Banyak mengambil makanan berlemak menjemput penyakit batu karang hempedu. 16% wanita dewasa dan 5% lelaki dewasa menderita penyakit batu karang di Malaysia. Ia kerap dialami oleh golongan yang berusia 60 tahun ke atas. Namun, sebenarnya ia mula terbentuk sejak berusia 40an lagi tetapi tidak bergejala.
Pundi hempedu?
Pundi hempedu adalah organ yang mempunyai bentuk seakan buah pir dengan kepanjangan 4 inci. Ia terletak di bahagian kanan atas perut, di bawah hati. Ia berfungsi untuk menyimpan hempedu (bile) iaitu sebatian yang dihasilkan oleh hati untuk mencerna lemak.
Hempedu diperlukan untuk mencerna lemak. Ia juga membantu menyerap vitamin daripada makanan. Apabila mengambil makanan tinggi lemak, hempedu dilepaskan daripada pundi hempedu dan hati ke dalam usus. Kebanyakan makanan akan dihadam di dalam usus.
Batu karang hempedu?
Batu karang hempedu terjadi disebabkan pengambilan makanan tinggi lemak yang menyebabkan hempedu menghasilkan kolesterol berlebihan dalam badan. Ia juga disebabkan garam hempedu dan bilirubin yang tinggi. Ia melibatkan 3 organ badan iaitu hati, pundi hempedu dan pankreas. Ia dihasilkan daripada lemak, protein dan mineral dalam badan.
Batu karang hempedu adalah sejenis cecair hempedu yang membentuk batu atau kristal di dalam pundi hempedu. Ia boleh terbentuk akibat kolesterol terlalu tepu.
Batu ini juga terbentuk apabila berlaku ketidakseimbangan komponen seperti kolesterol, garam hempedu dan phospolipid. Apabila ketiga-tiga komponen ini tidak seimbang, kolesterol akan menjadi tepu dan membentuk batu di dalam pundi hempedu.
Batu hempedu ini boleh menghalang saluran hempedu dan membengkak yang seterusnya memberi rasa sakit. Keadaan ini akan menyebabkan hempedu terkumpul dalam pundi hempedu. Ia akan hilang apabila batu karang hempedu bergerak dan hempedu boleh mengalir keluar.
Jenis batu karang hempedu:
Batu karang hempedu boleh dibahagikan kepada 3 jenis yang dipengaruhi oleh faktor usia, diet dan etnik.
1. Batu kolesterol
Batu daripada kolesterol yang tidak dicerna dan menjadi keras, berwarna kuning atau putih.
2. Batu pigmen
Hasil daripada pembentukkan bilirubin secara berlebihan. Ia adalah batu kecil yang berwarna coklat gelap dan hitam. Terbentuk daripada kalsium bilirubinate iaitu bahan kimia yang dihasilkan ketika badan memecahkan sel darah merah. Ia adalah pigmen atau warna yang menjadikan sel darah merah berwarna merah.
3. Batu campuran
Campuran batu kolesterol dan pigmen.
Risiko batu karang hempedu:
Beberapa golongan berisiko untuk mendapat batu karang hempedu seperti :
- Golongan dewasa lanjut usia yang berumur 60 tahun ke atas,
- Wanita dewasa kerana penghasilan hormon estrogen
- Individu berlebihan berat badan
- Wanita mengandung
- Pemakanan tinggi lemak dan rendah serat
- Sejarah keluarga menghidap batu karang
- Mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, jangkitan hati atau sirosis
- Pengambilan ubat seperti untuk mengawal kolesterol dan mengandungi estrogen
Simptom batu karang hempedu:
Simptom batu karang hempedu hampir serupa dengan gastrik iaitu kembung perut, sendawa dan ketidakselesaan perut. Simptom ini akan semakin teruk setelah mengambil makanan berlemak atau berminyak. Serangan pada pundi hempedu berlaku apabila mengambil makanan dalam kuantiti yang besar. Ini disebabkan badan perlu menghasilkan hempedu yang lebih apabila makan makanan berlemak.
1. Loya & muntah
Apabila batu hempedu menghalang saluran usus, ia akan menimbulkan komplikasi seperti loya tekak dan muntah
2. Kuning / jaundis
Jika batu karang termasuk ke dalam saluran hempedu besar, ia menjadi punca penyakit kuning. Hal ini kerana ia menghalang pergerakan hempedu.
3. Sakit mendadak dan tegang di perut bahagian kanan atas
4. Sakit mendadak dan tegang di tengah perut, di bawah tulang payudara
5. Sakit belakang antara tulang belikat
6. Demam
7. Najis berwarna tanah liat
Punca batu karang hempedu:
1. Kolesterol berlebihan
Pemakanan tinggi lemak menyebabkan hati menghasilkan batu berwarna kuning. Batu ini akan terbentuk apabila kolesterol dihasilkan berlebihan daripada jumlah hempedu boleh cerna.
2. Bilirubin
Bilirubin berlebihan akan dihasilkan jika hati menghasilkan lebih banyak kolesterol. Pembentukkan bilirubin akan menghalang saluran hempedu seterusnya menghalang hempedu untuk mengalir dengan lancar. Pigmen batu karang terbentuk apabila pundi hempedu anda tidak dapat memecahkan bilirubin berlebihan. Batu keras ini selalunya berwarna coklat gelap atau hitam.
3. Tidak dikosongkan dengan betul
Pundi hempedu yang tidak dikosongkan dengan betul akan memekatkan hempedu seterusnya mengeras dan membentuk batu karang.
Rawatan batu karang hempedu:
1. Pembedahan
Prosedur pembedahan membuang pundi hempedu dilakukan jika batu karang kerap muncul semula. Kesannya, hempedu akan mengalir terus daripada hati ke usus kecil.
2. Terapi ubat
Pengambilan ubat juga boleh membantu memecahkan batu karang hempedu tetapi mengambil masa yang lama.
Tips mencegah batu karang hempedu:
1. Kekal berat badan sihat
Berat badan berlebihan akan menyebabkan pundi hempedu kaya dengan kolesterol seterusnya meningkatkan pembentukan batu hempedu. Pundi hempedu bertanggungjawab menghasilkan hempedu untuk mencerna lemak. Oleh itu, mengawal berat badan dengan mengamalkan pemakanan sihat mencegah pembentukan hempedu.
Namun begitu, penurunan berat badan dengan mendadak juga tidak bagus kerana akan meningkatkan pembentukan batu karang. Di samping itu, elakkan juga daripada mengambil diet rendah kalori. Hal ini kerana ia menyebabkan hati menghasilkan kolesterol secara berlebihan.
Antara makanan yang perlu dielakkan adalah daging merah, daging proses, produk tenusu penuh lemak, makanan ringan, coklat dan gula-gula serta ais krim.
Oleh itu, mengawal berat badan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara kerap boleh mencegah pembentukan batu karang hempedu.
2. Kurangkan pengambilan makanan tinggi lemak dan berproses
Kolesterol merupakan penyumbang kepada pembentukan batu karang hempedu. Oleh itu, makanan yang meningkatkan penghasilan kolesterol oleh hati perlu dielakkan. Makanan tinggi lemak tepu antara yang perlu dielakkan seperti sosej, lemak daging, mentega, kek, biskut dan makanan yang mengandungi minyak kelapa atau kelapa sawit.
Walaubagaimanapun, mengamalkan lemak tidak tepu seperti omega-3 boleh melindungi pundi hempedu daripada pembentukkan batu karang. Antara sumber omega-3 adalah ikan salmon, ikan tenggiri, kekacang (walnut), dan minyak ikan.
3. Banyakkan makanan berserat
Makanan berserat menyokong dan melindungi kesihatan sistem penghadaman daripada penyakit pundi hempedu dengan merangsang pergerakan makanan melalui usus. Ini akan mengurangkan penghasilan asid hempedu.
Makanan berserat membantu mengawal paras kolesterol dalam darah. Ini termasuk pengambilan sayur dan buah segar sekurang-kurangnya 5 hidangan sehari berserta bijirin penuh.
Menurut kajian, 10 – 50 grams bijirin serat sehari membantu menurunkan kepekatan kolesterol dalam hempedu dalam kalangan pesakit batu karang hempedu. Mengelakkan makanan penyebab alahan juga membantu mengurangkan simptom pundi hempedu. Malah, mengambil 5 oz kekacang setiap minggu mengurangkan risiko pembuangan pundi hempedu sebanyak 25%. Dengan ini, makanan tinggi serat baik untuk mencegah dan mengurangkan batu karang hempedu.
4. Makanan tinggi kalsium
Sumber kalsium yang cukup melalui pemakanan boleh menyokong kesihatan pundi hempedu. Kalsium mudah diperoleh daripada sumber tenusu tetapi produk tenusu tinggi lemak perlu dielakkan kerana ia boleh meningkatkan risiko batu karang hempedu. Pemilihan produk tenusu rendah lemak adalah lebih baik. Selain itu, ia juga boleh diperoleh daripada sayur daun hijau, buah oren serta ikan sardin yang kaya dengan kalsium.
5. Makanan tinggi vitamin C
Asid askorbik menukarkan kolesterol ke asid hempedu. Dengan kolesterol yang rendah dan asid hempedu yang lebih, batu hempedu akan larut dengan perlahan. Vitamin C antara nutrisi penting yang boleh mencegah penyakit pundi hempedu. Ia memberi kesan perlindungan terhadap pembentukkan batu karang. Antara contoh makanan tinggi vitamin C adalah buah oren, jambu batu, lemon, brokoli dan kobis.
6. Kopi boleh mengurangkan risiko batu karang hempedu
Kopi yang diambil secara sederhana boleh melindungi fungsi pundi hempedu. Ini kerana ia mengandungi bahan aktif yang bermanfaat untuk fungsi pundi hempedu seperti seimbangkan bahan kimia dan merangsang aktiviti pundi hempedu dan usus.
Dalam kajian pada July 2015 menunjukkan minum kopi akan merangsang penghasilan hormon cholecystokinin. Iaitu hormon yang akan menyebabkan pundi hempedu menguncup dan merangsang pelepasan hempedu.
Dalam kajian sama menyatakan mengambil kopi mengurangkan risiko mendapat batu karang hempedu. Manakala dalam kajian yang diterbitkan oleh Journal of Internal Medicine pada 2019 menyatakan individu yang mengambil sekurang-kurangnya 6 cawan kopi sehari mempunyai 23% lebih rendah risiko simptom batu karang hempedu. Justeru itu, kopi boleh mengurangkan masalah batu karang hempedu.
7. Melakukan aktiviti fizikal
Aktiviti fizikal sangat baik untuk kesihatan bukan sahaja membantu mengawal berat badan, malah mencegah risiko mendapat komplikasi penyakit kronik. Batu karang hempedu yang terbentuk akibat lebihan kolesterol yang diproses oleh hati boleh juga dicegah dengan melakukan aktiviti fizikal secara konsisten. Kajian menyatakan melakukan aktiviti fizikal 2 ke 3 jam seminggu seperti berlari, jogging, dan berjalan laju mengurangkan risiko mendapat batu karang hempedu sebanyak 31%.
Konklusi:
Batu karang hempedu boleh terjadi disebabkan faktor pemakanan. Pemakanan tinggi lemak meningkatkan risiko penyakit ini. Gaya hidup dan pemakanan sihat antara kaedah terbaik untuk mencegah dan mengurangkan penyakit ini.