7 Khasiat Serai Sebagai Penawar Penyakit

Serai juga dikenali dengan lemongrass dalam bahasa Inggeris, dan nama saintifiknya ialah Cymbopogon citratus (DC.) Stapf. Ia mula ditanam di India untuk menghasilkan minyak sejak tahun 1888. Minyak serai ini mempunyai bau seakan limau atau citrus. Ia digunakan sebagai pewangi dalam pembuatan sabun, bahan pencuci dan bahan-bahan penghasilan lain.

Serai merupakan sejenis tumbuhan herba, mempunyai jangka hayat yang panjang dan mengeluarkan bau. Ia tumbuh secara rapat-rapat dan daunnya dari rizom. Ketinggiannya boleh mencapai 1 meter dan tumbuh secara meliar. Ia mempunyai daun yang licin, urat daun selari, tirus di bahagian hujung dan pangkal daun.

Serai mempunyai daun yang selari.

Serai boleh hidup subur dalam pelbagai jenis tanah. Jika ditanam untuk penghasilan minyak, serai sesuai ditanam di kawasan bersaliran baik dan subur. 

Serai ialah sejenis herba yang digunakan dalam masakan, minuman, ubat sapuan dan pati ekstrak aromatherapy. Daun dan minyaknya digunakan dalam perubatan. Untuk manfaat perubatan, ia biasa dimakan secara oral, disapu pada kulit, dan dihidu sebagai aromatherapy 

Kebaikan serai terhadap kesihatan :

1. Serai mengelakkan jangkitan

Serai diketahui berupaya melawan jangkitan bakteria yang boleh berlaku pada kulit, paru-paru, darah, usus dan rongga mulut. Kajian dari National Institute of Health menyatakan minyak pati serai menunjukkan kebolehan melawan bakteria seperti Streptococcus mutans yang menyebabkan kerosakkan gigi. 

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Food Chemistry, ekstrak serai menjadi penghalang dalam pertumbuhan bakteria dalam sampel makmal. Bahan kajian ialah bakteria yang akan menyebabkan lubang pada gigi, contohnya Streptococcus sanguinis.

Menurut Memorial Sloan Kettering Cancer Center, kajian membuktikan serai mempunyai kebolehan menghalang jangkitan. Sebagai contoh, herba ini juga boleh mengurangkan kulat yang sering menjangkiti orang yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah seperti HIV.

2. Serai mengurangkan masalah penghadaman dan gastrik

Kajian membuktikan teh serai memberi banyak manfaat untuk badan terutamanya sistem penghadaman. Ia membantu melancarkan penghadaman yang sihat. Menurut Healthline, 1 cawan teh serai boleh menjadi alternatif untuk sakit perut, kekejangan perut dan masalah pencernaan lain.  

Kajian pada tahun 2006, menyatakan serai dapat mengurangkan masalah cirit-birit dengan melambatkan pergerakan usus.   

Kajian yang dilakukan pada tahun 2012, membuktikan minyak pati serai berkesan mengurangkan masalah ulser gastrik. Herba ini boleh melindungi lapisan dinding perut daripada kerosakkan yang disebabkan oleh aspirin dan ethanol. Ia berkesan mengurangkan ulser gastrik yang terjadi kerana kekerapan pengambilan ubat aspirin.

3. Serai merupakan anti-radang

Radang adalah sebahagian daripada sistem pertahanan badan dan ia berperanan dalam penyembuhan luka.

Bahan kimia yang terdapat dalam serai iaitu citral and geranial merupakan agen untuk melawan radang. Ia akan menghalang penghasilan penanda keradangan dalam badan. Pelbagai penyakit yang berlaku disebabkan radang boleh dielakkan dan dikawal seperti edema, buasir dan sakit sendi. 


Sifat serai yang bertindak sebagai anti-radang juga dapat mengelakkan penyakit jantung. Kajian menggunakan ekstrak minyak pati serai menunjukkan paras kolesterol dapat dikurangkan bergantung kepada jumlah dos pati serai yang diberikan. Ia juga dapat meningkatkan kolesterol baik (HDL) yang penting untuk badan. Darah tinggi juga dapat dikawal dengan minuman teh serai.

4. Serai mengurangkan kesakitan

Kajian pada 2011 menunjukkan serai boleh menghalang kesakitan. Teh serai berpotensi untuk mengelakkan seseorang daripada merasa kesakitan. Ia juga mempunyai bahan kimia yang boleh melegakan demam, mengurangkan kemerahan dan bengkak. 

Herba ini berkesan mengurangkan simptom-simptom haid seperti kekejangan, kembung perut dan rasa panas. 

Selain itu, herba ini boleh mengurangkan kesakitan dengan mengurangkan radang. Kajian keatas pesakit sendi, membuktikan minyak pati serai berupaya melegakan sakit sendi dan kesakitan tersebut berjaya dikurangkan sebanyak 50 ke 80% dalam tempoh masa 30 hari.

5. Antioksidan

Antioksidan bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel yang disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan. Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan.

Antara antioksidan yang terdapat dalam serai ialah chlorogenic acid, isoorientin, and swertia japonica. Antioksidan ini boleh menghalang sel daripada tidak berfungsi dalam saluran darah arteri jantung. 

Kajian menunjukkan ubat kumur daripada serai mempunyai antioksidan yang tinggi. Oleh itu, penyelidik menyarankan serai untuk digunakan dalam mengurangkan masalah berkaitan gigi dan gusi.

6. Serai menghilangkan kegelisahan (anxiety)

Teh adalah minuman yang dapat memberi rasa tenang. Tetapi, teh serai lebih memberi rasa tenang dan mengandugi bahan untuk menghilangkan kegelisahan.

Kegelisahan atau anxiety adalah suatu keadaan apabila badan memberi tindak balas semulajadi kepada tekanan. Tekanan ini boleh disebabkan ketakutan, trauma dan sebagainya. Menurut Memorial Sloan Kettering Cancer Center, menghidu serai sahaja juga boleh menghilangkan kegelisahan.

7. Serai sebagai diuretik

Edema pada kaki

Serai dikenali dengan sifat diuretik. Ia akan merangsang buah pinggang untuk mengeluarkan urin lebih banyak daripada biasa. Kajian daripada Journal of Renal Nutrition membuktikan teh serai akan meningkatkan pengeluaran urin lebih banyak daripada air lain. Ia membantu membuang air dan sodium berlebihan dalam badan. 

Supplemen diuretik ini selalunya disarankan kepada pesakit kegagalan jantung, hati dan edema kerana mereka perlu membuang air berlebihan daripada badan untuk mengelakkan terjadi komplikasi. 

Kesan diuretik daripada serai ini juga berkesan mengurangkan kembung perut disebabkan pengumpulan air dalam badan terutamanya ketika sindrom sebelum haid (PMS).

Konklusi

Serai adalah herba sihat dan selamat. Ia memberi kesan positif kepada kesihatan seperti melindungi lapisan perut, mengurangkan kegelisahan, melawan kanser, melindungi badan dari jangkitan bakteria dan kulat serta anti-radang. 

Walaubagaimanapun, ia juga boleh memberi kesan negatif kepada badan. Antara kesan daripada serai ialah pening, menaikkan rasa lapar dan mulut kering. Oleh itu, ambillah serai dalam bentuk minuman atau ekstrak pati secara sederhana.

Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi
Atikah Suhaimi, penulis Fitpedia. Merupakan graduan Dietetik dari UIAM. Minat dalam bidang nutrisi dan kesihatan dan suka berkongsi ilmu kesihatan dan nutrisi kepada masyarakat supaya masyarakat mendapat ilmu yang betul.Di Fitpedia, kita menyediakan info-info berkaitan kesihatan, nutrisi dan tips berkaitan pemakanan.

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here