Bulan Ramadan adalah bulan untuk kita menahan diri daripada lapar dan dahaga pada waktu siang. Berpuasa bukanlah suatu masalah untuk orang sihat tetapi tidak untuk pesakit kronik. Mereka perlu lebih berhati-hati untuk berpuasa demi mengelakkan penyakit sedia ada menjadi kronik. Seperti pesakit diabetes, risiko untuk mendapat hipoglisemia (gula rendah dalam darah) adalah 1.6 kali ganda apabila mereka berpuasa.
Diabetes
Diabetes adalah paras gula tinggi daripada normal yang juga dikenali sebagai hiperglisemia dengan bacaan melebihi 11.1 mmol/L. Diabetes terjadi disebabkan hormon insulin yang dihasilkan oleh pankreas tidak mencukupi atau tidak dapat bertindak balas dengan glukosa (gula) dalam darah.
Hipoglisemia
Hipoglisemia adalah paras gula dalam darah rendah daripada paras normal untuk pesakit diabetes dengan bacaan darah bawah 4.0mmHg. Keadaan ini biasanya terjadi dalam kalangan pesakit diabetes dengan suntikan insulin. Hipoglisemia yang tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan masalah yang lebih kronik seperti pengsan dan koma.
Faktor terjadi hipoglisemia:
- Makanan sumber karbohidrat kurang
- Dos insulin atau ubat berlebihan
- Lambat atau tidak makan selepas suntikan insulin
- Aktiviti fizikal tidak dirancang dan lasak
Tanda-tanda hipoglisemia :
- Berpeluh sejuk/berpeluh banyak
- Menggeletar
- Letih & lesu
- Sakit kepala
- Pening
- Pucat
Faktor tidak boleh berpuasa :
1. Diabetes jenis 1 dan 2 yang tidak terkawal
Pesakit diabetes dengan paras gula tidak terkawal atau tidak stabil tidak digalakkan untuk berpuasa kerana berisiko mendapat jangkitan kuman, dehidrasi serta koma.
2. Komplikasi diabetes yang serius
Diabetes yang tidak dikawal boleh mengakibatkan komplikasi penyakit seperti penyakit jantung koronari, kerosakan buah pinggang dan tekanan darah tinggi. Komplikasi yang tidak terkawal perlu mendapat nasihat pakar perubatan untuk berpuasa.
3. Kerap mengalami hipoglisemia
Pesakit yang kerap mengalami gejala hipoglisemia lebih daripada 2 kali terutamanya pada bulan puasa yang lalu tidak digalakkan untuk berpuasa.
4. Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis.
Diabetes ketoasidosis adalah keadaan badan tidak mendapat insulin yang mencukupi untuk membenarkan glukosa (gula) memasuki sel badan untuk digunakan sebagai tenaga. Ia sering terjadi dalam kalangan pesakit diabetes jenis 1.
5. Mengandung
Ibu mengandung serta mempunyai diabetes tidak digalakkan untuk berpuasa untuk menjaga kesihatan ibu dan bayi. Ibu memerlukan tenaga yang cukup untuk membantu bayi membesar dengan sihat dan baik.
Tips puasa untuk pesakit diabetes:
1. Sahur lewat
Pesakit diabetes digalakkan untuk melewatkan sahur dan mempercepatkan berbuka puasa. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berpuasa terlalu lama. Apabila masa berpuasa terlalu lama, pesakit ini berisiko mendapat hipoglisemia. Oleh itu, lewatkan sahur dapat memendekkan masa mereka berpuasa.
2. Makanan seimbang dan tinggi serat
Makanan seimbang perlu mengandungi karbohidrat, protein dan serat yang mencukupi. Karbohidrat adalah sumber tenaga utama dan membantu mengembalikan tenaga yang sudah hilang ketika berpuasa di siang hari. Protein membantu membaiki dan membina tisu badan serta membantu sistem badan berfungsi dengan baik.
Selain buah dan sayur, makanan bijirin penuh (‘wholemeal’) juga tinggi dengan serat dan sesuai untuk pesakit diabetes. Makanan berserat membantu melambatkan penyerapan gula dalam darah seterusnya mengawal paras gula dalam darah. Protein dan serat juga membantu memberi rasa kenyang dengan cepat dan lama.
Namun begitu, kita disarankan untuk makan sedikit ketika berbuka kemudian makan makanan berat selepas solat magrib. Berbuka dengan segelas air kosong serta 3 biji kurma membantu mengembalikan tenaga dengan segera setelah seharian berpuasa. Ia juga membantu menstabilkan paras gula sebelum mengambil makanan berat. Selera makan juga dapat dikawal kerana makanan atau minuman manis meningkatkan selera.
3. Elak makanan & minuman manis
Makanan dan minuman manis berasaskan gula ringkas. Ia akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat serta memberikan tenaga dengan cepat tetapi untuk masa yang pendek. Walaubagaimanapun, pesakit diabetes perlu mengawal pengambilan makanan dan minuman manis kerana ia berisiko mengakibatkan hiperglisemia.
Pesakit diabetes disarankan untuk mengambil makanan tinggi indeks glisemik (GI) kerana ia lambat dihadam. Paras gula dalam darah juga tidak akan meningkat dengan cepat. Apabila diambil pada waktu sahur, tenaga daripada makanan tinggi indeks glisemik dapat disimpan untuk digunakan sepanjang hari. Sebagai contoh nasi beras basmathi, nasi beras perang dan kacang dhal.
4. Minum air dengan cukup
Air yang cukup penting untuk mengekalkan hidrasi dan mengelakkan kehilangan air yang banyak apabila berpuasa di siang hari.
5. Ambil ubat dan insulin mengikut waktu
Suntikan insulin dan ubat diabetes perlu diambil pada masa yang sama setiap hari. Makanan karbohidrat juga perlu diambil dalam jumlah yang mencukupi dengan insulin yang diambil. Lakukan pemeriksaan gula dalam darah dengan kerap membantu mengelakkan kejadian hipoglisemia.
6. Periksa bacaan gula dengan kerap
Bacaan gula dalam darah perlu diperiksa dengan kerap apabila berpuasa. Ini adalah untuk mengelakkan daripada masalah hipoglisemia (gula dalam darah rendah) terjadi tanpa disedari.
Cadangan menu:
Menu ini boleh berubah mengikut kesesuaian dan kesukaan. Tetapi, saiz hidangan perlu hampir sama kerana pengambilan yang berlebihan atau berkurangan boleh menjejaskan paras gula dalam darah.
Waktu makan (tidak berpuasa) | Waktu makan (puasa) | Menu cadangan |
Sarapan pagi | Berbuka (7.30pm) | 3 biji kurma / 1 potong buah + 1 keping kuih (kurang manis) + 1 gelas susu (utamakan susu rendah lemak / susu skim |
Makan tengah hari | Selepas solat maghrib (8.00pm) | 1 ½ cawan nasi / mee / pasta / bihun + 1 ketul ayam / ikan / daging1 cawan sayur hijau + n1 gelas air kosong |
Minum petang | Selepas terawih (moreh)(10.30pm) | 1 senduk mi / pasta / 3 keping biskut krim kraker / 1 keping roti wholegrain + 1 gelas susu (susu rendah lemak / susu skim) |
Makan malam | Sahur (5.00am) | 1 ½ cawan nasi / mi / mihun / pasta + 1 ketul ayam / ikan / daging / telur / tauhu @ kombinasi + 1 cawan sayur berdaun hijau + 1 potong buah + Air kosong |
Konklusi:
Pesakit diabetes boleh berpuasa dalam bulan Ramadan tetapi perlu berhati-hati kerana paras gula dalam darah boleh rendah dan meningkatkan risiko komplikasi penyakit. Pemilihan makanan yang betul penting untuk pesakit diabetes.