Apa Sebenarnya Penyakit Alzheimer & Demensia?

Ramai masyarakat di Malaysia masih belum mendapat kesedaran mengenai penyakit Alzheimer dan Demensia. Tidak ramai juga yang sanggup menjaga ahli keluarga yang mengalami penyakit Demensia atau penyakit Alzheimer. Ada juga yang menganggap kedua-dua penyakit ini adalah penyakit yang sama. Jawapannya, kedua-dua penyakit ini adalah penyakit yang berbeza walaupun dikenali sebagai penyakit nyanyuk secara meluas di negara ini.

Image Source: istockphoto.com

Penyakit Alzheimer dan Demensia ini mempengaruhi kehidupan individu yang sudah lewat usia seperti warga emas di serata dunia. Warga emas di negara Malaysia juga tidak terkecuali, berdasarkan Laporan Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia, dianggarkan lebih 261,000 penghidap Demensia yang dilaporkan pada tahun lalu.

Di dalam penulisan ini, akan dikongsikan dengan teliti mengenai penyakit Alzheimer dan penyakit Demensia untuk menyebarkan kesedaran mengenai kedua-dua penyakit ini. Penyakit Alzheimer dan Demensia ini akan diterangkan dengan lebih mendalam dari segi: 

  • Definisi
  • Faktor risiko
  • Golongan berisiko
  • Komplikasi
  • Rawatan dan perubatan
  • Tips mencegah

Alzheimer

Image Source: istockphoto.com

Penyakit Alzheimer dinyatakan sebagai satu penyakit progresif yang menyebabkan seseorang individu lupa ingatan dan kemerosotan fungsi mental yang lain. Individu yang menghidap Alzheimer akan mula mengalami kekeliruan dan kesukaran untuk mengingati sesuatu. Sekiranya gejala berlarutan, individu tersebut akan mula lupa akan orang-orang terdekatnya. 

Bukan itu sahaja, malah individu yang menghidap Alzheimer juga akan mengalami perubahan personaliti yang drastik. Hal ini terjadi akibat sel-sel otak merosot dan mati.

Alzheimer dan Demensia bukan penyakit yang sama. Penyakit Alzheimer adalah salah satu jenis penyakit Demensia di mana ia menjejaskan keupayaan seseorang individu untuk berfikir, tingkah laku dan memori mereka. Penyakit ini juga menjadi punca kepada penyakit Demensia. Dianggarkan sebanyak 60-80% kes penyakit Demensia berpunca daripada Alzheimer.

Image Source: istockphoto.com

Masyarakat di Malaysia mengenali penyakit ini sebagai penyakit nyanyuk dan menganggapnya sebagai perkara biasa terjadi kepada individu yang meningkat usia. Perspektif ini perlu diubah dan kesedaran terhadap penyakit ini perlu diubah. Alzheimer adalah satu tanda penuaan yang TIDAK normal dan bertambah teruk seiring dengan usia.

Antara simptom awal penyakit ini adalah:

  • Kealpaan/pelupa
  • Hilang tumpuan
  • Masalah pertuturan
  • Kekeliruan tentang tempat dan masa
  • Koordinasi badan dan pergerakan terjejas
  • Perubahan mood dan tingkah laku
  • Kemurungan

Bagaimana Alzheimer Menjejaskan Otak

Image Source: istockphoto.com

Terdapat berbilion sel saraf (neuron) di dalam otak seseorang individu. Setiap sel saraf ini bersambung dengan satu sama lain untuk membentuk jaringan komunikasi. 

Sel saraf di dalam otak terbahagi pula kepada beberapa kumpulan yang mempunyai tanggungjawabnya tersendiri seperti kumpulan sel saraf yang terlibat dalam proses berfikir, belajar dan ingatan. Selain itu, ada suatu kumpulan sel saraf lain yang terlibat dalam penglihatan, pendengaran, sentuhan dan pergerakan otot.

Sel saraf di dalam otak manusia bekerja seperti kilang-kilang kecil yang menerima bekalan, menghasilkan tenaga, dan membuang sisa. Sel-sel saraf ini juga memproses, menyimpan maklumat dan berkomunikasi antara satu sama lain.

Image Source: istockphoto.com

Saintis mempercayai bahawa penyakit Alzheimer ini menghalang sebahagian kilang sel saraf otak bekerja dengan lancar. Kerosakan atau gangguan ini akan menyebabkan sel saraf merosot dan akhirnya, mati.

Walaubagaimanapun, perubahan pada bahagian otak penghidap Alzheimer masih lagi di dalam penyiasatan oleh para saintis. Hal ini kerana, seseorang individu yang menghidap penyakit nyanyuk ini, tidak mempunyai sebarang gejala yang ketara selain daripada hilang ingatan dalam jangka pendek. Tetapi, perubahan dan kerosakan pada sekitar kawasan otak telah pun terjadi. Akhirnya, tisu otak penghidap Alzheimer mengecut dan menjadi lebih kecil berbanding saiz asalnya.

Faktor Risiko

Image Source: istockphoto.com

Punca terjadinya penyakit Alzheimer ini masih disiasat oleh para saintis di serata dunia. Walaubagaimanpun, terdapat beberapa faktor risiko yang dikenalpasti yang meningkatkan risiko seseorang individu untuk menghidap Alzheimer.

Faktor Usia

Penyakit Alzheimer ini berkait rapat dengan proses penuaan yang berlaku seiring dengan peningkatan usia seseorang individu. Kebanyakan individu yang menghidap penyakit ini berusia 65 tahun dan ke atas.

Faktor Sejarah Keluarga

Terdapat kajian yang dibuat ke atas Alzheimer dan sejarah keluarga. Seseorang individu berisiko tinggi untuk menghidap Alzheimer sekiranya mempunyai ahli keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik yang menghidap penyakit tersebut. 

Risiko juga akan meningkat sekiranya mempunyai lebih daripada seorang ahli keluarga yang menghidap Alzheimer.

Faktor Pembawaan Genetik

Faktor pembawaan genetik merujuk kepada konsep yang hampir sama dengan faktor sejarah keluarga. Faktor genetik ini kebiasaannya membawa penyakit di dalam genetik dari satu generasi ke generasi berikutnya dalam suatu keluarga.

Manakala faktor sejarah keluarga lebih berkait kepada gaya hidup suatu keluarga tersebut.

Komplikasi Penyakit Alzheimer

Image Source: istockphoto.com

Mengalami kegelisahan yang kronik

Individu yang didiagnos dengan Alzheimer sering mengalami rasa gelisah yang melampau akibat daripada kekeliruan dengan keadaan orang sekeliling dan persekitaran. Hal ini biasanya terjadi disebabkan, penghidap tidak dapat mengecam atau mengingati orang sekeliling dan menganggap mereka sebagai orang asing.

Gangguan pada pundi kencing dan usus

Antara komplikasi yang dialami oleh penghidap Alzheimer adalah gangguan pada pundi kencing dan usus mereka. Hal ini berkait rapat dengan proses pembuangan air kecil dan air besar. Mereka mungkin akan terlupa atau tidak merasai sensasi atau keinginan untuk membuang air kecil dan air besar.

Jadi, sangat penting untuk ahli keluarga untuk memainkan peranan dalam mengingati dan membantu ahli keluarga yang menghidap penyakit Alzheimer ini untuk ke tandas.

Kemurungan

Pesakit Alzheimer juga mengalami masalah mental seperti kemurungan. Simptom kemurungan yang biasa dialami oleh pesakit Alzheimer termasuklah:

  • Sukar untuk memberi tumpuan
  • Perubahan emosi
  • Mengalami kesukaran untuk tidur
  • Mula menjauhi ahli keluarga dan rakan terdekat 

Bukan itu sahaja, malah keadaan ini membuatkan ahli keluarga pesakit sukar untuk berkomunikasi dengan pesakit.

Keseimbangan dan koordinasi badan terjejas

Risiko untuk pesakit Alzheimer tergelincir atau terjatuh ketika berdiri dan berjalan adalah tinggi. Hal ini terjadi akibat daripada penyakit ini menjejaskan bahagian otak yang bertanggungjawab untuk menjaga keseimbangan dan koordinasi badan. 

Oleh itu, sangat digalakkan untuk penghidap Alzheimer menggunakan alat bantuan berjalan yang sesuai. Boleh juga membuat perubahan di dalam rumah untuk mengelakkan mereka daripada tercedera akibat terjatuh atau terlanggar perabot dan sebagainya.

Sering merayau

Sering merayau-rayau adalah antara komplikasi atau gejala yang biasa terjadi kepada warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer. Komplikasi susah tidur dan kegelisahan yang kronik boleh mendorong penghidap Alzheimer untuk merayau keluar daripada rumah. Kebanyakan kes yang terjadi pada pesakit Alzheimer di Malaysia adalah, pesakit akan keluar merayau jauh dari rumah dan terlupa jalan pulang.

Rawatan & Penjagaan

Image Source: istockphoto.com

Penyakit nyanyuk atau Alzheimer ini masih lagi tidak mempunyai sebarang penawar, jadi pesakit-pesakit Alzheimer akan menghidap penyakit ini sehingga akhir hayat mereka.

Selain itu, tidak dinafikan tekanan yang teruk dirasakan dari segi mental dan fizikal oleh ahli keluarga yang menjaga pesakit Alzheimer di rumah. Tekanan ini boleh datang daripada masalah kewangan, masalah bekerja dan melayan kerenah ahli keluarga yang menghidap Alzheimer.

Terdapat bantuan dan program yang ditubuhkan untuk membantu khususnya penjaga pesakit Alzheimer. Melalui bantuan dan program ini, penjaga pesakit Alzheimer dapat mengurangkan beban dan tekanan mereka. Bukan itu sahaja, malah terdapat kumpulan sokongan atas talian yang disediakan untuk individu-individu yang menjaga pesakit Alzheimer.

Antara tips penjagaan yang boleh diamalkan oleh penjaga ahli keluarga yang menghidap Alzheimer adalah seperti:

  • Memastikan suasana di rumah sentiasa selamat dan kondusif
  • Mengingati pesakit Alzheimer untuk makan dan minum dengan cukup serta mengingati mereka untuk membuang air kecil dan besar.
  • Menyediakan alat bantuan berjalan untuk pesakit.
  • Membantu merancang rutin harian.
  • Menyediakan pilihan seperti pakaian, makanan, dan minuman untuk dipilih.
  • Bersembang dan berkomunikasi dengan jelas seperti memberi arahan yang mudah untuk pesakit.
  • Sentiasa mengambil langkah keselamatan dan berjaga-jaga seperti menyimpan alatan tajam, bahan pembersihan toksin, pemetik api, mancis dan lain-lain barangan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pesakit.

Jadi, apa yang membezakan penyakit Alzheimer dengan Demensia?

Demensia

Image Source: istockphoto.com

Masih ramai yang menganggap Demensia sebagai sejenis penyakit. Demensia sebenarnya gabungan beberapa jenis penyakit yang berbeza dan Alzheimer adalah sebahagian daripada jenis penyakit Demensia.

Demensia adalah satu terma yang yang digunakan untuk mewakili penyakit-penyakit yang berkaitan dengan kehilangan memori dan masalah pemikiran seseorang individu secara menyeluruh.

Terdapat beberapa cabang penyakit lain di bawah naungan Demensia seperti:

  • Lewy body demensia
  • Vascular demensia
  • Frontotemporal demensia
  • Parkinson
  • Huntington
  • Alzheimer

Jadi, Alzheimer dan Demensia bukan 2 penyakit yang sama tetapi Alzheimer adalah SEBAHAGIAN daripada Demensia. Kekerapan Demensia berlaku di antara 2% hingga 20% yang berganda setiap 5 tahun peningkatan usia terutamanya untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Golongan berisiko tinggi mendapat demensia

  • Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson
  • Individu terencat akal atau mempunyai tahap pembelajaran yang rendah.      
  • Sesetengah jenis penyakit demensia lebih tinggi di kalangan wanita.
  • Pesakit kencing manis, jantung, lemak dalam darah yang tinggi, dan tekanan darah tinggi.

Komplikasi Demensia

  • Peningkatan kadar kematian
  • Risiko penderaan meningkat ke atas pesakit
  • Risiko penyakit fizikal dan mental meningkat
  • Tekanan kepada ahli keluarga terdekat

Tips Pencegahan Dementia

Saintis masih belum pasti sekiranya terdapat cara-cara untuk mencegah penyakit Demensia kerana punca bagaimana ia terjadi kepada otak seseorang individu belum dikenal pasti. Walaubagaimanapun, terdapat bukti kajian yang menunjukan bahawa gaya hidup yang sihat, bahagia dan seimbang boleh mengurangkan risiko Demensia di usia tua.

Aspek yang menjadikan gaya hidup seseorang individu sihat dan seimbang adalah termasuk:

  • Menjaga pemakanan seimbang
  • Tidak merokok atau berhenti merokok
  • Menjaga dan mengawal berat badan yang sihat
  • Menjaga tekanan darah
  • Mempunyai gaya hidup yang aktif
  • Kerap melakukan aktiviti fizikal dan bersenam

Kesimpulan

Kesihatan mental sepatutnya dititikberatkan sama seperti kesihatan fizikal kita. Pemakanan dan gaya hidup yang aktif, sihat, seimbang dan bahagia memainkan peranan dalam menjaga kekuatan serta kesihatan mental kita sejajar dengan peningkatan usia. Bukan itu sahaja, masyarakat di Malaysia dan juga serata dunia perlu diberi lebih banyak kesedaran kepada penyakit Alzheimer dan Demensia. Hal ini kerana, penyakit ini bukanlah sekadar nyanyuk seperti tanggapan yang sering dilemparkan oleh masyarakat di negara ini.

Kesedaran tentang penyakit ini juga boleh membantu sedikit sebanyak individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap Alzheimer atau Demensia daripada aspek penjagaan.

Rujukan

  1. What is Alzheimer’s?
  2. Basics of Alzheimer’s Disease
  3. Alzheimer bukan penuaan normal
  4. Alzheimer’s Disease Complications: Physical and Mental
  5. Penyakit Alzheimer Dan Demensia, Yang Mana Satu Digelar Nyanyuk? Kenali Perbezaannya!
  6. Penghidap demensia, alzheimer perlu sokongan keluarga
  7. Demensia – penyakit tiada ubat – Utusan Digital
Erdiana
Erdiana
Erdania Putri, co-writer Fitpedia. Graduan Diploma Information Management dari UiTM. Minat dalam bidang penulisan, data, teknologi maklumat dan sistem. Info-info yang ditulis diambil dari sumber-sumber yang dipercayai dan dijamin authoritinya.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here