Kekal awet muda walaupun sudah lanjut usia sangat diidamkan oleh setiap orang terutamanya golongan perempuan. Ianya bukanlah hanya dari luaran, ia juga harus dari dalaman. Untuk kekal awet muda, badan perlulah sentiasa sihat dan bebas daripada segala penyakit.
Antioksidan dikaitkan dengan anti-penuaan iaitu agen untuk membantu mengekalkan keremajaan kulit dan diri. Ia bertanggungjawab melindungi diri daripada kerosakan sel yang disebabkan radikal bebas yang tidak efektif dalam badan.
Antioksidan terbahagi kepada 2 iaitu endogenous (dihasilkan dalam badan) dan exogenous (diperoleh daripada makanan seperti vitamin A, vitamin C, vitamin E dan karotenoid). Semua sumber makanan ini mudah diperoleh dalam sayur-sayuran, buah-buahan, coklat gelap dan sumber haiwan.

Antioksidan yang dihasilkan oleh badan akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Oleh itu, ia perlu ditambah daripada sumber makanan untuk menampung kekurangan tersebut.
Radikal bebas adalah hasil daripada metabolisme dalam badan. Ia terjadi secara semulajadi apabila badan menukarkan makanan yang dimakan menjadi tenaga dan juga semasa bersenam. Radikal bebas ini boleh terhasil disebabkan faktor persekitaran seperti merokok, pencemaran udara dan pendedahan kepada cahaya matahari.
Radikal bebas ini penting untuk badan tetapi kuantiti yang berlebihan akan menyebabkannya menyerang sel-sel dalam badan. Menurut kajian, hampir 100 ribu – 200 ribu radikal bebas menyerang sel dalam badan setiap hari.
Kebaikan antioksidan pada badan

- Meningkatkan tahap kesihatan badan
- Sebagai anti-penuaan, mengekalkan awet muda
- Melindungi daripada masalah kesihatan mata disebabkan faktor usia
- Melindungi diri daripada penyakit disebabkan kerosakan tisu-tisu dalam badan seperti Alzheimer, Parkinson, Dementia
- Mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik seperti jantung, kanser, kencing manis
- Mengurangkan keradangan
Makanan semulajadi lebih baik berbanding makanan (supplement) tambahan kerana ia tidak hanya mempunyai vitamin-vitamin tetapi juga mempunyai zat dan nutrisi yang lain yang penting untuk badan.
Pelbagai kajian tidak dapat membuktikan antioksidan dalam bentuk makanan tambahan boleh menyembuhkan penyakit tetapi kebanyakkannya memburukkan keadaan. Kajian juga menyatakan makanan ini akan mengganggu keberkesanan ubat anti-kanser dan radioterapi untuk pesakit kanser.
Secara ringkasnya, pengambilan makanan berasaskan antioksidan ini secara konsisten penting untuk meningkatkan kesihatan secara keseluruhan dan mengekalkan awet muda.
Makanan yang tinggi antioksidan

- Buah beri contoh raspberry, strawberry, blueberry, blackberry, cranberry
- Kekacang contoh almond, kacang tanah, walnut, chia seed, gajus
- Coklat gelap
- Teh hijau
- Minyak zaitun
- Halia
- Kunyit
- Ubi keledek
- Cendawan
- Telur
- Vitamin A
- Vitamin C
- Vitamin E
Vitamin A

- Penting untuk pertumbuhan sel yang normal, sistem pertahanan badan dan kesihatan mata.
- Pengambilan vitamin A yang cukup dapat mengurangkan rambut gugur, masalah kulit, mata kering, rabun malam serta mengurangkan risiko jangkitan kuman dan virus.
- Membantu organ badan seperti jantung, peparu dan buah pinggang berfungsi dengan betul.
Vitamin C

- Antioksidan yang kuat, penting untuk kesihatan kulit
- Menguatkan sistem imunisasi (pertahanan badan)
- Membantu penyembuhan luka
- Melindungi dari kerosakan sel disebabkan radikal bebas.
- Menghasilkan kolagen dan membaiki tisu-tisu dalam badan
Vitamin E

- Menguatkan sistem imunisasi (ketahanan badan)
- Melindungi daripada jangkitan, keradangan, masalah penglihatan dan lemah otot.
- Mengurangkan kerosakan kulit disebabkan sinaran UV
Konklusinya
Antioksidan penting untuk melindungi dan membaiki sel-sel dalam badan daripada kerosakan. Makanan semula jadi ini adalah sumber terbaik berbanding makanan tambahan dalam bentuk supplemen atau ubat kapsul.
Jadi, makanan mana yang menjadi pilihan anda sekarang?