Ambil Tahu! 8 Tips Untuk Ibu Hamil Hadapi Kencing Manis

Diabetes di Malaysia bukan asing lagi. Malah ia penyakit kronik yang dihidapi 1 daripada 5 rakyat Malaysia dewasa iaitu lebih kurang 3.9 juta individu.

“Gestational Diabetes Mellitus” (GDM) juga dikenali sebagai kencing manis ketika mengandung. Keadaan yang serius melanda ibu mengandung yang tidak pernah disahkan dengan kencing manis sebelum ini. Di Malaysia, 23.2% wanita mengandung menghidap diabetes (GDM) dengan 952,514.0 bersalin hidup.

Diabetes ini terjadi apabila badan tidak dapat menghasilkan hormon insulin yang cukup untuk mengawal gula dalam darah. Biasanya, kencing manis ini akan hilang selepas kelahiran bayi.

Faktor terjadi kencing manis (GDM):

Wanita hamil mempunyai uri (placenta) yang menyokong tumbesaran bayi. Dalam wanita mengandung, uri (placenta) akan menghasilkan hormon penyekat insulin.

Hormon daripada uri menghalang aktiviti hormon insulin ibu yang dikenali sebagai rintangan insulin. Ia menyukarkan ibu untuk menggunakan insulin dalam badan dengan baik untuk menghasilkan tenaga. Ibu mengandung memerlukan insulin yang lebih untuk berfungsi dengan baik. Gula yang dicerna akan berkumpul lama dalam saluran darah selepas makan apabila insulin tidak mencukupi untuk membawanya ke dalam sel badan.  

GDM juga terjadi apabila badan ibu tidak boleh menghasilkan dan menggunakan insulin sepanjang proses mengandung. Insulin dihasilkan oleh organ pankreas. Ia bertanggungjawab mengawal glukosa dalam darah dengan membawa gula ke dalam sel badan untuk ditukar menjadi tenaga. Jika insulin tidak mencukupi atau tidak efektif, gula tidak dapat dibawa daripada saluran darah ke dalam sel. Akibatnya, gula akan berkumpul dalam saluran darah dan dikenali sebagai hiperglisemia.

Risiko dapat kencing manis (GDM):

Bayi yang dilahirkan sebelum ini melebihi 4kg. Image via iStock
  • Indeks jisim badan melebihi 30kg/m2
  • Berat bayi sebelum ini 4kg atau lebih ketika lahir
  • Pernah didiagnos kencing manis ketika mengandung (gestational diabetes) pada kehamilan sebelum ini
  • Sejarah keluarga (ibu bapa atau adik-beradik) dengan kencing manis
  • Mempunyai masalah ketika mengandung (tekanan darah tinggi, polycystic ovarian syndrome (PCOS))

Simptom kencing manis ketika mengandung (GDM):

Dahaga terlampau simptom untuk GDM. Image via iStock.

Kencing manis ketika mengandung jarang menunjukkan simptom. Ia dikesan setelah melakukan ujian untuk kencing manis ketika mengandung OGTT. 

Sesetengah wanita mengandung akan mengalami simptom apabila paras gula dalam darah terlalu tinggi (hiperglisemia). Antara simptom yang ditunjukkan adalah :

  • Dahaga terlampau
  • Kencing kerap 
  • Mulut kering
  • Letih 
  • Penambahan berat badan

Ujian saringan ibu mengandung:

Ibu mengandung perlu melakukan ujian kencing manis. Image via iStock.

Ibu mengandung perlu melakukan ujian kencing manis jika:

  • Berisiko mendapat kencing manis ketika mengandung ( dilakukan seawal kehamilan)
  • Wanita berumur 25 tahun keatas yang tidak berisiko (ujian dilakukan pada minggu 24-28 kehamilan)

Pada minggu ke 8 – 12, ibu akan disoal beberapa soalan untuk mengetahui risiko mendapat kencing manis ketika mengandung. Jika ibu berisiko tinggi (lebih daripada 1 risiko), mereka perlu melakukan ujian air gula yang dikenali sebagai Modified Oral Glucose Tolerance Test (MOGTT). 

Ujian ini perlu diambil darah pada waktu pagi sebelum mengambil sebarang makanan untuk mendapatkan bacaan gula ketika berpuasa. Ibu perlu berpuasa semalaman daripada pukul 10 malam sebelumnya. Kemudian, sampel darah akan diambil pada waktu pagi diikuti dengan meminum air larutan gula (75g gula larut dalam 250ml air). 

Setelah 2 jam, bacaan paras gula akan diambil. Ujian ulangan kedua pada minggu 24 – 28 perlu dijalankan untuk golongan yang berisiko tinggi jika pada ujian pertama negatif.

IndikasiParas gula dalam darahVenous plasma glucose
Ketika berpuasa (fasting blood glucose)>5.0 mmol/LGestational diabetes (GDM)
2 jam selepas makan>7.7 mmol/LGestational diabetes (GDM)

Komplikasi akibat kencing manis ketika mengandung (GDM):

GDM akan mengakibatkan komplikasi pada bayi.

Ibu mengandung dengan masalah kencing manis boleh menjalani kehamilan yang normal dengan kelahiran bayi sihat. Namun, bagi sesetengah individu, kencing manis ketika mengandung akan menyebabkan:

  • Kelahiran bayi besar dari biasa – yang menjurus kepada kesukaran ketika proses kelahiran dan meningkatkan risiko untuk keperluan merangsang kelahiran atau bersalin secara pembedahan (Caesarean section)
  • Polihidramnios (terlalu banyak air ketuban dalam rahim) yang boleh merangsang kelahiran pra-matang atau masalah ketika kelahiran
  • Kelahiran bayi pra-matang (sebelum minggu 37)
  • Pre-eclampsia (tekanan darah tinggi semasa mengandung yang boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dirawat)
  • Bayi mempunyai paras gula rendah atau masalah kuning pada kulit dan mata
  • Kematian bayi sejurus kelahiran

Ibu mengandung yang mendapat kencing manis berisiko untuk mendapat diabetes jenis 2 pada masa akan datang.

Bagaimana nak elak GDM ?

1. Turunkan berat badan secara sihat

Kekalkan berat badan sihat sebelum mengandung mencegah GDM. Image via iStock.

Wanita yang berisiko dengan berat badan berlebihan disarankan untuk menurunkan berat badan sebelum mengandung. Selain untuk mengelakkan daripada mendapat kencing manis ketika mengandung, perkara ini juga penting untuk mengelakkan sindrom polisistik ovari yang boleh menyebabkan kencing manis ketika mengandung. 

2. Kekal gaya hidup aktif

Image via iStock

Sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan 30 minit untuk setiap sesi penting untuk kekal sihat dan mengurangkan risiko mendapat kencing manis ketika mengandung. Aktiviti fizikal disaran untuk dilakukan sebelum mengandung dengan kadar kekuatan sederhana. Ketika mengandung, disarankan untuk melakukan aktiviti ringan seperti yoga, squat, berjalan kaki, duduk atas bola dan posisi kupu-kupu. Ini membantu membentuk postur badan yang baik, mengawal berat badan serta mengurangkan risiko mendapat kencing manis (GDM) dan tekanan darah tinggi ketika mengandung.

Tips untuk kencing manis (GDM):

1. Banyakkan pengambilan sayur dan buah

Image via iStock

Sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai vitamin, mineral serta serat yang baik untuk badan. Serat daripada kedua-duanya membantu melambatkan penyerapan gula daripada usus ke dalam darah. Dengan itu, gula tidak akan berkumpul lama dalam saluran darah sebelum diserap masuk ke dalam sel badan melalui bantuan hormon insulin. 

Selain itu, jumlah darah dalam badan wanita mengandung meningkat. Oleh itu, mereka memerlukan zat besi dan vitamin yang mencukupi untuk menghasilkan sel darah merah. Sayur berdaun hijau dan buah-buahan kering antara sumber zat besi yang bagus. 

Vitamin C turut diperlukan oleh ibu mengandung untuk membantu penyerapan zat besi yang baik. Antara sumber vitamin C adalah buah oren, lemon, jambu batu dan brokoli.

Justeru itu, amalkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan bukan sahaja untuk mengawal paras gula dalam darah, malah ia juga baik untuk ibu mengandung mengekalkan nutrisi yang cukup sepanjang proses mengandung.

2. Ambil makanan berprotein

Sumber protein memberi rasa kenyang dengan cepat dan mengawal paras gula dalam darah.

Makanan berprotein adalah makanan berasaskan ikan, ayam, daging, telur dan tempe. Ia tidak meningkatkan paras gula dalam darah. Tetapi, kuantiti makanan perlu dikawal untuk mencegah peningkatan berat badan yang berlebihan. Makanan berprotein turut memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama. Malah, ia membantu mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah. 

3. Banyakkan pengambilan makanan berasaskan bijirin penuh

Makanan bijirin penuh bantu mengawal paras gula dalam darah.

Makanan bersumberkan bijirin penuh seperti nasi beras perang, roti “wholemeal”, pasta “wholemeal”, oat dan barli melambatkan pencernaan makanan dan penyerapan gula ke dalam darah. Dengan ini, ia mengawal paras gula dalam darah dan mencegah pengumpulan gula dalam darah yang mengakibatkan hiperglisemia.

4. Kurangkan makanan & minuman bergula

Minuman manis perlu dikurangkan untuk mengawal GDM.

Makanan atau minuman bergula akan menyerap ke dalam salur darah dengan cepat dan meningkatkan paras gula dalam darah. Insulin yang tidak dapat berfungsi dengan baik menyebabkan pengumpulan gula dalam darah (hiperglisemia). Dengan mengurangkan pengambilan makanan atau minuman berasaskan gula, ia mengurangkan risiko pengumpulan gula dalam darah. Paras gula akan lebih terkawal dan mencegah kencing manis ketika mengandung.

5. Kekal berat badan sihat

Image via iStock

Berat badan sihat sebelum mengandung meningkatkan tindak balas insulin dengan glukosa (gula). Indeks jisim badan perlu dipastikan berada di paras normal (18.0 – 24.9 kg/m2). Peningkatan berat badan yang berlebihan pada trimester pertama boleh meningkatkan risiko kencing manis ketika mengandung sebanyak 50%. Oleh itu, mengawal berat badan sebelum mengandung boleh mencegah risiko mendapat kencing manis ketika mengandung. Mengawal kuantiti makanan dan kekal aktif membantu mengekalkan berat badan yang sihat. 

6. Kekal gaya hidup aktif & sihat

Image via iStock

Wanita yang berusaha untuk mengandung disarankan untuk kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal dengan kadar sederhana sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi dengan kadar sederhana lebih baik untuk menjaga kesihatan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah berbasikal, jogging, berjalan pantas, bermain badminton, berenang, dan yoga. Kekal aktif juga meningkatkan tindak balas insulin dengan glukosa. 

Wanita mengandung juga boleh bersenam dengan kadar kekuatan ringan seperti yoga, squat, berjalan kaki, duduk atas bola dan posisi kupu-kupu. Ini adalah untuk membentuk postur badan, mengawal berat badan serta mencegah daripada mendapat kencing manis (GDM) dan tekanan darah tinggi ketika mengandung.

Kesan jangka panjang :

Kencing manis ketika mengandung biasanya akan hilang selepas wanita bersalin. Namun, mereka berisiko untuk mendapat kencing manis ketika mengandung bayi seterusnya dan kencing manis jenis 2 (iaitu kencing manis jangka panjang).

Konklusi

Kencing manis ketika mengandung boleh memberi komplikasi pada ibu dan bayi yang dikandung jika tidak dikawal. Mencegah daripada awal dengan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat adalah lebih baik untuk ibu dan bayi.

Rujukan

  1. Can You Prevent Gestational Diabetes?
  2. Quick Reference for Healthcare Providers: Management of Diabetes in Pregnancy
  3. Diabetes Semasa Hamil
  4. Gestational diabetes
  5. Diet untuk Diabetes Mellitus
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here