Serat membantu menyingkirkan lebih banyak asid urik daripada badan. Di samping membantu menstabilkan paras gula dan insulin dalam darah, ia juga membantu memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama seterusnya mengelakkan daripada terlebih makan. Dengan ini, berat badan dapat dikekalkan di paras normal.

Individu dengan masalah asid urik tinggi disarankan untuk mengambil 5 – 10 gram serat mudah larut sehari bersama makanan semulajadi. Ini adalah untuk mengawal paras asid urik dalam darah. Sebagai contoh:

  • buah-buahan segar atau sejuk beku
  • sayur segar atau sejuk beku
  • oat
  • kekacang
  • barley.

Sayur-sayuran mengandungi flavonoid iaitu sejenis antioksidan. Kajian mendapati flavonoid membantu menurunkan paras asid urik dalam darah.

Konklusi:

Asid urik berlebihan akan menyebabkan pembentukkan kristal pada sendi-sendi badan. Keadaan ini akan memberi rasa sakit, merah dan bengkak pada kawasan terlibat. Oleh itu, beberapa tips berkesan ini wajar diamalkan untuk mengurangkan terjadinya serangan gout secara berulang-ulang.

Rujukan:

  1. Zhang, Y., Neogi, T., Chen, C., Chaisson, C., Hunter, D. J., & Choi, H. (2014). Low-dose aspirin use and recurrent gout attacks. Annals of the rheumatic diseases, 73(2), 385–390. https://doi.org/10.1136/annrheumdis-2012-202589
  2. How to lower uric acid levels naturally
  3. Natural Ways to Reduce Uric Acid in the Body
  4. PANDUAN KURANGKAN GOUT

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here